ZIKRULLAH TONGGAK UTAMA AKIDAH AL-QURAN


Titik permulaan ilmu Akidah Islam bukanlah  bermula di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah (fahaman Muktazilah dan ilmu Sifat 20, iaitu mazhab Asy’ariah-Maturidiah)  sekitar kurun ke 9 M. dan mazhab Wahabi di Arab Saudi (teori Tauhid Wahabi) pada kurun ke 18 M.  yang diasaskan menerusi hujah-hujah dan debat yang tercela (tidak memberi manfaat kepada aspek rohani, iaitu gagal mencapai khusyuk hati terhadap Allah), tetapi  ilmu (akidah) itu mesti didasarkan dari dua sumber utamanya iaitu al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. yang telah  memfokuskan tasawwur Akidah  Islam kepada satu hakikat bahawa memperbanyakkan berzikir kepada Allah  sebagai inti pati dan tonggak utama untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah.

Hakikatnya,  amalan zikrullah yang dituntut oleh al-Quran sebagai satu tuntutan wajib ke atas setiap mukalaf adalah bertitik tolak daripada makna teras yang terkandung di dalamnya, iaitu mentauhidkan Allah dalam semua keadaan dan ia boleh dicapai menerusi proses menyebut-nyebut dan mengingati kalimah (Allah) itu. Dengan kata-kata lain, golongan (ahli zahir) ini seolah-olah menganggap peraturan  yang ditetapkan oleh al-Quran  (memperbanyakkan berzikir kepada Allah) itu tidak lengkap  atau tidak sempurna, dan masih memerlukan perubahan atau ijtihad tanpa mereka sedari bahawa Allah S.W.T. menjadikan amalan ini sebagai seutama-utama  ibadat (menjadikan segala amal ibadat itu mulia atau sempurna) berpandukan kepada firmanNya:
وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ
Maksudnya;
“Dan zikrullah itu adalah seutama-utama ibadat”
                                             (Surah al-Ankabut, ayat: 45)
      
 Al-Quran membawa kepada manusia satu konsep tasawwur penting dalam Akidah Islam iaitu berzikir mengingati Allah sebagai wasilah atau jalan  yang mampu menyampaikan seseorang  kepada makrifah (mengenal) Allah S.W.T. atau mencapai kesempurnaan akidah. Ternyata al-Kitab mengkehendaki supaya umat Islam memfokuskan tasawwurnya kepada satu hakikat bahawa berzikir kepada Allah  sebagai tonggak utama dalam Akidah al-Quran. Amalan rohani Islam ini mempunyai tahap hubungan yang tinggi dan erat dengan Allah dan Dia begitu hampir dengan hamba-hambaNya. Pandangan berkenaan dikukuhkan lagi dengan firman Allah S.W.T:

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ..
“Dan Dia  berserta kamu di mana-mana pun kamu berada.” 
                                            (Surah al-Hadid, ayat: 4)   

FirmanNya lagi:
وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
Maksudnya:
“Dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya (sendiri).”                                   
                                                                                                 (Surah Qaf, ayat: 16)

Secara jelas, al-Quran telah menetapkan bentuk tasawwur akidah yang tersendiri, tidak didahului sebelumnya oleh hujah-hujah dan debat tercela (ilmu Kalam dan teori Tauhid Wahabi). Di dalamnya terdapat pengertian proses menyebut dan mengingati Allah  yang begitu luas lagi memberi kesan kepada fitrah manusia  yang dapat membersihkan  jiwa pelakunya daripada pelbagai sifat kecelaan dan menghiasinya dengan pelbagai sifat mulia. Banyak ayat Allah  di dalam al-Quran yang memerintahkan ummahNya supaya memperbanyakkan berzikir kepadaNya untuk dijadikan hujah yang mewajarkan amalan  tersebut adalah disyarakkan.

Tuntutan al-Quran menonjolkan suruhan supaya mempelajari amalan zikrullah sekali gus menunjukkan amalan rohani Islam ini adalah dikasihi Allah S.W.T. serta mempunyai kelebi- han, keagungan dan kemuliaan khusus di sisiNya (pengukuhan tauhid). Menyedari hakikat ini, dapatlah difahami bahawa tuntutan memperbanyakkan berzikir kepada Allah berperanan sebagai permulaan perjalanan menuju kepada mengenal Allah S.W.T. seperti firman Allah:
 أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya:
“Adakah belum sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman itu untuk mengkhusyukkan hati mereka dengan mengingati Allah (berzikrullah).”              
                                                                                                 (Surah al-Hadid, ayat: 16)

Allah S.W.T.  juga berfirman, maksudnya:
“..Dan Allah sentiasa memberi hidayah kepada orang yang benar-benar kembali kepadaNya. Mereka itu adalah orang yang beriman (dan beramal soleh) dan hati mereka mutmainnah (tenang) dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah hati itu akan menjadi mutmainnah (tenang).”
                                                                                               (Surah al-Ra’d, ayat: 27-28)

FirmanNya lagi:
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang  yang  bertaqwa  apabila  disentuh   rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka menjadi orang-orang yang mempunyai pandangan (khusyuk hati).”                          
                                                                                                 (Surah al-A’raf, ayat: 201)

Kategori Amalan Zikrullah

Para ulama telah membuat beberapa pengelasan tentang amalan zikrullah berasaskan penelitian dan kefahaman mereka terhadap al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. iaitu zikir al-Lisan, zikir al-Qalb, zikir al-Khafi, zikir al-Jahr, zikir al-Sirr, zikir al-Muqayyad, zikir al-Mutlaq, zikir al-Munfariq, zikir al-Jama’ah, zikir al-‘Am, zikir al-Khas, zikir Haqiqi dan zikir al-Roh. 
           
Keseluruhan pengelasan zikir tersebut jika ditelitikan adalah merujuk dua elemen, iaitu pertama, atur cara serta waktu zikir dilaksanakan, dan kedua, kefahaman yang diperolehi hasil daripada pelaksanaan zikir tersebut. Pengelasan zikir yang dilihat mengandungi elemen pertama seperti zikir al-Lisan, iaitu zikir yang dilakukan dengan lidah, zikir al-Qalb dilakukan dengan hati, zikir al-Khafi dilaksanakan secara perlahan. Zikir al-Jahr dilaksanakan dengan suara lantang, zikir al-Muqayyad tidak terikat dan terbatas dengan masa, zikir al-Munfarid dilakukan secara berseorangan dan zikir al-Jama’ah dilakukan secara berkumpulan.

Manakala zikir yang mengandungi elemen kedua pula adalah zikir al-‘Am iaitu mana-mana zikir yang dilaksanakan bertujuan memperolehi ganjaran pahala (fadilah), namun pada wak- tu yang sama bermacam-macam sifat buruk pelakunya seperti sombong, angkuh, hasad dan lain-lain tidak menjadi keutamaan kepadanya untuk dihakiskan melalui amalan zikir tersebut. Zikir al-Khas atau dikenali juga dengan zikir al-Hudur dilakukan dengan fokus untuk mencapai makrifah (mengenal) Allah di samping dapat membersihkan jiwa pelakunya daripada pelbagai sifat kecelaan dan menghiasinya dengan pelbagai sifat mulia. Zikir Haqiqi juga dikenali sebagai zikir al-Roh adalah merujuk penyaksian (musyahadah) Allah kepada hamba.

Istilah-istilah zikir di atas digunakan oleh sesetangah ulama Tasawuf  seperti Ibn ‘Ata’illah al-Iskandari, Abd al-Qadir al-Jili, Abu Isma’il al-Harawi dan lain-lain lagi. Istilah-istilah tersebut diketengahkan bertujuan menerangkan kedudukan orang-orang yang berada di suatu peringkat zikir, iaitu keseluruhan tumpuan ingatan mereka adalah hanya kepada Allah S.W.T. Orang yang berada di peringkat zikir tersebut mungkin pula akan melalui beberapa tahap ingatan yang berbeza. Tahap pertama iaitu ingatan hanya tertumpu kepada Allah, namun pada waktu yang sama kesedaran terhadap diri masih wujud. Tahap kedua, kesedaran ingatan hanya kepada Allah semata-mata dalam keadaan lenyap rasa sedar terhadap diri sendiri. Tahap ketiga, lenyap kesedaran bahawa dia mengingati Allah kerana menyaksikan hakikat zikir tersebut berasal dari perbuatan Tuhan Yang Esa, maka tiada yang lain bersertaNya. Malahan setiap tahap yang diisitilahkan oleh ahli Tasawuf tersebut bertujuan menggambarkan perbezaan antara satu dengan lainnya.

1. Mentauhidkan Allah Dalam Kalangan Para Sahabat Menerusi     Memperbanyakkan  Berzikir  Kepada   Allah (Akidah al-Quran)

Mentauhidkan Allah dari satu aspek adalah satu bentuk hubungan  ingatan seseorang kepada Allah  S.W.T. Maksudnya, seseorang tidak mungkin dapat mentauhidkanNya selagi tidak timbul dalam kesedaran ingatannya bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa. Kesedaran ingatan bahawa Allah merupakan Tuhan Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya dari aspek zat, sifat dan perbuatanNya di samping memiliki segala sifat kesempurnaan dan Maha suci daripada sebarang sifat kekurangan, semuanya itu menimbulkan keyakinan seseorang kepada keesaan Allah.

Keyakinan seseorang itu akan menjadi teguh apabila aspek kesempurnaan dan keagungan Allah S.W.T. yang dinyatakan di atas segar dalam kesedaran ingatannya. Seterusnya, ingatan yang kental kepada Allah yang dimaksudkan itu boleh wujud menerusi suatu proses menyebut dan mengingati   nama-nama dan sifat-sifat kesempurnaanNya. Malah, apabila ingatan seseorang kepada Allah kuat, maka tahap keyakinannya kepada Allah akan semakin teguh dan begitu juga sebaliknya, jika tahap ingatannya kepada Allah lemah, maka tahap keyakinannya kepada Allah turut lemah. Oleh kerana itu didapati berzikir  terus menerus yang dituntut oleh al-Quran sebagai tuntutan wajib ke atas setiap mukalaf  dengan maksudnya adalah lebih jauh daripada sekadar sebutan lisan. Ini kerana inti pati kepada tuntutan tersebut ialah supaya terbentuk satu sifat teras iaitu mentauhidkan Allah dalam dalam semua keadaan serta taat dan patuh kepadaNya dalam setiap detik kehidupan mukalaf, yang dengannya akan terhasil sifat ubudiyyah (kehambaan) iaitu tujuan utama penciptaan  jin dan manusia.

Dalam hal ini, Nabi s.a.w. pernah mengaitkan hubungan memperbaharui iman dengan memperbanyakkan berzikir apabila sahabat r.a. bertanya tentang cara memperbaharui iman yang dimaksudkan itu. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Perbaharuilah iman kamu dengan banyak menyebut dan mengingati ‘La ila ha Ilallah’.  Dalam hadis tersebut, Nabi s.a.w. telah menjelaskan hubungan yang signifikan antara memperbaharui iman dengan memperbanyakkan sebutan dan ingatan terhadap kalimah ‘La ila ha Ilallah’. Mafhumnya, seseorang yang menyebut-nyebut serta mengingati turutan makna zikir tersebut sudah pasti menghasilkan suatu ingatan yang kental kepada Allah S.W.T. dan seiringan dengan itu akan meneguhkan keyakinannya terhadapNya. Maka keteguhan dan kekentalan keyakinan seseorang kepada Allah yang dicapai menerusi memperbanyakkan menyebut serta mengingati Allah (Akidah al-Quran) itu yang dimaksudkan dalam konteks Hadis tersebut juga boleh difahami bahawa apabila aspek mengingati Allah lemah dalam diri seseorang, maka sifat iman seseorang  juga turut menjadi lusuh atau lemah. Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa amalan zikrullah yang dituntut oleh al-Quran sebagai satu tuntutan wajib ke atas setiap mukhalaf adalah bertitik tolak daripada makna teras yang terkandung dalamnya, iaitu mentauhidkan Allah dalam semua keadaan dan ia boleh dicapai menerusi menyebut-nyebut dan mengingati kalimah itu.

