PENDAHULUAN






Tasawwur
Akidah  Islam



ZIKRULLAH SENDI AKIDAH




Susunan

ABU DZAR ZAINAL ABIDIN



Judul:

Tasawwur Akidah Islam:
Zikrullah Sendi Akidah



Susunan:

ABU DZAR ZAINAL ABIDIN

Edisi Pertama: 2014

Hakcipta Terpelihara. Sebarang bahagian daripada buku ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan dalam sebarang cara yang boleh digunakan lagi, ataupun dipindahkan dalam sebarang bentuk atau cara, baik    dengan       cara elektronik, mekanikal, penggambaran semula, perakaman atau sebagainya, tanpa izin terlebih dahulu daripada penerbit.


Perpustakaan Negara Malaysia         Data Pengakatalogan-dalam-Penerbitan

Abu Dzarr Zainal Abidin, 1983-
    TASAWWUR AKIDAH ISLAM: ZIKRULLAH SENDI AKIDAH /
     ABU DZAR ZAINAL ABIDIN.
     ISBN 978-967-13119-0-5
1.      Sufism.   2.  Sufism-Doctrines.   3.  Islam-Customs and practices.     1.  Judul
297.4

Diterbitkan oleh:
PUSAT  RAWATAN  ISLAM  SUFI  (TR0118799-T)
Surau Lebai Deris,
Kg. Pantai Paka,
23100 Paka, Terengganu
Tel: 011 1660 4758
Email: info@perubatansufi.com
Website: perubatansufi.com



KATA  PENERBIT

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah  yang telah mengurniakan kekuatan kepada kami untuk menerbitkan buku yang bermanfaat bagi masyarakat. Selawat serta salam kepada junjungan Nabi s.a.w., keluarga dan para sahabat baginda.

Kami mengharapkan dengan terbitnya buku ini umat Islam tidak lagi terkeliru dengan pelbagai bentuk tarbiyah ilmu Akidah reka cipta yang telah menguasai dakwah (akidah) ummah  sejak beratus tahun lalu. Apa jua nama aliran atau mazhab akidah yang mereka namakan, tetapi  tarbiyah (akidah) yang dilaksanakan oleh golongan ahli zahir  adalah menerusi pemahaman  ilmu Kalam (pendalilan akal) dan teori Tauhid Wahabi (mendefinasikan Rabb) supaya dapat menimbulkan keyakinan untuk mengesakan Allah S.W.T. atau mencapai prinsip Akidah Islam. Sebaliknya, tanpa mereka sedari bahawa proses tarbiyah (akidah) ini  tidak dapat memberi manfaat kepada aspek rohani (hati/roh) atau sekadar menjadi bahan ‘mental exercise’ ataupun ia cuma berlegar-legar di kepala dalam bentuk pemikiran semata-mata, lantas mereka gagal mencapai khusyuk hati terhadap Allah dalam mengerjakan segala amal ibadat dan kehidupan harian.

Hakikatnya, apa yang disangka ilmu akidah itu bukanlah ilmu Akidah al-Quran yang sebenar, tetapi merupakan hujah-hujah dan debat yang tercela sekadar menjadi tarbiyah akidah ikut-ikutan yang begitu rapuh dan goyah sifatnya. Malah, dalam apa jua keadaan sekalipun persoalan akidah ialah teras dan asas kepada semua persoalan. Inilah persimpangan  jalan antara tasawwur Akidah al-Quran dengan ilmu Akidah reka cipta. Sesungguhnya  jalan menuju kepada kesempurnaan keredaan Allah S.W.T. adalah amat sukar berbanding dengan pelbagai tipu daya syaitan dan pujukan hawa nafsu yang sangat mudah untuk seseorang terjebak ke dalamnya.

Melalui buku ini kenalilah  jalan tarbiyah  akidah yang telah   kita laksanakan sejak sekian   
lama. Dengan   itu kita  tidak  lagi tertipu atau terkeliru dengan pelbagai slogan  akidah reka  
cipta  (hujah dan debat yang tercela) yang  tidak dapat membersihkan pelbagai  hijab  hati   
(sifat-sifat mazmumah) dan hati terus mati (kesesatan)menerusi pegangan akidah    
ikut-ikutan   (taklid).   Malahan  salah faham terhadap Akidah al-Quran  ini  telah 
mengakibatkan  pelbagai  bentuk  atau versi  akidah yang menyimpang. Malangnya, versi 
yang telah disalahtafsirkan ini telah diamalkan dan diperjuangkan, dan  ini  menimbulkan   
fitnah  sangat  besar terhadap kesucian agama ini.

