PENUTUP

Penyelewengan jalan tarbiyah akidah atau berlakunya fenomena ‘kekeliruan berakidah’ dalam kalangan umat Islam tanpa disedari menjadi faktor utama yang  membawa keruntuhan tamadun Islam yang gilang gemilang yang pernah mewarnai dunia pensejagatan. Munculnya ilmu Akidah baru dalam Islam yang diberi nama ilmu Kalam (fahaman Muktazilah dan Ilmu Sifat 20) semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah pada kurun ke 8 M. (bermula di zaman Khalifah al-Ma’mun) dan teori Tauhid Wahabi di Arab Saudi pada kurun ke 18 M. telah mengelirukan dan menyelewengkan ummah daripada memiliki tasawwur Akidah al-Quran yang sebenar. Malahan kebanyakan umat Islam di zaman ini terus memandang sepi dan meminggirkan begitu sahaja “rahsia kekuatan ummah” yang  menjadi faktor utama  kejayaan dan keagungan generasi umat Islam di zaman awal itu.

Hakikatnya, bangsa Arab pernah menempa zaman keagungan dengan Islam (Akidah al-Quran)  dalam tempoh 30 tahun sahaja (menguasai Jazirah Arab), tetapi kini mereka jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi dan teknologi akibat penyelewengan proses tarbiyah akidah. Kejayaan golongan yang memiliki kesempurnaan akidah  tidak hanya kepada bangsa Arab sahaja, malah bangsa Turki, Kurdi dan Tartar dan lain-lain juga telah pernah menempa zaman keagungan masing-masing dengan Islam (Akidah al-Quran). Berzikir dan mujahadah inilah menjadi rahsia kekuatan rohaniah yang dibina oleh pemimpin-pemimpin yang bertaqwa dari kalangan bangsa itu seperti  Khalifah Muhammad al-Fateh daripada bangsa Turki, Panglima Salahuddin al-Ayubi daripada bangsa Kurdi dan Timurlane daripada bangsa Tartar. Dengan kesungguhan mengerjakan amalan rohani Islam (berzikir terus menerus dan qiyamullail) mereka dapat memiliki “rahsia kekuatan ummah”  dan  sifat taqwa yang sebenar-benarnya. Mereka menjadi bangsa yang kuat dan mulia.

Ternyata mereka (golongan Wahabi) telah pun “hanyut” dalam tarbiyah ilmu Akidah reka cipta hingga “mencairkan” prinsip-prinsip akidah sebenar yang seharusnya tidak boleh digolok-gadai.  Mereka (kaum Wahabi) hanya berbangga dengan slogan dakwah yang dicanang-canangkan sejak 200 tahun lalu,  iaitu membasmi “syirik, khurafat dan bid’ah” dalam kalangan ummah, tetapi sifat-sifat keji (mazmumah) dalam diri   terus subur dan berkembang dalam kalangan bangsa Arab dan para pengikut mereka di negara-negara Islam masa kini tanpa disedari. Mereka (golongan Wahabi) sentiasa menafikan dan mengabaikan tarbiyah hati (berzikir dan mujahadah), lantas menjadikan mereka tergelincir dari landasan akidah yang sebenar (Akidah al-Quran). Tegasnya, dakwah akidah yang dicanang-canangkan (teori Tauhid Wahabi) dalam tempoh yang begitu lama  tidak dapat  memulihkan keruntuhan akhlak, kehancuran negara-negara Arab dan kepincangan akidah bangsa Arab  dan umat Islam  lain sebagaimana yang diwarwarkan. Malahan pengaruh dan kekusaan mereka mula pudar, merosot dan tewas. Ini kerana Allah  sudah tarik kekuatan ummah dan diganti dengan kelemahan. Ditarik kemuliaan diganti dengan kehinaan.  Ditarik kemenangan, diganti dengan kekalahan. Mereka gagal memperlihatkan kebenaran Islam. Mereka tidak memperlihatkan imej mulia dan tingginya ajaran Islam

Perbincangan yang telah kita buat dalam buku ini telah menunjukkan dengan jelas kepentingan dan keutamaan amalan zikrullah sebagai tonggak utama dalam Akidah al-Quran berdasarkan bukti-bukti kukuh yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Hal demikian menunjukkan pendirian para tokoh Tasawuf menjadikan konsep berzikir dan mujahadah yang diketengahkan oleh mereka sebagai satu jalan terbaik untuk sampai kepada mengenal (makrifah) Allah. Tanpanya, seseorang akan hanya mampu beriman kepada Allah secara taklid (ikut-ikutan) sahaja dan ia tidak sampai ke destinasi (mendapat rahmat dan keredaanNya) yang ditujunya itu. Oleh itu, kita mengharapkan semua perbincangan dan kajian  dilakukan dapat menyelesaikan semua permasalahan dan kekeliruan berkaitan amalan zikrullah  (Akidah al-Quran)  dapat diperbetulkan, dan sekali gus dapat menangkis berbagai kekeliruan dan salah faham  yang berlaku sejak sekian lama mengenainya, serta mampu mengembalikan yang hak (amalan zikir mengingati Allah) kepada tempatnya yang sebenar (Akidah Islam). Malah lebih dari itu, kita mengharapkan  ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf) dijadikan tunjang pendidikan agama (tarbiyah Akidah Islam)  di peringkat sistem pengajian pondok, pusat-pusat tahfiz al-Quran, sekolah-sekolah rendah dan menengah, dan pusat-pusat pengajian tinggi kerana ia merupakan cara terpenting menyampaikan seseorang kepada kepada mengenal (makrifah) Allah iaitu mengukuhkan hubungan ingatan hamba kepada Allah supaya terjalin ikatan keham- baan yang kukuh dalam dirinya iaitu sentiasa mentauhidkan Allah dalam setiap detik kehidupannya. Malahan jati diri umat Islam akan terjamin dan dapat diserlahkan dengan jelas dan cemerlang.