Munculnya ilmu Akidah baru dalam Islam yang diberi nama ilmu Kalam (fahaman Muktazilah dan mazhab Asy’ariah-Maturidiah/ilmu Sifat 20) semasa pemerintahan Khalifah al-Ma’mun pada kurun ke 8 M. (kerajaan Abbasiyyah) dan teori Tauhid Wahabi di Arab Saudi pada kurun ke 19 M. telah mengelirukan dan menyelewengkan umat Islam daripada memiliki tasawwur akidah yang sebenar. Dengan perkataan lain, yang dibicarakan di dalam siri ceramah agama atau bacaan kitab-kitab dalam kalangan ummah masa kini  tentang sifat-sifat Allah (ilmu Kalam) dan teori Tauhid Wahabi itu bukanlah ilmu Akidah al-Quran dalam pengertian yang sebenarnya tetapi hanyalah sebagai pengetahuan tentang pengertian Rabb, sifat-sifat Allah  dan af’alNya.

Inilah yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali (m. 505 H.) bahawa jalan mentauhidkan Allah yang dicetuskan menerusi proses menyebut dan mengingati Allah secara berterusan yang  dilaksanakan oleh para sahabat r.a. untuk membentuk sifat teras  iaitu mentauhidkan Allah dalam semua keadaan seolah-olah sudah tidak diketahui oleh para ulama Mutakallimin (ulama  Kalam) di zamannya dan jika difahami juga mereka tidak bersifat dengannya. Ternyata golongan (ahli Kalam)  hanya menumpukan kepada pemahaman ilmu Kalam untuk menimbulkan keyakinan akal bagi  mengesakan Allah S.W.T. Oleh sebab itu, be- liau mengatakan bahawa para sahabat r.a. berpegang kepada seluruh perkara dari Allah Azza wa Jalla kerana mereka sentiasa memiliki ingatan yang kental  dan keteguhan keyakinan kepada Allah S.W.T. menerusi memperbanyakkan berzikir mengingati Allah dalam kehidupan harian. 

Beliau seterusnya menjelaskan bagaimana umat Islam di zamannya yang telah menukar istilah ‘ahli Kalam’ kepada ‘ahli Tauhid’ dan para ulamanya ‘Mutakallimin’  itu pula dinamakan sebagai ‘ulama Tauhid’. Sebaliknya,  semua ciri-ciri khas ilmu Kalam itu tidak pernah dibicarakan di zaman generasi umat Islam yang awal. Sesungguhnya mereka (para sahabat) sangat mengingkari orang  yang membukakan pintu perdebatan dan membuka jalan ke arahnya. Ada pun yang terkandung di dalam al-Quran dari dalil-dalil zahir (Hadis-hadis Nabi s.a.w.) yang diterima pada awal pendengaran telah dipersetujui sebagai ilmu al-Quran.

Diriwayatkan bagaimana seorang Badwi buta huruf  yang datang berjumpa Nabi s.a.w. dan beliau mampu memahami ta- sawwur Akidah Islam (amalan zikrullah) hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan setelah pulang ke kampung halamannya, beliau mampu mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah (Islam)  yang sebenar. Namun dalam kalangan umat Islam masa kini, tarbiyah akidah yang dilaksanakan menerusi pemahaman ilmu Kalam  dan teori Tauhid Wahabi begitu berfalsafah dan menyusahkan! Oleh sebab itulah, maka bukan orang biasa sahaja yang sukar untuk memahami maksud aspek rohani itu, tetapi para mahasiswa pun  tidak memahaminya. Malah, seseorang Muslim itu bukan bertambah sempurna akidahnya, tetapi bertambah kusut pemikirannya tentang aspek akidah. Sehingga lanjut usia, mereka masih dalam kesamaran dan kebingungan, dan jalan tarbiyah ilmu Akidah reka cipta itu pula  tidak dapat diterap dalam amal ibadat dan kehidupan harian (gagal mencapai khusyuk hati terhadap Allah).


Diajar ilmu Akidah tentang pengertian Rabb, sifat-sifat Allah dan af’alNya, padahal penganut-penganut agama lain  juga menyatakan sifat-sifat tuhan mereka seperti ada dan berada di atas langit, mempunyai muka, tangan, mata, rusuk, boleh turun naik, berkuasa, mendengar atau tidak pekak, melihat atau tidak buta dan sebagainya yang dilonggokkan pada akal. Apakah beza pegangan orang kafir (terhadap sifat-sifat  tuhan mereka) berbanding akidah umat Islam di zaman ini yang ditarbiyahkan menerusi ilmu Akidah reka cipta (dilonggokkan pada akal)? Tanpa mereka (golongan ahli zahir) sedari bahawa pengetahuan  sifat-sifat Allah dan mendefinasikan Rabb (pada akal) itu tidak dapat membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat keji) dan mereka sentiasa gagal untuk mencapai khusyuk hati kepada Allah dan tenggelam dalam lautan lalai semasa mengerjakan segala amal ibadat.

Ternyata segala hujah-hujah dan debat yang tercela itu hanyalah sekadar ilmu yang berpaut pada akal atau hafalan semata-mata yang tidak mampu menjangkau atau mencerap alam roha- niah (alam malakut) dan akan sentiasa muncul pelbagai persoalan yang tiada kesudahan (waswas syaitan dalam diri), dan sentiasa memerlukan penghuraian yang mendalam (ilmu Kalam dan teori Tauhid Wahabi) bertujuan mengisbatkan wujudnya Allah S.W.T. Malah, tanpa mereka sedari bahawa sifat-sifat Allah  dan af’alNya ini tidak pernah diperdebatkan atau dibahaskan oleh generasi umat Islam di zaman yang awal. Hakikatnya, apa yang disangka ilmu akidah itu bukanlah ilmu Akidah al-Quran yang sebenar, tetapi merupakan hujah-hujah dan debat yang tercela sekadar menjadi tarbiyah akidah ikut-ikutan yang begitu rapuh dan goyah sifatnya.

2. Usaha Iblis Untuk Menguasai Hati

Apabila iblis dan syaitan mengetahui dan menyedari, pusat operasi terpenting dalam tubuh badan manusia ialah hati, maka mereka berusaha sedaya upaya untuk menguasai pusat itu de- ngan cara mewujudkan perasaan waswas kepadanya (waswas syaitan), menghiasi nafsu dan syahwat, dan melariskan gerak kerja anggota zahir yang boleh menyelewengkan seseorang daripada jalan yang lurus. Iblis menguatkan pula dengan sumber-sumber luar (pengaruh persekitaran dan masyarakat) yang menjadikan manusia jauh dari mendapat hidayah dan pertolongan dari Allah S.W.T. Berbagai jerat dan jaring digunakan iblis dan syaitan untuk mempengaruhi manusia. Andaikata manusia terselamat daripada terjebak ke dalam satu jaring, ia tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada menempuh halangan lain dalam perjalanan untuk mencapai ‘mardhatillah’.

Terlalu sedikit manusia yang terselamat daripada tipu daya iblis dan syaitan ini kecuali golongan orang-orang yang mampu berzikir dan mujahadah  dengan bersungguh-sungguh untuk melepaskan dari jerat-jerat (sifat-sifat keji) bertujuan mempengaruhi manusia. Allah S.W.T. berfirman di dalam al-Quran yang mulia itu:
إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya hamba-hambaku yang ikhlas, tidak akan dapat dipengaruhi oleh mereka (syaitan).”
                                                                                                 (Surah al-Hijr, ayat: 42)   
                 
Berkata Sayyidina Ali bin Abu Talib r.a:
“Sesungguhnya semua manusia bersungut atas iblis, namun  iblis juga bersungut ke atas orang yang berzikrullah.”

Lalu beliau pun membaca firman Allah S.W.T:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَواْ إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang  yang  bertaqwa  apabila  disentuh   rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka menjadi orang-orang yang mempunyai pandangan (rahmat Allah ).”                                                                     (Surah al-A’raf, ayat: 201)

Allah S.W.T  juga telah berfirman:
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ 
إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ 
قَالَ هَذَا صِرَاطٌ عَلَيَّ مُسْتَقِيمٌ
Maksudnya:
“Iblis berkata, ‘Wahai Tuhanku! Kerana engkau telah menjadikan  daku sesat, sesungguhnya aku akan memperindahkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di kalangan mereka’. Allah berfirman: ‘Inilah jalan yang lurus yang Aku tetap memeliharanya’.”                                                                                                         (Surah al-Hijr, ayat: 39-41)

Hati berdasarkan fitrah ciptaan Allah (tanpa pelbagai hijab) bersedia menerima petunjuk Ilahi, tetapi oleh kerana ia dibentengi oleh kehendak hawa nafsu syahwat dan waswas syaitan menjadikan ia menyeleweng dan berpaling dari petunjuk Allah (hati yang mati). Hati sentiasa menjadi rebutan antara tentera malaikat yang ditugaskan untuk menjaga hati manusia (‘nur zikrullah’) dengan tentera syaitan yang berusaha keras untuk menjajah dan menaklukinya, sehingga hati itu menyerah kepada salah satu daripada dua bala tentera ini. Apabila hati sudah dikuasai dan dijajah oleh mana-mana tentera ini, tentera ini akan menguatkan cengkamannya ke atas hati dan seterusnya membuat penempatan dan membuka operasi pentadbirannya di sana. Inilah yang dimaksudkan di dalam firman Allah S.W.T.: 
 مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ
Maksudnya:
“Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa tersembunyi.”            
                                                                                                 (Surah al-Nas, ayat: 4)

FirmanNya lagi.
وَلِتَصْغَى إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُواْ مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ
Maksudnya:
“Dan agar hati kecil orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan (syaitan) itu dan agar mereka merasa senang kepadanya serta supaya mereka mahu mengerjakan apa yang dikerjakan oleh syaitan itu.”
                                                                                                 (Surah al-An’am, ayat: 113)

Bala tentera syaitan dan iblis akan menjauhi golongan orang-orang yang mampu berzikir terus menerus (zikrul-Qalb). Apabila ia lalai dari berzikir, maka syaitan dan iblis akan ambil kesempatan menguasai hati. Tidak ada amalan lain yang mampu menghalau tentera syaitan dan iblis kecuali melaksanakan amalan rohani Islam. Tentera syaitan dan iblis tidak dapat menguasai hati yang sentiasa berzikrullah kerana hati mereka dipenuhi oleh nur hidayah Ilahi (nur zikrullah). Sesungguhnya  tentera syaitan dan iblis sentiasa berusaha menghalang manusia dari mendapat petunjuk Ilahi dengan menyesatkan mereka dengan jalan melalaikan dari berzikir  dan sentiasa menurut kehendak hawa nafsu.

3. Praktik Zikir Sebagai Jalan Makrifah

Suatu perkara yang disepakati bersama-sama oleh semua sarjana Islam iaitu tuntutan berzikir mengingati Allah dalam al-Quran. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang secara jelas me nganjurkan sebutan lafaz  Allah itu sendiri samada dalam bentuk arahan, galakan atau dalam bentuk ancaman terhadap orang  yang meninggalkannya. Amalan rohani  Islam inilah yang pernah ditanyakan oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a.  kepada Nabi s.a.w. sebagai jalan (tarekat Tasawuf) untuk mencapai keredaanNya. Tanya Sayyidina Ali r.a:
“Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepada ku jalan yang paling dekat untuk sampai kepada Allah S.W.T., paling mudah (diamalkan) oleh hamba-hamba Allah dan yang paling afdhal (terbaik) di sisi Allah .” 
Nabi s.a.w. menjawab dengan sabdanya:
“Wajiblah atas engkau berterusan berzikrullah secara sirr (di dalam hati tanpa suara) dan secara terang (dengan suara).”

Gagasan anjuran berzikir terus menerus yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. ditonjolkan secara jelas dan terang, bahawa pengamalannya adalah dituntut sebagai satu amalan yang penting bagi setiap mukalaf. Malah, al-Quran menggambarkan suatu kewajipan setiap individu Muslim mempelajari amalan itu sebagai dalil khusus mewajibkan amalan tersebut. Oleh sebab itulah, maka Allah S.W.T. berfirman:
وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّآلِّينَ
Maksudnya:
“Dan berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk kepada jalan berzikrullah mu/zikir darajat). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat (memiliki hati yang mati).” 
                                                                                                (Surah al - Baqarah, ayat: 198)

Apabila konsep amalannya termaktub dalam sumber utamanya, iaitu al-Quran dan al-Sunnah, di samping  terserlah kepentingan pengamalannya dalam mencapai kesempurnaan akidah (makrifah Allah), dapatlah difahami bahawa tuntutan memperbanyakkan berzikir mengingati Allah  bukan sekadar  suatu galakan atau suatu anjuran amalan sunat kepada setiap mukalaf. Malahan ia merupakan  amalan yang cukup berkesan dalam hubungan makrifah (mengenal) Allah serta sifat-sifat kesempurnaan dan keagunganNya.