Kita yakin umat Islam dengan akidah yang sebenar (penghayatan kerohanian Islam) akan terus berjuang sama ada di bidang amal ibadat (Syariat Islam) dan juga di bidang fardu kifayah soal ekonomi, perniagaan, teknologi, pengurusan dan pembangunan untuk meletakkan dasar-dasar Islam menjadi asas dan teras pembangunan rohaniah dan kemanusiaan dalam era globalisasi yang begitu mengerikan ini. Kita tidak mahu generasi muda kita dilanda kemiskinan dan kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kesesatan. Rosak akidah akan membawa kita ke neraka dan miskin akan menghampirkan kita kepada kekufuran. Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa umat Islam masa kini sedang menderita kemunduran, dan kelemahan di sudut rohani (akidah) dan pembangunan (duniawi). Malahan umat Islam perlu sedar bahawa nilai-nilai daripada penghayatan aspek fardu ain sangat penting untuk menyerlahkan Islam di bidang fardu kifayah.

Umat Islam dewasa ini memerlukan pendekatan tarbiyah akidah para sahabat , tabi’in dan al-salaf dalam cara memahami dan mengamalkan aspek akidah (al-Quran) yang sebenar  bagi membangunkan semula “rahsia kekuatan ummah” yang mampu menerapkan  cara hidup Islam yang lebih progresif, seimbang, harmoni dan global. Malah, segala bentuk, cara dan jalan tarbiyah (Akidah al-Quran) itu sebagai sebab-musabab yang bertepatan  pula semuanya telah ditempuh dan dilalui oleh mereka (para sahabat, tabi’in dan al-salaf). Ertinya apabila umat Islam memilih jalan (tarbiyah akidah)  yang lain  maka natijahnya juga akan menjadi lain. Akibat kepincangan itu, umat Islam bukan sahaja tidak dapat menerajui dan memayungi dunia atas statusnya sebagai ummah terbaik, malah kita menjadi mangsa oleh penjajahan bentuk baru dalam era globalisasi. Oleh itu, usaha memperbetulkan semula jalan (tarbiyah akidah ummah) itu mesti dilakukan agar keunggulan Islam dapat direalisasikan sebagai “way of life” yang dapat dilihat, dirasai dan dikongsi oleh manusia  masa kini bukan sahaja dari segi teorinya, tetapi juga pelaksanaannya. Inilah “Islam” yang telah diperjuangkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat  sehingga baginda mampu menegakkan tamadun rohaniah yang tinggi dan asas bagi tamadun kemanusiaan (duniawi) yang kukuh untuk disambung oleh generasi al-salaf. Semoga buku ini ada manfaatnya kepada para pembaca sekalian.

Moga-moga Allah S.W.T. menerima amalan ini yang semata-mata untuk mendapatkan keredaanNya serta memberi kekuatan kepada penulis buku ini supaya dapat terus dimanfaatkan  oleh umat  Islam  dalam  mengembalikan Akidah Islam yang sebenar.

Segala kesilapan dan kekurangan adalah kelemahan kami. Oleh itu, teguran membina amat dialu-alukan.

 Sekian, wassalamu’alaikum.


 Penerbit
 PUSAT RAWATAN ISLAM SUFI



PRAKATA

Pujian bagi Allah S.W.T., satu-satunya Zat yang disembah, Tuhan Maha Menyatukan hati para hambaNya yang memperbanyakkan zikrullah dan mengharapkan keampunanNya. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w. Rasul  yang  mendidik dan memimpin manusia untuk mengenal dan mencintai Allah, sekaligus mampu berjuang melaksanakan segala amal ibadat selaras dengan pencapaian kesempurnaan hati (darjat ihsan).

Para sahabat mengingatkan kepada para tabi’in tentang  dakwah Nabi s.a.w. bahawa mereka pada peringkat mulanya mempelajari iman (tarbiyah akidah), iaitu selama lebih 11 tahun di kota Makkah (tanpa perintah mengerjakan segala amal ibadat seperti solat, puasa, jihad, haji, zakat dan sebagainya), kemudian selama sepuluh tahun di kota Madinah, iaitu aplikasi sistem Islam secara total (pelaksanaan segala perintah Allah, iaitu Syariat dan Akidah Islam). Di samping itu, kesempurnaan akidah yang dibina di kota Makkah terus menerus disubur, dibina dan dikukuhkan, dan tarbiyah akidah (amalan rohani Islam) terus berjalan untuk golongan yang baru memeluk Islam. Mereka menyebut seperti yang digambarkan di dalam kitab Qut-ul-Qulub, karangan Shaikh Abu Talib al-Makki (w. 368 H. / 992 M.):
“Kami pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda mengajar kami iman, kemudian mengajar kami al-Quran (hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran) maka bertambahlah iman kami dan akan sampai satu zaman (nanti) di mana orang  ramai mempelajari (hukum-hukum yang terdapat di dalam  al-Quran) itu sebelum mempelajari iman.”