Sementara penolakan terhadap amalan zikrullah sebagai tonggak utama dalam Akidah al-Quran oleh golongan ahli zahir (mazhab Fuqaha, mazhab Wahabi, jemaah Tabligh dan lain-lain) adalah satu salah faham yang perlu diperbetulkan kerana ia bertitik-tolak daripada kekeliruan dalam memahami nas al-Quran dan al-Sunnah terhadap kewajipan berzikir mengingati Allah terus menerus sebagai tuntutan wajib yang mana maksudnya adalah lebih jauh daripada sekadar sebutan lisan. Amat jelas bahawa inti pati dan tonggak  utama dalam akidah  yang sebenar bukanlah seperti yang diamalkan atau dicapai oleh majoriti umat Islam di zaman ini (tarbiyah akidah menerusi ilmu Kalam dan teori Tauhid Wahabi), sebaliknya ia terkandung secara qat‘i (mutlak) di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Melihat akidah berdasarkan tasawwur amalan mereka adalah satu kesalahan kerana mereka boleh  diselewengkan. Dengan itu maksud dan hakikat Akidah Islam  yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah itulah yang wajib dipegang dan diberi perhatian oleh umat Islam demi mendapat tasawwur yang sahih terhadapnya.

Hakikatnya, amalan ini merupakan bahagian asasnya yang sangat penting kerana tanpanya maka agama Islam bukan sahaja tidak akan sempurna tetapi akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Amalan ini penting dalam Islam kerana ianya mampu me- nyampaikan seseorang kepada mengenal Allah S.W.T. dan menjadi roh atau inti pati bagi segala amal ibadat seperti solat, haji, jihad, mencari rezeki, puasa dan sebagainya. Kepada golongan yang ingin memiliki tasawwur terhadap akidah yang sebenar, mereka mesti mengikut peraturan yang telah ditetapkan Allah S.W.T. di dalam al-Quran (berzikir dan mujahadah) yang sudah tergambar dengan jelas dan nyata yang dapat menangani gejala buruk maksiat, rasuah, kezaliman, jenayah dan keruntuhan akhlak dalam kalangan ummah. Malahan kita harus meninggalkan tarbiyah akidah menerusi pemahaman ilmu Akidah reka cipta yang tiada hubungan dengan roh/hati (gagal mencapai khusyuk hati yang sebenar-benarnya).

Kini tiada siapa dapat menafikan bahawa umat Islam dalam keadaan lemah dan terhina. Sama ada di bidang rohani (akidah), intelektual dan material (duniawi), umat Islam telah ketinggalan begitu jauh daripada penganut-penganut agama lain. Di mata dunia, umat Islam telah dilabel sebagai militan, miskin dan bodoh. Kadar pengangguran, buta huruf dan kemiskinan di negara-negara Islam sangat tinggi berbanding negara-negara Eropah dan lain-lain. Oleh itu, usaha memperbetulkan semula jalan (tarbiyah akidah ummah) itu mesti dilakukan agar keunggulan Islam dapat direalisasikan sebagai “way of life” yang dapat dilihat, dirasai dan dikongsi oleh manusia pada masa kini bukan sahaja dari segi teorinya, tetapi juga pelaksanaannya. Inilah “Islam” yang telah diperjuangkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. sehingga baginda mampu menegakkan tamadun rohaniah yang tinggi dan asas bagi tamadun kemanusiaan (duniawi) yang kukuh untuk disambung oleh generasi al-salaf.

Oleh itu, sumber daya manusia Muslim yang cukup ramai masa kini seharusnya dapat dibina dan dididik dengan tarbiyah akidah yang hakiki supaya masyarakat Islam berakhlak mulia dan bertaqwa,  dan memiliki  ilmu fardu kifayah seperti kekuatan ilmu, ekonomi, sains, teknologi dan ketenteraan pada skala tinggi. Di tangan golongan inilah diharapkan terbinanya negara-negara Islam yang aman makmur dan mendapat keampunan Ilahi. Dengan sifat professional mereka akan berjaya membina kemakmuran di dunia. Manakala dengan sifat taqwa mereka berjaya membina keamanan dan layak mendapat keampunan Allah dan kebahagiaan di akhirat.