Memandang pelbagai kejadian Allah adalah penting kerana tanpa menerusinya seseorang tidak mampu mengenali Allah sampai ke peringkat sebaik-baiknya. Sebagai contoh, apabila seseorang melihat satu kejadian Allah seperti memandang kejadian langit, pada waktu yang sama, pandangan rohaninya berperanan menghubungkan kejadian yang dilihat itu kepada Allah sebagai Penciptanya. Namun begitu, pandangan hati/rohani sesorang itu hanya mampu berfungsi apabila kekuatan ‘nur zikrul- lah’ telah memenuhi segenap sudut hatinya menerusi amalan zikir yang sentiasa dilakukan. Ketika itu, akan timbul dalam kesedaran akal dan hati seseorang rasa wujud Allah yang sangat kental, sehingga membolehkannya menghubungkan setiap kejadian alam yang dilihat kepada makna kebesaran dan keagungan Allah S.W.T. yang merupakan sebahagian daripada makna alam malakut yang terkandung dalam setiap penciptaan Allah. Semakin teguh ingatan kepada Allah, semakin tinggi peringkat zikir yang dicapai oleh seseorang.

Berdasarkan hujah-hujah atau dalil-dalil yang telah dihuraikan di atas, rasanya telah memadai untuk membuktikan bahawa  amalan zikir mengingati Allah adalah tonggak utama dalam Akidah al-Quran. Amalan ini adalah satu jalan terbaik untuk sampai kepada mengenal Allah, di samping merasa kasih serta takut kepadaNya dan mencapai pelbagai tingkatan iman yang sempur- na. Ternyatalah memperbanyakkan proses menyebut dan mengi- ngati Allah adalah suatu kewajipan yang tidak boleh diketepikan sama sekali kerana ia merangkumi makna beriman kepada Allah. Akidah al-Quran (berzikir mengingati Allah terus menerus) adalah begitu mudah dan ringkas untuk difahami dan dilaksanakan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat  dan generasi umat Islam di zaman yang awal itu. Terbukti baginda dan para sahabat  telah berjaya menyebarkan syiar Islam dengan begitu pantas dan mudah.
     
Apabila ummah memilih jalan tarbiyah akidah yang lain maka natijahnya  juga akan menjadi lain. Mereka mesti menolaknya dan kembali mengikut jejak langkah tarbiyah akidah  ge- nerasi umat Islam di zaman awal itu. Malah, berzikir mengingati Allah terus menerus merupakan suatu kewajipan menurut Syarak. Kewajipan tersebut merupakan satu instrumen penting bagi membolehkan seseorang Muslim mencapai makrifah (mengenal) akan Allah S.W.T. Sebaliknya, golongan ahli zahir masa kini  terus menafikan tarbiyah ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf), lantas hati mereka mati (tidak berfungsi) dan mereka hanya beriman kepada Allah secara taklid (ikut-ikutan) sahaja seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
 فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللّهُ مَرَضاً وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Maksudnya:
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.”
                                                                                                 (Surah al-Baqarah, ayat:10)

4. Perintah Sentiasa Berzikir Mengingati Allah      

Anjuran dan suruhan berzikir kepada Allah secara terus menerus (sepanjang masa) dalam al-Quran adalah banyak dan semua itu menggambarkan betapa perlu dan pentingnya kepada seseorang Muslim dalam menzahirkan sifat kehambaan dirinya kepada Allah S.W.T. menerusi amalan rohani Islam ini. Oleh itu, berzikir mengingati Allah sebagai Akidah  al-Quran adalah satu pekara wajib ke atas setiap mukalaf. Kitab Allah ini sesungguhnya telah mengubati hati manusia yang sebelumnya berada di dalam kesesatan (hati yang mati). Ini kerana hakikat akidah merupakan fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia (hati/roh) dan amalan rohani ini sebagai wasilah yang terpenting dalam proses untuk menyucikan pelbagai hijab hati (sifat-sifat tercela).

Al-Quran datang untuk mengatur keperluan roh manusia itu dengan peraturan yang senang lagi mudah iaitu menerusi  berzikir mengingati Allah. Keimanan atau kesempurnaan akidah ini begitu mudah untuk dicapai (memperbanyakkan proses menyebut dan mengingati Allah, iaitu Akidah al-Quran) dan tidak ada sebarang kesukaran untuk memahami dan mengamalkannya (ilmu dan amalan tarekat Tasawuf). Dengan terbukanya hijab hati  mereka dapat memiliki dan menghayati perkara yang terbaik pada zahir (menjauhi segala larangan Allah dan melakukan segala suruhanNya) dan sentiasa mentauhidkan Allah dalam semua keadaan (kesempurnaan akidah). 

Allah S.W.T. memerintahkan ummahNya  memperbanyakkan berzikir mengingatiNya berpandukan banyak ayat anjuran menyebut lafaz Allah (berzikir) terus menerus dalam al-Quran. Antara dalil al-Quran yang menonjolkan anjuran  berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya seperti firmanNya:
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ
Maksudnya:
“(Orang berakal) itu ialah mereka yang (berterusan) berzikrullah ketika berdiri, duduk dan berbaring (sambil) memikirkan (keagungan dan kesempurnaan Allah) dalam ciptaanNya yang di langit dan di bumi.” 
                                                                                                  (Surah Ali Imran, ayat: 191)

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً  وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيل
Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, berzikrullah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadanya di waktu pagi dan petang (sepanjang masa ).”    
                                                                                                 (Surah al-Ahzab, ayat: 41 - 42)

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya:
"Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu (berzikrullah) dengan merendah diri dan rasa takut dan dengan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang (sepanjang masa) dan janganlah engkau termasuk (ke dalam golongan) orang-orang yang lalai." 
                                                                                                 (Surah al - A’raf, ayat: 205)

وَاذْكُر رَّبَّكَ كَثِيراً وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالإِبْكَارِ
Maksudnya:
“Dan sebutlah (nama) Tuhanmu (berzikrullah) sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu petang dan pagi (sepanjang masa).”     
                                                                                                 (Surah Ali Imran, ayat:  41)

وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيراً وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْراً عَظِيم
Maksudnya:
“Lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah (berzikrullah), Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.”                 
                                                                                                 (Surah al – Ahzab, ayat: 35)

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِكُمْ
Maksudnya:
“Apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu berzikrullah kepada Allah dalam keadaan berdiri dan keadaan duduk serta keadaan berbaring di atas lambung (sepan- jang masa)        
                                                                                                 (Surah al - Nisa’, ayat: 103)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُواْ وَاذْكُرُواْ اللّهَ كَثِيراً لَّعَلَّكُمْ تُفْلَحُونَ
Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu berperang dengan kaum kafir hendaklah kamu tetap (taqwa), serta berzikrullah sebanyak-banyaknya (sepanjang masa), mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan.”                 
                                                                                                 (Surah al - Anfal, ayat: 45)

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
Maksudnya:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah (S.A.W.) itu ciri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak berzikrullah (sepanjang masa).”        
                                                                                                 (Surah al - Ahzab, ayat: 21)


فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيراً لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya:
“Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah (rezeki) dan berzikrullah sebanyak-banyaknya (sepanjang masa).”  
                                                                                                 (Surah al - Jumu’ah, ayat: 10)

وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيل
Maksudnya:
“Bertasbihlah pada waktu malam yang panjang pada malam hari.”                               
                                                                                                 (Surah al-Insan, ayat: 26)

وَاذْكُرُواْ اللّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ
Maksudnya:
“Dan berzikrullah (di Mina pada musim Haji) beberapa hari yang berbilang-bilang.” 
                                                                                                 (Surah al - Baqarah, ayat: 203)

Ayat-ayat Allah di atas menyeru umat Islam supaya  memperbanyakkan menyebut serta mengingati Allah  dan fakta ini sudah cukup jelas membuktikan bahawa amalan ini adalah satu perkara wajib ke atas setiap mukalaf  dengan  maksudnya  adalah lebih jauh daripada sekadar sebutan lisan. Ini kerana inti pati kepada tuntutan tersebut ialah supaya terbentuk satu sifat teras iaitu mentauhidkan Allah dalam  semua keadaan serta taat dan patuh kepadaNya dalam setiap detik kehidupan. Inilah tasawwur Akidah al-Quran yang diwahyukan oleh Allah S.W.T. Sumber ini tidak ada sebarang sandaran kepada yang selainNya, lantaran itulah ia berbeza daripada tasawwur akidah reka cipta manusia (hujah-hujah dan debat yang tercela) yang bersifat falsafah atau lahir daripada hasil pemikiran (lojik akal) berhubung sifat-sifat Allah  dan pengertian Rabb.

Dari fakta-fakta ayat al-Quran dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa  berzikir mengingati Allah sebanyak-banyaknya  merupakan  amalan yang  disyarakkan berdasarkan dalil khusus yang menganjurkan umat Islam supaya sentiasa berzikir kepada Allah (Akidah al-Quran). Hakikatnya, amalan ini merupakan bahagian asasnya yang sangat penting kerana tanpanya maka agama Islam bukan sahaja tidak akan sempurna tetapi akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Amalan ini penting dalam Islam kerana ianya mampu menyampaikan seseorang kepada mengenal Allah S.W.T. dan menjadi roh atau inti pati bagi segala amal ibadat seperti solat, haji, jihad, mencari rezeki, puasa dan sebagainya. Kepada golongan yang ingin memiliki tasawwur terhadap akidah yang sebenar, mereka mesti mengikut peraturan yang telah ditetapkan Allah S.W.T. di dalam al-Quran (memperbanyakkan berzikir mengingati Allah) yang sudah tergambar dengan jelas dan nyata. Malahan kita harus meninggalkan tarbiyah akidah menerusi pemahaman ilmu Akidah reka cipta yang tiada hubungan dengan roh/hati.

5. Kemurkaan Allah Terhadap Orang Yang Lalai Berzikir MengingatiNya
  
Golongan  ahli zahir  sentiasa mengabaikan amalan rohani Islam  ini kerana kekeliruan dalam memahami tuntutan berzikir mengingati Allah menurut al-Quran sebagai tuntutan wajib yang mana maksudnya adalah lebih jauh daripada sekadar sebutan lisan.  Oleh itu, zikir lisan yang dipraktikkan dalam keadaan hati yang lalai dianggap tidak lebih menjadi zikir adat (zikir al-‘adah), iaitu zikir menjadi adat kebiasaan yang tidak menambahkan sebarang kebaikan kepada pengamalnya. Malah, lebih jauh dari itu, ia dianggap sebagai zikir lalai (zikir al-ghaflah) yang balasan amalan bakal diterima oleh pelakunya hanyalah laknat (azab siksa) serta dijauhkan daripadanya rahmat.

Dalam hal ini, Fakr al-Din al-Razi yang merupakan ahli Tafsir yang muktabar  menerangkan bahawa:
“Maksud berzikir itu ialah seseorang faham makna lafaz zikir yang diucapkannya di samping menghadir dalam hati makna kebesaran, keagungan, kemuliaan serta kesempurnaan Allah S.W.T. Hal ini kerana berzikir yang tidak disertakan ingatan kepada Allah dalam hati adalah tidak berfaedah. Jika diperhatikan, ulama Fiqah sebulat suara berpandangan bahawa apabila seorang pembeli berkata: “Saya beli barang ini” dan hal keadaannya tidak memahami makna ucapan tersebut, maka proses jual beli itu tidak sah.”