Kenyataan yang tersebut di atas menjelaskan bahawa selama lebih 11  tahun Nabi s.a.w. menangani permasalahan dalaman manusia (akal, nafsu dan hati) di kota Makkah adalah untuk menyempurnakan elemen-elemen dalaman para sahabat menerusi berzikir mengingati Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran. Hakikatnya, apa yang diperin- tahkan Allah menerusi jalan tarbiyah (akidah) ini  bukanlah sesuatu yang misteri, seolah-olah tiada ayat  Allah dan Hadis Nabi s.a.w. untuk menjelaskan bentuk dakwah (Akidah al-Quran)  ini sebagaimana yang difahami oleh golongan ahli zahir (mazhab Fuqaha, mazhab Wahabi, jemaah Tabligh dan lain-lain) sehingga mereka terpaksa  merangka pelbagai jalan atau proses tarbiyah akidah  reka cipta (pendalilan akal dan teori Tauhid Wahabi) untuk menyampaikan seseorang kepada mengenal (makrifah) Allah. Tegasnya, tanpa ilmu dan amalan tarekat Tasawuf , hakikat penghayatan  kerohanian Islam tidak akan dapat dicapai dengan sebenar-benarnya.

Secara  jelas al-Quran menonjolkan suruhan supaya mempelajari berzikir mengingati  Allah sekali gus menunjukkan tuntutan memperbanyakkan sebutan serta ingatan terhadapNya (Aki- dah al-Quran), sebagai amalan yang dikasihi Allah SWT serta mempunyai kelebihan, keagungan dan kemuliaan khusus di sisiNya (pengukuhan tauhid kepada Allah). Oleh  kerana  itu,  Nabi s.a.w. menunjukkan  jalan berzikir kepada para sahabat (zikir darajat)  supaya sempurna hubungan rohani denganNya  dan  mereka tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang  sesat (hati yang mati/lalai). Inilah tasawwur Akidah Islam yang sebenar yang bermakna menggambarkan atau memberi tanggapan dan seterusnya menghayati proses menyebut-nyebut serta mengingati Allah ini sebagai pencetus kesedaran hati untuk men- capai kesempurnaan akidah (makrifah Allah), diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi s.a.w. menerusi Malaikat Jibril a.s. tanpa sebarang perubahan seperti firman Allah S.W.T:
وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّآلِّينَ
 Maksudnya:
“Dan berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk kepada jalan berzikrullah mu). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat (memiliki hati yang mati).”  
                                                                      (Surah al - Baqarah, ayat: 198)

Ayat al-Quran di atas menuntut supaya umat Islam mempelajari berzikir kepada Allah (zikir darajat) sebagai dalil khusus yang mewajibkan amalan tersebut. Malah, al-Quran meng- gambarkan suatu kewajipan setiap individu Muslim melaksanakan zikir yang terus menerus (Akidah al-Quran) kerana ia merupakan permulaan hidayah daripadaNya. Oleh yang demikian, apabila konsep amalannya termaktub dalam sumber utamanya, iaitu al-Quran dan al-Sunnah, di samping  terserlah kepentingan pengamalannya dalam mencapai kesempurnaan akidah (makrifah Allah), dapatlah difahami bahawa tuntutan memperbanyakkan menyebut dan mengingati Allah itu bukan sekadar suatu galakan atau suatu anjuran amalan sunat kepada setiap mukalaf. Dalam hal ini Allah menghubungkait khusyuk hati (kesempurnaan akidah) dan memperbanyakkan berzikir mengingatiNya dengan maksud menyempurnakan aspek rohani (hati) menerusi proses menyebut-nyebut dan mengingati lafaz Allah akan men- cetuskan kesedaran hati, dan membuahkan keyakinan yang teguh dan keimanan yang kental kepada Allah  sebagaimana firmanNya:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ 
“Adakah belum sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman itu untuk mengkhusyukkan hati mereka dengan mengi- ngati Allah (berzikrullah).”              
                                              (Surah al-Hadiid, ayat: 16)