Meskipun selalu diwarwarkan bahawa inilah zaman kebang- kitan Islam yang tidak dapat dibendung, namun pengikutnya masih teraba-raba, tercari-cari mencari kaedah untuk menyelesaikan masalah ummah. Di satu pihak yang lain seluruh ideologi dunia sedang tenat yang mana bukan saja tidak berjaya menyelesaikan masalah manusia, malah menjadi pencetus huru hara. Ideologi dunia kini ibarat matahari petang yang hanya menunggu saat untuk terbenam. Namun yakinlah bahawa inilah zaman kebangkitan Islam yang tidak dapat dibendung. Allah S.W.T. akan memuliakan umat Islam di akhir zaman seperti yang dijanjikan dengan syarat umat Islam seharusnya benar-benar faham dan perihatin terhadap segala masalah ummah dan hendaklah kembali kepada pemurniaan Akidah al-Quran dengan usaha ikhtiar yang benar-benar tepat. Natijah dari ketepatan itulah nanti Allah datangkan kejayaan dan kemenangan kepada ummah.

Inilah yang berlaku di dunia masa kini, dunia sedang dipenuhi kezaliman. Hati manusia dilanda kerusuhan dan keserabutan. Krisis berlaku di mana-mana. Tidak puas hati, putus asa dan kecewa dialami oleh semua peringkat dan golongan. Kekacauan dan porak peranda politik tidak terkira lagi. Kesan dan natijah dari semua itu, hati manusia sangat mendambakan satu perubahan.  Mereka inginkan suasana yang lebih selesa zahir dan batin.

Revolusi-revolusi lahiriah tidak berjaya mengubah jiwa dan nafsu manusia yang sentiasa rakus dan tamak haloba. Keresahan dan kegelisahan menunjukkan manusia sudah sangat kecewa dengan sistem yang ada. Sistem yang sama sekali telah gagal malah membawa kerosakan kepada kehidupan manusia. Gelisah dan mengharapkan satu perubahan membuktikan dunia sudah amat zalim. Mengharapkan perubahan itu merupakan saat kemunculan Islam dengan kekuatan rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. akan menundukkan mereka dan memimpin dunia ke arah kedamaian dan kemakmuran bagi menggantikan dunia yang penuh kezaliman dan keganasan.  Inilah potensi sebenar yang ada pada Islam yang tidak dapat dilihat oleh Barat bahkan umat Islam juga kabur tentang kekuatan dan kemampuan mereka sendiri.

Kesimpulannya, menerusi proses tarbiyah akidah yang sebenar, umat Islam akan sedar tentang hakikat dirinya, Tuhannya, apa tujuan dan ke mana akhir kehidupannya. Oleh itu, mereka tidak dapat menafikan dan mengabaikan fitrah manusia yang memiliki hati yang sudah mengenal Penciptanya (tetapi terhijab oleh sifat-sifat mazmumah) dan mereka sentiasa inginkan keamanan, kebahagiaan dan kebaikan. Di tahap ini fitrah positif  manusia yang inginkan kebaikan disuburkan. Dengan ini tasawwur tentang peranan hamba dan khalifah, hasanah dunia dan akhirat, kehidupan dunia dan akhirat, kehidupan dan kematian, rohaniah dan pembangunan (duniawi), akan tepat dan jelas. Dan jika tahap kesedaran ini telah dilalui dengan baik, maka proses tarbiyah akidah, pengisian ilmu dan pimpinan seterusnya akan menyusul dengan lancar selaras dengan tiga peranan manusia di muka bumi sebagaimana tercatat dalam al-Quran – hamba, khalifah dan pemakmur muka bumi.

Untuk menyelamatkan orang lain, umat Islam mestilah membuktikan bahawa mereka mampu terlebih dahulu menyelamatkan diri mereka sendiri. Tegasnya, dari segi lahiriah negara-negara Islam mestilah membina kekuatan ekonomi, politik, perpaduan dan ketenteraan mereka sendiri. Manakala di sudut rohaniah pula, umat Islam mestilah mampu memiliki Akidah Islam yang sebenar, membina satu kehidupan yang lebih adil, amanah, jujur, bertimbang rasa, pemaaf, pemurah, berani dan bersih daripada kemungkaran, kezaliman, rasuah, penyelewengan kuasa dan kemaksiatan. Jika kedua-dua syarat ini dipenuhi, maka Islamlah yang lebih layak menggantikan Barat sebagai pemimpin dunia. Islam mesti mengambil giliran mendominasi tamadun dunia dengan penuh keharmonian. Asakan kekejaman bukan alasan untuk berlaku kejam. Jika demikian, bilakah kekejaman akan berakhir. 

Pejuang Islam yang sebenar bukanlah mereka yang berjuang secara terdesak atau reaktif. Sebaliknya mereka bangun dengan wajah yang lebih harmoni, mendidik, mendamaikan dan menawarkan satu tamadun yang lebih tinggi daripada apa yang diberikan oleh Barat kepada dunia. Islam datang untuk menyelamatkan dunia – Barat dan Timur, bukan sebaliknya. Inilah potensi sebenar yang ada pada Islam.