Dalam waktu yang sama, al-Quran telah menegah manusia daripada bersifat lalai mahupun bersama-sama  golongan yang lalai terhadap berzikir kepada Allah. Di samping itu, al-Kitab turut mendedahkan berbagai-bagai bentuk  janji balasan buruk terhadap sesiapa yang meninggalkan amalan ini seperti balasan azab neraka, berada dalam kesesatan, melaksanakan kerja yang keji, syaitan dijadikan teman untuknya dan sebagainya. Nas al-Quran yang dikemukakan sebagai contoh kepada maksud tersbut ialah firman Allah:
فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Maksudnya:
“Maka besarlah kecelakaan (azab siksa) bagi mereka yang keras hatinya untuk berzikrullah. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”     
                                                                                                 (Surah al - Zumar, ayat: 22)

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُوْلَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya:
“Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa berzikrullah (hati yang mati), mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang rugi.”                             
                                                                                                 (Surah al - Mujadalah, ayat:19)

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
Maksudnya:
“Dan barangsiapa yang membelakangi berzikrullah kepada Tuhan yang Maha Pemurah, akan Kami jadikan baginya syaitan yang akan menjadi rakan.”  
                                                                                                 (Surah al - Zukhruf, ayat: 36)


إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللّهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan melalaikan kamu dari berzikrullah (memiliki hati yang mati) dan mengerjakan solat. Maka mahukah kamu berhenti (dari mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang keji itu).      
                                                                                                 (Surah al – Maidah, ayat: 91)

Berpandukan catatan beberapa nas al-Quran di atas menunjukkan bahawa individu Muslim yang tidak berzikir mengingati Allah terus menerus akan  sentiasa terbelenggu dengan para syaitan. Maka para syaitan inilah yang akan bersama-sama mengendalikan kehidupan hariannya seperti akidah, amal ibadat, pekerjaan, percakapan, pemikiran, idea,  makan minum dan sebagainya. Hakikatnya,  jika kita lalai berzikir kepada Allah, maka kita akan terjebak dalam perangkap syaitan. Oleh itu, apabila umat Islam ingkar untuk berzikir mengingati  Allah terus menerus (Akidah al-Quran) sedangkan Allah S.W.T. lebih hampir kepadanya daripada urat lehernya  sendiri, maka tiadalah yang lebih malang, lebih parah dan paling rugi segala usahanya (amal ibadat) di dunia ini, iaitu  mereka memiliki hati yang  mati (kesesatan). 

Lantaran keutamaan dan keagungan amalan  ini (Akidah Islam), al-Quran telah menghukum dengan hukuman munafik kepada mereka yang sedikit berzikir mengingati Allah (berzikir dengan lisan semata-mata). Tali rohaniah mereka terputus atau tergelincir dari landasan Akidah al-Quran akibat kegagalan  berzikir mengingati Allah terus menerus sebagaimana firman Allah S.W.T:
وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاً
Maksudnya:
“Mereka itu (orang-orang munafik) tidak berzikrullah kecuali sedikit sekali.”                  
                                                                                                 (Surah an - Nisa’, ayat: 142)

Ketika mentafsirkan sepotong ayat dalam surah al-A’raf: ayat 205, Shaikh Fakr al-Din al-Razi telah membuat satu kesimpulan bahawa: “Ayat ini telah membuktikan wajib seseorang seseorang itu mengingati Allah sepanjang waktu dan tidak pula melupaiNya walaupun sesaat mengikut kadar kemampuan manusia yang dikurniakan Allah.”

Sememang tepat benarlah pandangan para ulama Tasawuf  bagaimana fenomena kemunafikan (menyembunyikan kufur di hati) yang berleluasa berlaku dalam kalangan ummah masa kini tanpa disedari adalah akibat mengabaikan amalan rohani Islam (Akidah al-Quran). Golongan (ahli zahir) ini memiliki hati yang mati (lalai berzikir kepada Allah) dan mereka hanya  menumpukan kepada pelaksanaan segala amal ibadat  (Syariat Islam) se- ma tamata, lantas Allah melupai ummah yang ingkar ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:
 يُثَبِّتُ اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللّهُ مَا يَشَاءُ
Maksudnya:
“Allah meneguhkan (pegangan) orang yang beriman dengan kalimah yang teguh (zikrullah) dalam kehidupan dunia dan akhirat. Allah menyesatkan orang-orang yang zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki.”                  
                                                                                                 (Surah Ibrahim, ayat: 27)

6. Hadis-hadis  Mengenai  Keutamaan  Berzikir  Mengingati  Allah

Berzikir mengingati Allah merupakan asas yang kuat ke jalan menuju ke hadrat Allah S.W.T. dan keredaanNya, juga sebagai langkah utama ke jalan menuju rasa cinta (mahabbah) kepadaNya. Sebabnya, seseorang itu tidak dapat mencapai rasa cinta tanpa berzikir dan mujahadah. Orang-orang yang beriman dan mencintai Allah S.W.T. hatinya selalu dihiasi dengan berzikir kepada Allah  kerana amalan zikir terus menerus (Akidah al-Quran) itu merupakan santapan bagi rohani mereka. Hidup dalam kelalaian tanpa amalan zikir  adalah hampa dan sia-sia (kesesatan). Misalnya, kalau kita mencintai seseorang, maka kita suka menyebut-nyebut namanya dan selalu ingat kepadanya. Malah, sesiapa pun yang di dalam hatinya tertanam rasa cinta terhadap Allah, maka dia akan sentiasa menyebut serta mengi- ngatiNya. Para ulama telah bersepakat bahawa cinta kepada Allah  adalah suatu kewajipan dengan ketaatan dan ketaqwaan. Oleh itu, langkah pertama menuju kepada lahirnya rasa cinta kepada Allah adalah menerusi memperbanyakkan suatu proses menyebut  serta mengingati Allah.

Nabi s.a.w. amat mengambil berat terhadap amalan zikir mengingati Allah   dalam kehidupan harian  dan  menyifatkan orang yang tidak berzikir itu seperti orang  yang mati sebagaimana sabda baginda yang  bermaksud:
“Perbandingan orang berzikrullah dengan orang yang  tidak berzikrullah, adalah seperti orang  hidup dengan orang yang mati. Orang tidak berzikrullah adalah seperti orang yang mati.”                    
                                                                                                 (HR Abu Musa r.a)

Nabi s.a.w.  juga menjelaskan keutamaan  amalan zikir sehingga malaikat Jibril a.s. mengingatkan baginda supaya sentiasa mengambil berat terhadap berzikir mengingati Allah sebagaimana sabda baginda  yang bermaksud:
“Malaikat Jibril a.s. menyuruh aku supaya mengambil berat  terhadap zikrullah sehingga aku menyangka bahawa tiada sesuatu pun yang boleh menguntungkan aku tanpa berzikrullah.”
                                                         (HR  Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan dari Jabir r.a)

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Zikrullah itu adalah tanda keimanan, pelepasan dari nifaq, benteng godaan syaitan dan pemeliharaan dari api neraka jahanam.” 

Sabda baginda lagi yang bermaksud:
“Allah S.W.T. berfirman: “Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaKu, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Jika ia mengingati Aku di dalam hatinya, maka Aku mengingatinya di dalam hatiKu, dan jika dia mengingati Aku di dalam jemaah, maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik (jemaah para malaikat). Apabila hambaKu mendekati sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari.”
                                                                                                 (HR  Abu Hurairah r.a)

Abu Darda r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bertanya kepada para sahabat r.a. yang bermaksud:
“Mahukah aku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak (di jalan Allah) yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah-tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu?” Para sahabat berkata: Bahkan, apakah itu ya Rasulullah s.a.w.?” Sabda baginda: “Zikrullah”.”

Seorang sahabat yang bernama Razin r.a. memberitakan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Aku khabarkan kepada engkau akan sumber kekuatan agama yang akan membahagiakan engkau di dunia dan Akhirat, iaitu majlis-majlis zikir. Maka hendaklah kamu menghadirinya dan apabila engkau seorang diri hendaklah engkau berzikir sebanyak yang engkau dapat.”

Abu Hurairah r.a. berkata:
“Jika nama Allah disebutkan di sesebuah rumah maka cahaya rumah yang terang benderang itu menyilaukan pandangan para penghuni langit seperti bintang dan cahayanya menyilaukan pandangan para penduduk di bumi ini.”

Abu Hurairah r.a. dan Abu Said r.a. memberitakan bahawa mereka menyaksikan dan mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada jemaah yang duduk sambil berzikrullah melainkan dikerumunilah mereka oleh para malaikat, diliputi mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan dan disebutkan mereka di sisi Allah S.W.T.  di hadapan mereka yang berada di sisiNya.”

Abu Said al-Khudri r.a. memberitakan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau berzikir sebanyak-banyaknya sehingga orang mengatakan kamu gila.”

Amalan berzikir mengingati Allah yang dilakukan akan memancarkan “nur zikrullah” menerusi hati yang dibersihkan hijabnya. Hasil “nur zikrullah” ini akan menampakkan tanda-tanda dalam setiap perbuatan dan perkataan kita dalam amal ibadah dan kehidupan harian kita.

Orang yang hatinya hidup (sentiasa berzikir mengingati Allah) tidak banyak bercakap kecuali menyebut lafaz Allah sebagai tanda kecintaan kepada Allah. Tubuh mereka tidak bergerak kecuali untuk menjalankan perintah Allah. Kata-kata mereka bebas dari kebohongan, kekejian, hasutan dan fitnah. Fikirannya tajam, bersinar dan memancarkan kebenaran kerana mendapat petunjuk dari Allah S.W.T. Malah, lidah mereka mengutarakan apa yang terkandung dalam hati, hati mereka adalah milik rahsia rohaniah, dan rahsia rohaniah itu adalah petunjuk dan hidayah Ilahi (ilmu ladduni).
   
7. Natijah Zikir, At-Tawajud dan Al-wajd

Para ulama Tasawuf membahagikan zikir itu kepada tiga jenis iaitu zikir hati (zikir al-Qalb), zikir lidah (zikir al-Lisan) dan zikir seluruh anggota badan (zikir al-Jawarih). Mengenai zi- kir seluruh anggota badan (zikir al-Jawarih) ini  merupakan kesan atau natijah dari zikir hati atau zikir lisan atau kedua-duanya sekali sehingga terasa seluruh anggota ikut berzikir dan bergetar sebagaimana firman Allah S.W.T.:
 اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَاباً مُّتَشَابِهاً مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ ال
Maksudnya:
“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (al-Quran) yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya semua kulit (semua anggota) orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian menjadi tenang kulit-kulit (semua anggota) dan hati-hati mereka itu ketika mereka  mengingati Allah (berzikrullah).”
                                                                                                 (Surah al-Zumar, ayat: 23)

Untuk mencapai motif  zikir seperti ayat Allah  di atas iaitu orang yang khusyuk hatinya merasa gementar dengan berzikrullah, maka  zikir lisan  dengan sebutan Allah.. Allah… Allah (zikir Ism al-Dhat) hendaklah dilaksanakan secara serentak dengan minda dan bersepadu dengan seluruh anggota badan terhadap wujud Allah. Kebiasaan zikir ini dipraktikkan oleh seseorang yang telah mendapat keizinan (bai’ah) daripada guru mursyid untuk mengamalkannya. Hal ini juga dikenali sebagai zikir darajat yang dilaksanakan oleh para pengamal tarekat Tasawuf  secara konsisten berserta hemah yang kuat di samping menepati kaedah dan atur cara pengamalannya sebagaimana telah diajar oleh guru yang membimbing mereka.

Menerusi zikir yang  berterusan tersebut, khusyuk hati terhadap Allah yang sepenuhnya akan tercapai. Kalimah Allah (‘nur zikrullah’) terasa tertulis dan terpahat di seluruh jasmani dan rohani atau zahir dan batin. Kalimah Allah terasa meliputi seluruh anggota zahir dari ubun-ubun hingga ke hujung jari kaki, yang meresap ke dalam darah, kulit, daging, urat-urat saraf, sendi-sendi, tulang hingga ke sumsum, iaitu merasakan keagungan serta kesempurnaan Allah S.W.T. menjadikanNya sebagai tempat tujuan dan matlamat kehidupan ini. Selain itu, ingatan fikiran, emosi dan hati tertumpu hanya kepada Allah  supaya terzahir “hakikat akidah”  yang tersirat di dalamnya. Hakikat akidah dimaksudkan ialah ingatan mereka karam dalam mengingati Allah (fana’fillah) sehingga kewujudan segala makhluk dirasakan lenyap dalam pandangan basirah, lantas yang terzahir hanya rasa wujud Allah yang esa.

Demikian juga aspek rohani. Tingkat ini diistilahkan dengan sultanul-zikri (raja zikir). Dalam sesetengah aliran tarekat, ia dikenali sebagai peringkat latifah kulli jasadi (zikir seluruh jasad, zahirnya dan rohaninya). Bila zikir tingkat ini telah tercapai dengan rasa dalam rohani wujud Allah yang jelas, maka baharulah hati sentiasa menghayati Allah iaitu terbuka hijab hati, maka hati bukan hanya hidup dan terjaga, tetapi pandangan mata hati (basirah) akan menjadi terang dan dapat musyahadah terhadap apa-apa yang Allah kehendaki atau kurniakan kepadanya.

Ketika mata hati itu musyahadah, maka seluruh kesedaran rohaninya hanya tertumpu kepada Allah semata-mata. Dorongan dan tumpuan tersebut itulah yang dimaksudkan dengan jadhbah. Orang yang mendapat jadhbah itu dikenali sebagai orang yang majdhub. Mungkin juga jadhbah itulah antara hakikat yang dimaksudkan dalam firman Allah S.W.T. dalam surah al-Zumar, ayat 23.

Gementarnya seluruh anggota orang yang takutkan Allah  ketika mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas merupakan kesan dari pengalaman jadhbah, kemudian diikuti oleh keadaan tenang seluruh jasmani dan rohani ketika musyahadah terhadap Allah S.W.T. yang diingatinya itu.

Ketika dalam keadaan majdhub itulah juga orang tersebut akan mendapat fana’ fillah dan baqa’ billah. Oleh sebab itu, maka orang yang dikatakan telah mempunyai pengalaman dalam mengharungi berbagai-bagai lautan jadhbah di atas ialah orang yang telah mengalami fana’ dan baqa’ yang tersebut ketika majdhub itu.

Pelbagai hal kerohanian yang dialami seolah-olah sebagai satu isyarat, pedoman atau satu penanda aras kepada tingkatan atau peringkat zikir yang dimiliki oleh seseorang murid/salik. Mereka yang mempunyai perasaan yang sangat mendalam untuk mengingati Allah sewaktu berzikir, maka aspek emosi dan aspek fizikalnya turut berubah. Ini bermaksud tumpuan ingatan fikiran yang kuat kepada Allah mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap perubahan emosi seseorang dan sekali gus  melibatkan perubahan perasaan terhadap aspek fizikalnya. Kepala semacam bergerak dan badan gementar berserta  rasa takut bersangatan kepada Allah ketika berzikir. Secara logik yang boleh difahami, apabila seseorang mengalami perasaan sangat takut kepada Allah, maka sudah pasti ingatan fikiran seseorang juga sangat kuat  bertumpu kepada sebahagian daripada makna Kebesaran, Keagungan dan Kesempurnaan Allah. Tidak mungkin pula seseorang yang diselubungi oleh perasaan takut bersangatan kepada Allah, dalam waktu yang sama memikirkan tentang perkara yang tiada perkaitannya dengan Allah.     

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (sikit sangat tidur kerana mengerjakan solat tahajjud), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemu- rahanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya).”               
                                                                                                 (Surah al-Sajdah, ayat: 16)

Allah S.W.T.  juga berfirman:

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (al-Quran) yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya semua kulit (semua anggota) orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian menjadi tenang kulit-kulit (semua anggota) dan hati-hati mereka itu ketika mereka  mengingati Allah (berzikrullah).”
                                                                                                 (Surah al-Zumar, ayat: 23)
                      
Apabila hubungan antara ingatan fikiran dan emosi seseorang yang berzikir terjalin secara utuh dan teguh, ia juga turut mempengaruhi fizikal seseorang. Hal demikian telah dibayang- kan oleh Allah dalam al-Quran sebagai menggeletar (taqsha’irr)  seluruh anggota (julud)  orang-orang yang takut kepadaNya. Sifat menggeletar seluruh anggota tubuh dan begitu juga sifat lembut segala anggota (talin juluduhun) adalah salah satu contoh yang disebut secara langsung dalam al-Quran untuk menunjukkan wujudnya hubungan antara fizikal, emosi dan ingatan fikiran dalam konteks mengingati Allah. Hal ini tidak bererti perasaan lain terhadap perubahan fizikal ketika berzikir tidak mempunyai hubungan yang dimaksudkan tersebut.

Disebutkan di dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal daripada Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau pernah berkata: “Saya, Jaafar dan Zaid bersama Rasulullah s.a.w, baginda berkata kepada Zaid: “Engkau adalah mawlaku.” Maka Zaid pun berjalan dengan sebelah kaki. Baginda pun berkata kepada Jaafar: “Engkau adalah serupa dengan rupa dan akhlakku.” Maka Jaafar pun berjalan dengan sebelah kaki. Baginda berkata kepada diriku: “Engkau adalah sebahagian dari diriku.” Maka aku pun berjalan dengan sebelah kaki.”

Berjalan di atas sebelah kaki yang dilakukan oleh ketiga-tiga sahabat tersebut menunjukkan bahawa ketiga-tiganya sedang mengalami at-tawajud. Oleh itu sesungguhnya telah tsabit dan terang bahawa at-tawajud telah berlaku pada setengah sahabat. Berdasarkan bukti ini maka tidaklah harus kita mempunyai su’uzan atau buruk sangka tarhadap ahli tawajud.

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari buruk sangka, sesungguhnya sebahagian dari buruk sangka itu dosa.”                                      
                                                                                                 (Surah al-Hujarat, ayat: 12)

Su’uzan atau buruk sangka terhadap orang Islam adalah haram. Mentakwilkan perkataan dan perbuatan orang Islam adalah wajib. Kadang-kadang sesetengah murid yang sedang di da- lam keadaan dan perkara jadhbah, menangis, menjerit, tidak sedar dan sebagainya. Terdapat juga dalam bentuk ucapan-ucapan yang lahir di luar kehendak mereka ketika berzikir seperti menyebut Allah, Allah, Allah atau Hu, Hu, Hu atau La, La, La, atau  suara dengan tiada huruf atau ia menggetar-getar kerana mengalami al-wajd. Pada ketika itu adab baginya ialah murid itu hendaklah menyerahkan dirinya kepada Allah. Allah-lah yang akan mengurus dan menentukan keadaan murid itu mengikut bagaimana yang Dia mahu. Tidaklah boleh  murid itu menahan diri dari menangis atau menjerit, kerana perbuatan itu akan mendatangkan bahaya pada dirinya.

Murid yang bersifat benar boleh bertawajud untuk mencari hakikat (kebenaran). Kedudukan hukum bertawajud itu adalah sama seperti hukum menangis yang disuruh oleh Islam. Sebuah hadis mawquf  kepada Abu Bakar, Abu Musa dan Abdullah bin ‘Amr yang bermaksud:
“Hendaklah kamu menangis, jika kamu tidak menangis maka hendaklah kamu berbuat-buat menangis.”              
                                                                                                 (HR Imam  Ahmad)
                                    
Sesetengah orang arif  berkata bahawa bila kedua-dua mata orang yang berterusan berzikrullah itu tidak menangis maka datanglah seorang malaikat yang diutuskan Allah, lalu mengusap hati orang itu dengan sayapnya. Dengan itu maka kedua-dua mata hati nuraninya pun menangis. Tangisan tersebut menyebabkan kedua-dua matanya yang zahir pun turut menangis. Ketika itulah al-wajd itu telah terjadi. Bila al-wajd itu berterusan maka ia akan menyebabkan orang itu tidak sedar. Kemudian ia sedar dan menjadi di dalam keadaan kehairanan. Dari keadaan kehairanan itu maka ia akan menjadi maslub dan kemudian majdhub.

Shaikh Abu Qasim al-Junaid al-Baghdadi berkata:
“Seseorang murid itu tidak dibenarkan untuk menyertai majlis as-samma’ kecuali bila ianya boleh mengawal keadaan dirinya iaitu meneruskan keadaan at-tawajud itu atau memberhentikannya sahaja mengikut kehendaknya.”

Begitulah suara-suara pencinta Allah yang mempunyai kekuatan dan perasaan yang sangat gembira (al-wajd) dengan indahnya pembacaan al-Quran, bacaan sya’ir-sya’ir, melodi la- gu-lagu atau zikir-zikir yang berkesan. Ini merupakan kekuatan rohani yang tidak ada ruang atau celah bagi nafsu atau syaitan untuk memasuki al-wajd yang bersifat rohaniah ini. Ini adalah kerana nafsu dan syaitan hanya mampu bertindak di dalam kegelapan dan bukannya di dalam cahaya kerohanian (‘nur zikrullah’). Hal inilah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. di dalam sabdanya yang mengatakan bahawa bacaan ayat-ayat al-Quran, sya’ir-sya’ir hikmah, sya’ir-sya’ir cinta (terhadap Alllah) dan suara-suara kesedihan merupakan kekuatan yang penuh cahaya bagi roh (hati). Sebab cahaya (‘nur zikrullah’) harus sampai kepada cahaya (roh) juga.

Nabi s.a.w. pernah menyebutkan fakta di atas di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Satu perasaan yang sangat gembira (al-jadzbu) dari kegembiraan-kegembiraan yang maha benar sebanding dengan amalan manusia dan jin.”

Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. berkata:
“Orang yang tidak merasakan al-wajd tidak memiliki agama.”

Nabi  s.a.w. juga bersabda, maksudnya:
“Orang yang tidak tersentuh (hatinya) pada saat mendengar (bacaan al-Quran) bukanlah termasuk umatku.”

Shaikh Abu Qasim Junaid al-Baghdadi berkata:
Al-wajd adalah pertemuan rohani dengan Allah S.W.T. (hidayahNya). Ianya merupakan jalan yang mewariskan perasaan gembira atau sedih.”

Shaikh al-Qusyairi di dalam risalah ar-Risalah al-Qusyairiyyah berkata:
“Aku mendengar Shaikh Abu Ali ad-Daqqad berkata, ‘At-tawa- jud (mencari al-wadju) adalah kemampuan seorang hamba, sedangkan al-wajd mengharuskannya tenggelam, dan al-wujud mengharuskannya binasa. Oleh itu, ia seperti orang yang melihat laut, lalu belayar di tengahnya, kemudian tenggelam di dasarnya. Urutannya adalah seperti berikut: Niat, berterusan berzikrullah (olahan rasa rohani), merasa rindu, lalu merasa tenang di mana ketenangan (khusyuk hati) ini bergantung pada al-wujud (hilangnya kesedaran seseorang hamba kerana terhapusnya sifat-sifat kemanusiaan dan wujudnya perasaan terhadap kebesaran dan keagungan Allah S.W.T. semata-mata). Orang yang berada dalam keadaan al-wujud memiliki kebangkitan (tidak lalai berzikrullah) dan fana’  billah (wujud semata-mata Allah S.W.T.).”

Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Niat yang ikhlas berada dalam hati yang bersih. Orang yang suka membersihkan hatinya (berterusan berzikrullah) akan bersih pada amalnya. Orang yang kotor hatinya akan mencemari ibadatnya.”                 
                                                                                                 (HR Imam Ahmad)

8.  Tiga Tingkat Nur Zikrullah

Tingkat “nur zikrullah” atau makam kerohanian  telah  dije- laskan oleh Ibn ‘Ataillah (m. 709 H.) dalam kitabnya “Al-Hi- kam”  seperti rajah di bawah:
Orang Awam   --->    Zikir Ghaflah   --->      Lidah/Akal  --->        Syariat
                                                                                                     (Alam Mulki)

Orang Salik   --->       Zikir Yaqazah   --->         Hati      --->        Tarekat
                                                                                                     (Alam Malakut)

Ahli Khawas  --->      Zikir Hudur     --->           Roh       --->          Hakikat
                                                                                                   (Alam Jabarut)

Ahli Kamil  --->         Zikir Ghaiybah   --->        Sirr        --->       Makrifah  
(Khawasul-khawas)                                                                       (Alam Lahut)
                                             
Di tahap pertama, hati belum dihidupkan dan belum dilimpahkan nur. Hati yang belum dihidupkan adalah hati yang tidak berfungsi, kerana hati masih lalai (ghaflah) atau hati yang mati. Hati inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, “Jawahir al-Quran” dengan katanya: “Sesungguhnya anda hidup di dunia ini (hati anda) tidur, sekalipun tubuh anda terjaga. Hati manusia tidur. Apabila mereka mati, maka  hati mereka baru terjaga.” Jika hati tidur tentulah sangat sukar untuk khusyuk dalam mengerjakan segala amal ibadat. Sebaliknya, segala amal ibadat yang dilaksanakan tenggelam dalam lautan lalai.

Hanya di tahap kedua, ketiga dan keempat sahaja hati telah dihidupkan dan dilimpahkan nur oleh Allah S.W.T. Ibn ‘Ataillah seterusnya menyatakan, terdapat tiga jenis nur (cahaya) yang Allah  kurniakan ke dalam hati orang yang berzikir:

Pertama: Nur al-intibah atau nur al-yaqazah iaitu sejenis cahaya yang dilimpahkan oleh Allah serentak semasa hati dihidupkan. Ibn ‘Ataillah menyatakan: ‘Bahawasanya Allah S.W.T. limpahkan warid (cahaya yang khusus iaitu nur al-intibah ke dalam hati anda) agar hati anda akan sentiasa bercahaya dan mampu menerima limpahan rahmat hidayahNya’.  Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Adakah orang yang hatinya mati lalu Kami hidupkan dan kami jadikan dalam hati yang hidup itu cahaya (dengan hati yang bercahaya dan dapat memahami kebenaran Allah) dan menyampaikannya kepada manusia, (adakah orang ini) sama dengan orang yang hatinya mati yang berada dalam berbagai-bagai kegelapan yang tidak boleh keluar daripada kegelapan itu?”
                                                                                                 (Surah al-An’am, ayat:122)

Dengan nur ini, maka hati mula berfungsi iaitu sedar dan merasa mengenai sesuatu hakikat yang berkait dengan Allah. Contohnya  bila disebutkan kalimah ‘Allah’ maka hatinya sedar tentang Allah  serta merasa wujudNya. Orang mendapat kurnia nur al-Intibah darjatnya ditinggikan oleh Allah daripada tingkat awam ke tingkat salik. Golongan salik inilah yang mempunyai peluang yang besar untuk mendapat khusyuk minima dalam amal ibadat, kerana khusyuk dihubungkan dengan hati yang ingatkan Allah. Allah S.W.T. berfirman:
 أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللّهُ
 Maksudnya:
“Adakah belum sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman itu untuk mengkhusyukkan hati mereka dengan meng- ingati Allah.”              
                                                                                                 (Surah al-Hadid, ayat: 16)

Kedua: Nur al-iqbal atau nur al-hudur. Dengan cahaya nur ini, hati seseorang akan tertumpu hanya kepada Allah S.W.T., menjadi hambaNya yang sebenar, terlepas daripada diperhambakan oleh makhluk. Orang itu digelar salik yang khawas atau salik yang khusus. Ibn ‘Ataillah berkata: ‘Allah limpahkan ke dalam hati anda (warid/nur iqbal/hudur) agar dapat menyelamatkan hati anda daripada pelbagai pengaruh makhluk dan memerdeka- kannya daripada dihambakan oleh makhluk.’ Golongan inilah yang dapat khusyuk dalam amal ibadat.

Ketiga: Nur al-wisol. Ibn ‘Ataillah menyebutkan dengan kata hikmahnya yang bermaksud: “Allah limpahkan nur al-Wisol ke dalam hati anda, agar nur tersebut dapat mengeluarkan hati anda daripada penjara wujud diri ke luasnya lapangan musyahadah hati anda terhadap berbagai-bagai rahsia Allah.” Dengan nur ini, Allah kurniakan hakikat dan makrifah kepada seseorang hambaNya, lalu dia menjadi seorang yang arif  berhati ikhlas. Dengan kata lain, dia mencapai darjat ihsan, menjadi seorang muhsin. Dia digelar juga sebagai salik yang khawasul khawas atau salik yang khususul khusus. Orang ini juga yang digelar sebagai al-in- san al-kamil, berhati hidup, sentiasa diterangi cahaya dan sangat canggih. Golongan inilah yang benar-benar dapat mencapai khusyuk dalam amal ibadat.

Dengan melihat tingkat-tingkat zikir seperti yang disebut di atas, hati hanya akan bersifar ikhlas apabila sampai ke tingkat zikir ghaiybah. Ketika itulah orang tersebut Allah  sampaikan ke darjat ihsan, maka ia akan menjadi muhsin. Setelah menjadi muhsin barulah Allah  kurniakan sifat ikhlas di dalam hati.

Biasanya, mujahadah untuk sampai di tingkat hakikat ini le- bih mudah disebabkan keadaan hati yang telah berada dalam keadaan hidup atau  yaqazah (jaga atau sedar) menerusi zikir dan mujahadah sebelum ini. Kesannya, hati akan menjadi mutmainnah (tenang), manakala seluruh tubuh pula menjadi lembut, sihat dan selesa. Sememangnya begitulah kesan berzikir dan mujahadah,  dapat musyahadah terhadap mana-mana sifat Jamal (sifat kesempurnaan) Allah atau  sehingga sampai kepada hakikat Allah  dan hakikat kehambaan dirinya iaitu terbuka hijab hati  dan dapat makrifah (mengenal) kepada Allah. Mereka dapat me- nguasai diri dan menentang berbagai-bagai kehendak hawa nafsunya,  dan dapat pula mengukuhkan imannya dengan kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T. semata-mata.

Golongan salik, cinta mereka terhadap Allah   adalah untuk mendapat kebaikan dari Allah. Golongan khawas, cinta mereka terhadap Allah  adalah untuk membersihkan diri dari berbagai kekotoran dosa. Golongan khawasul-khawas, cinta mereka adalah  rasa asyik melenyapkan diri ketika berlaku tajalli nur yang dicintainya. Apabila Allah  mendapati benar cinta orang yang mencintaiNya itu maka Allah pun menyingkapkan hijab yang ada antaraNya dengan yang mencintaiNya itu. Ketika itu Allah  menunjukkan sebahagian rahsia-rahsia hakikat kebenaranNya dan kasyafkan tentang berbagai ilmu yang rahsia dan alam ghaib yang tinggi.

Nabi s.a.w.  pernah mengaitkan hubungan memperbaharui iman dengan memperbanyakkan berzikir menyebut serta mengingati Allah dengan sabda baginda yang bermaksud:
“Perbaharuilah iman kamu! Para sahabat r.a. bertanya: Bagaimana caranya memperbaharui iman kami? Jawab baginda (s.a.w.): Perbanyakkan ucapan: La ila ha Ilallah (proses menyebut-nyebut dan mengingati Allah secara berterusan).”

9. Syariat dan Akidah Al-Quran Yang Tidak Boleh Dipisahkan

Gagasan anjuran amalan zikir yang sentiasa dilakukan yang terkandung  dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. ditonjolkan secara jelas dan terang  bahawa pengamalannya adalah dituntut sebagai satu amalan yang penting bagi setiap mukalaf. Ini adalah kerana rasa iman yang disyarakkan sebenarnya adalah hasil penghayatan seseorang mengingati Allah berikutan daripada ulangan sebutan lafaz yang mulia (Allah) itu.

Menurut Imam al-Ghazali, berzikir mengingati Allah dengan pengertian berkekalan ingatan hati kepada Allah secara berterusan atau pada kebanyakan waktu adalah diutamakan daripada berbagai-bagai ibadat lain. Malahan oleh sebab amalan zikir itu, maka segala amal ibadat yang lain menjadi mulia. Memperbanyakkan berzikir menyebut lafaz Allah dengan pengertian tersebut merupakan kemuncak faedah bagi pelbagai amal ibadat. Ada pun zikir dengan lisan walhal hati lalai mengingati Allah, atau ingatan hati kepada Allah hanya berlaku seketika padahal banyak masa berlaku dalam keadaan lupa akanNya kerana leka dengan urusan duniawi, maka amalan zikir dalam semua hal tersebut adalah sedikit faedahnya.

Semasa pelaksanaan segala amal ibadat dalam kehidupan harian seperti solat fardu, mencari rezeki, mengerjakan haji, berjihad, berpuasa, berdoa, membaca al-Quran, mempelajari tajwid al-Quran, mengeluarkan zakat, mengikuti atau memberi kuliah agama (sistem pengajian pondok atau sekolah-sekolah ataupun pusat-pusat pengajian tinggi), menulis kitab-kitab  atau kertas kajian (agama), berseminar, menghadiri kelas tahfiz al-Quran, berkhutbah, mengalunkan seruan azan, mendendangkan lagu-lagu nasyid, menderma, menghulur bantuan kepada mangsa bencana, bergotong royong membantu golongan miskin (hisbah), menguruskan hal-hal kehidupan harian, bergaul atau saling menasihati sesama ahli masyarakat (mukhallatoh), beriadah atau bersukan, melancong, berpolitik, membaca, menonton tv, mendengar radio dan sebagainya yang mana segala amal ibadat itu mesti dilaksanakan selaras dengan   sentiasa  berzikir mengingati Allah (Akidah al-Quran)  sebagai dua aspek agama yang berbeza (syariat dan akidah) tetapi tidak boleh dipisahkan sama sekali. Hakikatnya, Allah S.W.T. hanya memerintahkan umatNya supaya berzikir terus menerus sebagai  satu instrumen utama yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim untuk penyempurnaan tuntutan makrifah (mengenal) Allah dalam syiar Islam.

Oleh itu, wujudnya ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf) itu tidak boleh diingkarkan dan tidak boleh dibenci kerana telah jelas ia sememangnya wujud dalam Islam. Tidak perlulah kita mencipta pelbagai jalan tarbiyah ilmu Akidah reka cipta dan melonggokkan pengetahuan ilmu Fiqah (fadilat-fadilat dan hukum-hakam segala amal ibadat) secara  mendalam hanya  sekadar  ilmu yang berpaut pada akal atau hafalan semata-mata, iaitu tarbiyah (akidah) yang  tidak dapat membersihkan pelbagai  hijab hati (sifat-sifat mazmumah). Dewasa ini  banyak dibangunkan maahad atau pusat  tahfiz al-Quran di segenap pelosok negeri seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Ia dianggap dan diagung-agungkan sebagai pusat tarbiyah akidah  yang terulung dalam kalangan ummah. Kebanyakan umat Islam amat berbangga dengan ramainya para pelajar yang berjaya menjadi hafaz al-Quran, tetapi tanpa disedari mereka berzikir terus menerus  yang  diperintahkan Allah (Akidah al-Quran) terus diabaikan dan dinafikan keutamaan dan kepentingannya (Akidah Islam), lantas mereka memiliki hati yang mati (kesesatan) dan tenggelam dalam lautan lalai.

Nabi s.a.w. pernah menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Akan keluar dari arah timur segolongan manusia yang membaca al-Quran namun tidak sampai melewati kerongkong mereka (memiliki hati yang mati, iaitu mengabaikan tarbiyah akidah menerusi berzikir dan mujahadah), mereka keluar daripada agama seperti anak panah yang keluar dari busurnya, mereka tidak akan mampu kembali seperti anak panah yang tidak akan kembali ke busurnya,....”
(HR Imam Bukhari no 7123, Juz 6 hal 20748, Imam Ahmad, Ibn Majah, Abu Dawud dan Ibn Hibban)

Nabi  s.a.w. juga bersabda, maksudnya:
“Orang yang tidak tersentuh (hatinya) pada saat mendengar (bacaan al-Quran) bukanlah termasuk umatku.”

Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. berkata:
“Orang yang tidak merasakan al-wajd (rasa dalam rohani) tidak memiliki agama.”

Inilah antara fenomena yang melanda umat Islam di mana-mana mereka berada, termasuklah dalam kalangan umat Arab yang boleh dikatakan fasih dan memahami al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. yang diturunkan dalam bahasa mereka, tetapi mereka mengalami keruntuhan akhlak ummah, melakukan maksiat dan kejahatan, kezaliman pemerintah berleluasa, pembunuhan sesama umat Islam  dan sebagainya. Begitulah keadaan ummah yang tergelincir dari landasan akidah yang sebenar (Akidah al-Quran), lantas menjadikan budaya hidup mereka seolah-olah seperti tiada pegangan agama yang sempurna. Ia bukan masalah tidak faham, akan tetapi  terhijab  hati (kesesatan), atau dengan kata lain mereka tidak dapat petunjuk kebenaran (hidayahNya), akibat lalai berzikir mengingati Allah. Ini kerana, hidayah Allah (nur zikrullah)  sekali-kali tidak akan menyinari hati mereka yang terdapat padanya karat-karat ‘kufur’ (pelbagai hijab). Allah hanya memberi petunjuk kepada hati-hati  yang bersih dari sifat-sifat keji (penyakit-penyakit hati). Ini menepati firman Allah S.W.T:
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَاباً مُّتَشَابِهاً مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
 Maksudnnya;
“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (al-Qu- ran) yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya semua kulit (semua anggota) orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian menjadi tenang kulit-kulit (semua anggota) dan hati-hati mereka itu ketika mereka  mengingati Allah (berzikrullah).”
                                                                                                 (Surah al-Zumar, ayat: 23)

FirmanNya lagi yang bermaksud:

Maksudnya:
“Sebutlah nama Tuhanmu (berzikrullah), dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan.”
                                                                                                 (Surah al-Muzammil, ayat:  8)

Adalah tidak wajar bagi golongan huffaz ini tidak dapat  menerima hakikat  bahawa berzikir mengingati Allah secara berterusan adalah tuntutan wajib di dalam  al-Quran sebagai pence- tus kesedaran hati yang boleh membuahkan suatu keyakinan yang teguh dan keimanan yang penuh terhadap keesaan dan kesempurnaan Allah S.W.T. Malah, mereka juga tidak dapat me- nerima hakikat bahawa menghafaz al-Kitab itu merupakan amal ibadat atau Syariat Islam semata-mata yang mesti dikerjakan selaras dengan hati yang sentiasa mengingati Allah (Akidah al-Quran), sebagai dua aspek agama yang berbeza (syariat dan akidah) tetapi tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Oleh itu amat jelas sekali bahawa hati mereka mati (kesesatan) kerana ketiadaan “nur zikrullah” (lalai berzikir kepada Allah), maka segala amal ibadat yang dikerjakan tanpa khusyuk hati terhadap Allah (kesesatan). Hakikatnya, setiap individu Muslim diperintahkan Allah supaya memperbanyakkan sebutan serta ingatan terhadap kalimah  Allah (Akidah al-Quran) yang membolehkan seseorang Muslim mencapai makrifah (mengenal) akan Allah S.W.T. Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

قُلْ آمِنُواْ بِهِ أَوْ لاَ تُؤْمِنُواْ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُواْ الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ سُجَّداً
وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِن كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً
وَيَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعاً
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang yang ingkar itu): “Samada kamu beriman kepada al-Quran atau kamu tiada  beriman, sesungguhnya orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka segera merebahkan tubuh bersujud. Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya), “Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.” Dan mereka segera merebahkan diri bersujud sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan mereka khusyuk.”      
                                                                                              (Surah al-Isra’, ayat: 107-109)

Pengabaian terhadap berzikir mengingati Allah  ini sudah digambarkan di dalam al-Quran yang mulia, apabila keadaan dan suasana sesetengah sahabat  pada akhir hayat Nabi s.a.w. su- dah mula mengabaikan amalan  ini kerana pengaruh duniawi, lalu Allah  menurunkan wahyuNya sebagai satu amaran dan peringatan supaya para sahabat r.a. jangan dihanyutkan oleh perbuatan mereka itu seperti dinyatakan dalam firman Allah S.W.T:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ
Maksudnya:
“Belumlah sampai masanya bagi orang-orang beriman itu (para sahabat r.a.) untuk mengkhusyukkan hati mereka bagi berzikrullah dan kepada kebenaran (al-Quran) yang telah diturunkan dan janganlah mereka  itu  menjadi  seperti  orang-orang  yang diberikan  al-Kitab sebelumnya, kemudiannya berlalu masa yang lama (tanpa mereka imamkan dan amalkan) lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan mereka menjadi orang-orang  yang  fasik.”
                                                                                                 (Surah al-Hadid, ayat: 16)

Ayat tersebut begitu jelas membayangkan bahawa berzikir mengingati Allah yang berasaskan kepada khusyuk hati terhadap Allah, sentiasa mengingatiNya (Akidah al-Quran) itu menjadi ilmu dan amalan yang mula-mula dihapuskan oleh Allah. Ini  kerana pada zaman awal itu pun amalan tersebut sudah mulai diabaikan oleh para sahabat. Fakta ini sesuai benar dengan kata-kata ‘Ubadah bin al-Samit yang ditujukan kepada Jubayr yang menegaskan:
“Benarlah kata Abu al-Darda’ r.a. itu (hai Jubayr). Sekiranya  engkau mahu nescaya aku boleh ceritakan kepada engkau mengenai ilmu yang mula-mula dihapuskan dari manusia. Ilmu itu ialah (ilmu) khusyuk sehingga (pada masa itu) jika engkau masuk ke dalam masjid (sedang orang ramai bersolat) berjemaah nescaya engkau tidak dapati seorang pun yang khusyuk.”

Shadad bin Aus meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Perkara pertama yang akan diangkat daripada umat ini adalah khusyuk (hati).”                                                          (HR Bukhari, Baihaqi, Thabrani, Hakim, Ibn Hibban) 
                                      
Dalam hadis yang lain, Auf bin Malik al-Asyjai juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah memandang ke langit lalu bersabda yang bermaksud: “Sekarang masanya ilmu di angkat ke langit.” Seorang di kalangan Ansar yang dikenali sebagai Ziyad bin Labid berkata: “Ya Rasulullah, apakah ilmu yang akan diangkat, sedangkan ia telah tertanam dan melekat di dalam  hati.” Nabi  s.a.w.  menjawab: “Mesti engkau beranggapan dirimu termasuk di kalangan orang yang paling pandai di antara penduduk kota Madinah!”. Kemudian Nabi s.a.w. menceritakan tentang kesesatan kaum Yahudi dan Nasrani meskipun mereka memilki al-Kitab tetapi meninggalkan kebenaran disebabkan hati mereka telah menjadi keras (kesesatan).

Oleh itu Nabi s.a.w. sentiasa berdoa memohon perlindungan dari Allah S.W.T. daripada hati yang tidak khusyuk dan ilmu yang tidak bermanfaat. Sebuah riwayat daripada Zaid bin Arqam mengatakan bahawa baginda selalu berdoa dengan menyebut:
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada ilmu yang tidak manfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang terhijab.”                    
                                                                                                               (HR Muslim)

Berdasarkan hadis di atas,  jelas dan nyata  bahawa apabila hati tidak khusyuk pastilah ilmu akidah yang dimiliki  oleh se- seorang itu tidak memberi manfaat. Begitu juga dengan  hawa nafsu  yang tidak pernah puas  dan doa yang tidak dimakbulkan. Semua ini menunjukkan pengaruh besar khusyuk hati terhadap seluruh anggota badan dan amal ibadat yang dikerjakan. Malahan khusyuk  (hati) yang dihubungkait dengan hati yang sentiasa ingatkan Allah (Akidah al-Quran) seolah-olah sudah tidak difahami oleh kebanyakan umat Islam masa kini.   
   
Oleh yang demikian, maka lenyaplah amalan zikir mengingati Allah dalam kalangan masyarakat Islam dewasa kini yang mana ianya menjadi bukti yang  jelas kepada kita semua bagaimana ilmu dan amalan zikrullah yang diperintahkan oleh Allah  itu menjadi ilmu dan amalan yang mula-mula diangkat oleh Allah S.W.T. Demikian juga  kita tidak terperanjat  jika umat Islam sendiri telah mempersoalkan hakikat kebenaran ilmu dan amalan (zikrullah)  ini kerana kuatnya diayah, fitnah dan buruk sangka  para ulama dan ilmuwan ahli zahir (menguasai dakwah akidah umat Islam sedunia) terhadap ilmu dan amalan tarekat Tasawuf (zikrullah) hingga meruntuhkan dan melenyapkan ilmu dan amalan (zikrullah)  daripada umat Islam. Ternyata tanpa mereka (golongan ahli zahir) sedari bahawa doktrin  tarekat Tasawuf, prinsip-prinsipnya, amalan-amalannya dan berbagai hakikat amalan rohani Islam itu telah wujud pada zaman Nabi s.a.w.,  zaman sahabat , tabi’in   dan al-salaf  walaupun istilah tarekat Tasawuf  itu belum dikenali dan belum digunakan. Generasi umat Islam pada zaman yang awal itu faham dan mengamalkan ilmu dan amalan Islam yang zahir dan yang batin/rohani itu keseluruhannya dalam bentuk dan konsepnya yang paling sempurna dan ideal sekali.
 
Orang yang berzikir mengingati Allah terus menerus atau memiliki kesempurnaan hati/akidah sentiasa bertaqwa, melakukan apa sahaja yang diperintah dan menjauhkan segala yang dilarang oleh Allah dalam erti kata sebenar-benarnya. Mereka mempunyai akhlak yang mulia dan sentiasa menjaga hubungan sosial, baik dengan saudara mara mahupun dengan sesiapa sahaja. Mereka itulah orang yang benar-benar berpegang teguh de- ngan hab-lun mina’n-nas atau tali perhubungan sesama manusia, seperti yang dicontohkan oleh akhlak Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. Mereka bersifat takut kepada Allah yang sebenar-benarnya disebabkan mereka telah mendapat suhud terhadap hakikat keagungan dan kesempurnaan Allah. Dengan pencapaian darjat yang tertingggi itu, menjadi motivasi para sahabat untuk melahirkan sifat kekhalifahan dalam memimpin, mengurus dan mentadbir dunia dengan bijak, kompetensi, cekap, kreatif, inovatif, produktif dan lain-lain daya saing. Masyarakat yang memiliki akidah yang sebenar akan menjadi masyarakat yang maju, moden dan progresif. Mereka akan bebas daripada sifat malas, jumud, dungu, pak turut dan lain-lain sikap negatif yang membantutkan kemajuan. Maka lahirlah sebuah generasi insan mulia yang berjaya menghayati hakikat sebenar kehidupan dunia dan akhirat.

Mereka sentiasa bersifat sabar dalam menghadapi apa jua ujian dan dugaan yang Allah timpakan pada setiap masa, kerana mereka mahu mendapat keredaan Allah. Memperbanyakkan menyebut serta mengingati Allah dan istiqamah dalam qiyamullail sebagai amalan rohani  Islam yang sudah menjadi amalan biasa dan menyeluruh  dalam kehidupan harian. Mereka sentiasa bimbang terhadap perbicaraan di Padang Mahsyar iaitu kalau-kalau amalan jahat mereka  lebih banyak daripada amalan baik atau amalan-amalan baik mereka tidak diterima Allah   dan sebagainya. Mereka juga takut dan bimbang  jika mendapat kesudahan hidup yang buruk (su’l-khatimah). Dengan itu mereka merupa- kan orang-orang  yang  ikhlas takutkan Allah. Mereka sentiasa bersifat sabar dalam menghadapi apa juga ujian dan dugaan yang Allah  timpakan setiap masa, kerana mereka mahu menda- pat keredaan Allah  semata-mata. Mereka ialah orang yang dimaksudkan dalam firman Allah S.W.T:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya:
“(Orang-orang yang bersabar itu) ialah orang yang apabila ditimpa sesuatu musibah, mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kami kembali kepadaNya.”              
                                                                                      (Surah al-Baqarah, ayat: 156)

Mereka dapat mendirikan solat dengan penuh khusyuk dan tawadduk dengan sentiasa merasakan keagungan dan kesem- purnaan Allah   menerusi memperbanyakkan proses menyebut serta mengingatiNya. Mereka merupakan orang mukmin yang beroleh kejayaan di sisiNya seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solat mereka.”
                                                                                         (Surah al-Mukminun, ayat: 1-2)

Ternyata ada dua penghayatan hakikat kehidupan yang berbeza di antara kita dengan generasi umat Islam yang awal. Kita melihat kehidupan  ini lebihnya atau  mengutamakan pada kehi- dupan duniawi. Konsep begini menjadikan kehidupan ini sangat sempit dan terbatas. Oleh itu, kita merasakan kesusahan dalam kehidupan duniawi ini sangat besar dan terlalu membebankan. Kita  meletakkan fizikal, minda, perasaan dan hati pada nilaian duniawi semata-mata, maka ruang lingkup kehidupan itu men- jadi sangat terbatas, maka kita akan mudah kecewa, jemu, rasa diabaikan dan sebagainya. Malah, kalau kita berjaya mengharu- ngi segala ujian duniawi ini, maka anggapan kita, itulah kejayaan sangat besar dan hebat. 

Berbeza dengan  generasi umat Islam yang awal melihat kehidupan ini dalam bentuk yang sangat luas, merangkumi dunia dan akhirat. Dunia perlu ditempuh dengan segala ujiannya. Namun begitu, dunia bukanlah segala-galanya kerana ada lagi alam kehidupan yang lebih luas selepas ini iaitu akhirat. Masalah duniawi hanyalah kecil berbanding masalah akhirat. Kejayaan di dunia jauh lebih kecil berbanding kejayaan akhirat. Namun, di dunia ini bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya nanti adalah di akhirat. Meskipun mereka hidup di dunia dengan menempuh perjuangan yang sukar bersama Nabi s.a.w., namun mereka lebih nampak kelebihan akhirat berbanding habuan duniawi. Secara mata kasar, tubuh dan jasad mereka berada di dunia, tetapi hati dan perasaan mereka sudah berada di akhirat. Mereka sudah meyakini janji-janji Nabi s.a.w. tentang kenikmatan syurga yang bakal diperolehi. Bila hati dan perasaan sudah terpaut ke akhirat, maka apalah nilai dunia di hati mereka. Jiwa mereka lebih tabah menempuh ujian dan kesabaran mereka bertambah kukuh. Apakah nilai ujian dan kesusahan yang terpaksa mereka tempuh bersama-sama Nabi s.a.w? Berapakah nilai kezaliman dan penyeksaan yang terpaksa mereka terima demi mempertahankan Islam bersama baginda tercinta?

Hakikatnya, cinta terhadap Allah  itu tidak akan dapat dicapai oleh seseorang hamba kecuali setelah hati itu bersih dari segala kekotoran jiwa (mazmumah). Apabila cintakan Allah itu telah benar-benar dapat bertakhta di lubuk hati, maka terhapuslah segala cinta terhadap yang lain dari Allah S.W.T. Kerana, cinta itu adalah satu sifat yang membakar dan menghapuskan tiap-tiap sesuatu yang lain yang tidak serupa dengan cintanya itu. Tanda cintakan Allah itu ialah hapusnya runtunan dan keinginan nafsu syahwat terhadap dunia. Seorang tabi’in yang terkenal, Hasan al-Basri berkata: “Orang yang mengenal Allah akan mencintaiNya, dan orang yang mengenali dunia akan mencintainya.” Rasa cinta (mahabbah) yang hakiki tidak patut ditujukan selain kepada Allah. Ia tidak patut dipersembahkan kepada dunia atau sesama makhlukNya yang  fana’ dan musnah. Oleh itu, hati mereka (para sahabat  dan al-salaf) teguh menempuh segala masalah kehidupan duniawi demi mengharapkan kehidupan akhirat yang lebih membahagiakan. Dunia dan seluruh alam ini mempunyai akhir dan kesudahan, tetapi rasa cinta kepada Allah  adalah kekal dan abadi.

Sungguh ajaib sekali bagaimana orang  yang boleh mendakwa dirinya sebagai orang yang cintakan Allah  padahal ianya tidak menjauhkan dari perkara-perkara yang diharamkan. Sesiapa yang mendakwa cintakan Allah  tanpa menjauhkan perkara-perkara yang diingini oleh nafsu syahwat, maka orang itu adalah pembohong. Sesiapa yang mendakwa bahawa dirinya itu cintakan syurga tanpa mengerjakan amal soleh dan memiliki kesempurnaan hati/akidah maka ia adalah pembohong. Kita melihat dunia ini luas dan akhirat itu kecil, sebaliknya para sahabat  dan al-salaf melihat dunia ini sangat kecil berbanding akhirat yang lebih luas. Antara natijahnya, kita melihat segala masalah dan ujian hidup di dunia ini sebagai suatu bebanan yang berat untuk ditanggung, sedangkan generasi umat Islam yang awal melihat yang sebaliknya. Bagi mereka, ujian duniawi kecil dan sementara sahaja, berbanding dengan apa yang bakal diperolehi di akhirat. Malahan apalah sangat ujian yang terpaksa ditempuh di sini asalkan di sana nanti kenikmatan yang abadi dan lebih besar sedang menanti.
 
Para ulama telah pun sekata (mengijmakkan) bahawa kasihkan Allah  dan RasulNya adalah fardu ‘ain di atas tiap-tiap sese- orang Islam. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Adapun orang-orang yang beriman sangat mencintai  Allah.”
                                                                                             (Surah al-Baqarah, ayat: 165)

Nabi s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud:
“Tidak  sempurna iman seseorang dari kamu sehingga Allah dan RasulNya paling dicintainya, lebih daripada (cintanya) terhadap isterinya, hartanya dan manusia sekalian.”
                                                                                                 (HR Bukhari )
      
Kesimpulannya, memperbanyakkan berzikir mengingati  Allah  merupakan amalan yang disyarakkan kerana pelaksanaan amalan ini telah termaktub di dalam al-Quran dan Hadis. Malah, al-Quran menggambarkan suatu kewajipan setiap individu Muslim mempelajari amalan itu sebagai dalil khusus mewajibkan amalan tersebut. Kewajipan tersebut merupakan satu instrumen penting bagi membolehkan seseorang Muslim mencapai makrifah (mengenal) Allah. Tanpanya, seseorang akan hanya mampu beriman kepada Allah secara taklid (ikut-ikutan) sahaja, dan jalan (mereka) menuju kepada Allah menjadi jauh dan langkah- nya juga menjadi lambat sehingga mungkin tidak akan sampai hingga seseorang itu mati.

Ternyata amalan rohani Islam ini merupakan inti pati dan tonggak utama dalam Akidah al-Quran berdasarkan bukti-bukti kukuh yang  tidak boleh dipertikaikan lagi. Hal demikian menunjukkan pendirian para tokoh tasawuf menjadikan konsep berzikir dan mujahadah yang diketengahkan oleh mereka sebagai satu jalan terbaik untuk sampai kepada mengenal Allah. Apabila amalan tersebut telah diyakini bersumberkan dalil yang khusus, maka sudah tentu ia diyakini telah diamalkan oleh Nabi s.a.w. Di samping itu, al-Sunnah juga membuktikan amalan tersebut telah diamalkan oleh para sahabat  serta diperakui oleh baginda sendiri. Oleh sebab itu, maka Nabi s.a.w. menunjukkan jalan berzikir  kepada para sahabat  (zikir darajat)  sehingga tuntutan al-Quran supaya menyebut lafaz Allah sebanyak-banyaknya menjadi amalan biasa dan menyeluruh dalam kalangan generasi umat Islam yang awal. Malahan Nabi s.a.w. menjadi contoh utama dalam kehidupan ahli  Tasawuf  dan baginda menjadi rujukan utama dalam berbagai-bagai masalah tarekat Tasawuf sebagaimana  firman Allah S.W.T:
 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
Maksudnya:
“Sesungguhnya  telah ada  pada   diri  Rasulullah (s.a.w.) itu ciri tauladan  yang   baik   bagi   mu (iaitu) bagi  orang  yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak berzikrullah (sepanjang masa).”
                                                                                                 (Surah al - Ahzab, ayat:  21)

5 comments:

Fakharuddin mamat82 said...

Salam..stiap artikel di laman tariqah Ahmadiah ni benar2 jelas dan baik sekali sebagai pedoman para salik yg baru melalui jalan tariqah ini..sekian terima kasih

Faten Naseha said...

Assalamualaikum. Post yg sangat bermanfaat alhamdulillah. Terima kasih banyak kerana menulis.

Cuma ini pandangan saya, kalimah "zikr" berdasarkan dalil-dalil al-Quran yang saudara tampilkan tadi semua merujuk kpd al-Quran. Maksud saya, "zikr" di sini merupakan nama lain yg diberi kepada al-Quran.

Ini berdasarkan dalil drpd surah An-Nahl (16:44) - (Mereka kami utus) dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan kami turunkan Az-Zikr (Al-Quran) kepadamu, agar engkau menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kpd mereka dan agar mereka memikirkannya.

Az-Zikr dalam ayat ini merujuk kepada Al-Quran. Jd, pada pandangan saya, dalil2 yg dilampirkan di blog ini menunjukkan kepentingan bukan sahaja membaca malah yang paling penting untuk memahami isi-isi kandungan Al-Quran. Maka wajiblah kita semua sekurang-kurangnya belajar ilmu nahu dalam bahasa arab dan tadabbur bagi memahami ayat-ayat yg diturunkan Allah.

Wallahua'lam. =)

zawawi zainal said...

DALAM memperkatakan ilmu, lazimnya dua perkara perlu diketahui iaitu erti atau makna yang diperolehi daripada bahasa dan istilah. 

Aspek ini juga disebut dalam bahasa Arab sebagai loghatan wastilahan

Demikianlah juga dalam rangka memahami makna Islam.
Dari segi bahasa: Islam berasal dari kekata dasar salam iaitu sejahtera dan berserah/pasrah.
Dari segi istilah: Islam ialah ad-din atau cara hidup/agama; mengikuti dan mematuhi 
apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad dari segi zahir dan bathin.

Bagaimana pula kaitan Islam dengan amalan yang disebut zikr (juga dieja zikir)?

Dari segi bahasa: Zikr ialah melepaskan diri daripada lalai dan lupa dengan menghadirkan hati atau sedar secara berterusan. 
Sifat lupa (Arab : Nisian) merupakan kata dasar bahas insan (manusia). 
Oleh itu manusia merupakan makhluk yang lupa.

Dari segi istilah: Zikr menyebut nama sesuatu dengan hati dan lisan, baik menyebut nama Allah atau sifatNya atau hukumNya atau
perbuatanNya atau menyebut nama para rasulNya, para nabiNya atau berbuat amal kebajikan seperti membaca Al-Quran, bertasbih,
memberi nasihat dan sebagainya.

Zikr juga membawa ucapan tasbih, tahmid, tahlil dan menyebut nama-nama Allah yang mulia.

Zikir dapat dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Adakalanya dengan lisan, dengan hati, dengan anggota dan juga dengan ucapan yang jelas. 
Dengan kesemuanya ini, seseorang dapat melaksanakan zikir itu dengan sempurna.



Dalam pengertian tasauf zikr memaparkan pelbagai pengertian:

1.  sebutan atau lafaz seperti tahmid (alhamdulillah), tahlil (lailahaillah), takbir (Allahuakbar), tamjid (kata-kata pujian kepada Allah), istighfar,
basmallah iaitu apa jua bentuk sebutan yang mengaitkan manusia dengan Pencipta-nya (Khalik).

2.  menyebut dengan lisan dan hati akan sifat-sifat daripada Sifat Allah seperti Ar-Rahman (99 kesemuanya)

3.  melaksanakan hukum daripada hukum Allah

4.  melaksanakan perbuatan daripada perbuatan Allah

5.  memberi penghormatan kepada para rasul dan aulia dalam bentuk solawat dan salam 

6.  membaca Quran kerana isi keseluruhannya adalah zikir

7.  puisi seperti syair (juga disebut syir) yang ada hubungan dengan Allah seperti syair Jalalluddin Rumi, Mutannabi dll.

8.  syarahan atau ceramah yang ada kaitan dengan memuja Allah

9.  ibadah yang mengesakan Allah seperti zakat, puasa, haji.

zawawi zainal said...

Ilmu nahu tu ilmu syariat yang mana orang arab sendiri lebih memahami maksud al Quran dan hadis2 tetapi hari ini bangsa arab mengalami keruntuhan dan kehancuran kerana mereka mengalami kehancuran akidah kerana mengabaikan amalan zikrullah seperti yang saudari Faten fahami ttg maksud amalan rohani Islam itu. Inilah yg diperingatkan oleh Nabi SAW ttg kesesatan kaum yahudi dan nasrani, walaupun mereka memiliki alKitab tetapi mereka meninggalkan kebenaran disebabkan hati mereka keras (fasik).

Golongan ahli zahir yg sentiasa mengabaikan amalan zikrullah (memiliki hati yg mati) kerana mereka ingkar perintah Rasul yang menyuruh umatNya supaya sentiasa memperbaharui iman menerusi menyebut dan mengingati kalimah 'la ila ha illaallah'

Banyak ayat-ayat Allah dlm al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya jangan lalai berzikir kpd Allah agar mereka tidak terperangkap dengan perangkap syaitan..

Abu Dzar Zainal said...

Assalamualaikum w.b.t.

Komen saudari Faten Naseha tu saya jawab dalam tajuk Penggunaan dan Hakikat Amalan Zikir Meningati Allah Menurut Perspektif al-Quran.

Inilah polemik yang sentiasa berlaku di sepanjang zaman di antara golongan mazhab akidah ahli zahir dengan golongan tasawuf sejak seribu tahun lalu tentang tarbiyah akidah menerusi amalan zikrullah. Seolah-olah segala masalah tasawuf yang ditimbulkan oleh para ulama dan ilmuwan ahli zahir hari ini baru ditimbulkan dan perlu dijawab oleh tokoh-tokoh tasawuf. Tetapi sebenarnya apa yang telah ditimbulkan oleh golongan ini, telah dpersoalkan oleh tokoh-tokoh golongan ini sejak zaman itu,dan ianya telah dijawab oleh tokoh-tokoh tasawuf di dalam kitab-kitab karangan mereka (sejak zaman itu).

Mudah2an kita diberi hidayah dan petunjukNya untuk mencapai kesempurnaan akidah seperti yang dperintahkan dalam al-Quran dan al-Sunnah, dan bukannya menerusi ilmu Akidah reka cipta yang merupakan hujah-hujah dan debat tercela yang tidak dapat membersihkan hijab-hijab hati (sifat-sifat tercela)

Sekian, wassalam

http://suraulebaideris.blogspot.com/2015/07/penggunaan-dan-hakikat-amalan-zikr.html