Allah S.W.T.  juga berfirman yang bermaksud:
الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“Mereka adalah orang yang beriman (dan beramal soleh) dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
                                             (Surah Ar-Ra’d: ayat 28)

Pertembungan di antara dua prinsip yang berbeza  dalam tarbiyah akidah iaitu berasaskan kepada pemahaman ilmu Kalam (ilmu Sifat 20) dan teori Tauhid Wahabi,  atau berzikir terus menerus dan bermujahadah memerangi nafsu (Akidah al-Quran)  telah melahirkan pelbagai aliran atau mazhab akidah dalam kalangan umat Islam masa kini. Golongan mazhab akidah ahli zahir  menumpukan kepada  pemahaman  ilmu Kalam (ilmu Sifat 20) dan teori Tauhid Wahabi terhadap pengertian kalimah tauhid (mendefinasikan Rabb), sifat-sifat Allah  dan af’alNya menerusi hujah-hujah logik akal dan ayat-ayat mutasyabihat supaya terzahir dalam kesedaran akal untuk menimbulkan keyakinan kepada keesaan Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Adakah orang yang hatinya mati lalu Kami hidupkan dan kami jadikan dalam hati yang hidup itu cahaya (dengan hati yang bercahaya dan dapat memahami kebenaran Allah) dan menyampaikannya kepada manusia, (adakah orang ini) sama dengan orang yang hatinya mati yang berada dalam berbagai-bagai kegelapan yang tidak boleh keluar daripada kegelapan itu?”                                                    (Surah al-An’am, ayat:122)

Kepelbagaian aliran atau mazhab dalam akidah ini jarang sekali di dengar atau diperkatakan pada umum. Ini kerana aspek  ini tidak dibahaskan sama ada mereka jahil atau gerun untuk dibincangkan dalam kalangan ummah. Bagaimanapun,  ianya adalah sesuatu yang amat penting untuk diketahui atau diteliti sejarah munculnya pelbagai mazhab  akidah dan proses tarbiyah akidah yang dilaksanakan, agar kita tidak tergelincir dari landasan Akidah al-Quran yang hakiki  dalam penghayatan Islam yang sebenarnya, zahir dan batin/rohani.

Diajar ilmu Akidah tentang pengertian Rabb, sifat-sifat Allah dan af’alNya, padahal penganut-penganut agama lain  juga menyatakan sifat-sifat tuhan mereka seperti ada dan berada di atas langit, mempunyai muka, tangan, mata, rusuk, boleh turun naik, berkuasa, mendengar atau tidak pekak, melihat atau tidak buta dan sebagainya yang dilonggokkan pada akal. Apakah beza pegangan orang kafir (terhadap sifat-sifat  tuhan mereka) berbanding akidah umat Islam di zaman ini yang ditarbiyahkan menerusi ilmu Akidah reka cipta (dilonggokkan pada akal)? Tanpa mereka (golongan ahli zahir) sedari bahawa pengetahuan  sifat-sifat Allah dan mendefinasikan Rabb (pada akal) itu tidak dapat membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat keji) dan mereka sentiasa gagal untuk mencapai khusyuk hati kepada Allah dan tenggelam dalam lautan lalai semasa mengerjakan segala amal ibadat.

Inilah dakwah syiar Islam ke atas dua  aspek agama yang berbeza (Syariat  dan Akidah al-Quran), sesuai dan selaras dengan kejadian manusia yang terdiri daripada jasmani dan rohani,  juga selaras dengan ilmu agama  ada yang zahir dan yang batin. Agama  tidak mengenali adanya sebarang bentuk pemisahan antara dua aspek agama yang utama itu. Dalam kalangan kebanyakan umat Islam dewasa ini berlakunya kebinasaan hati (kesesatan) atau memiliki pegangan akidah ikut-ikutan (taklid)  akibat mengabaikan berzikir mengingati Allah terus menerus. Ternyata golongan ahli zahir  telah terputus tali rohaniah dengan Allah (kesesatan)  atau mengalami fenomena ‘kekeliruan berakidah’ tanpa disedari kerana   mereka telah menetapkan bahawa amalan rohani Islam (amalan zikrullah) itu  tiada hubung kait dengan  pencapaian kesempurnaan akidah (mengabaikan amalan zikir mengingati Allah). Dengan itu jalan mereka (golongan ahli zahir) menuju kepada Allah (mendapat rahmat dan keredaanNya) menjadi jauh dan langkahnya juga menjadi lambat sehingga mungkin tidak akan sampai hingga seseorang itu mati.
           
Buku ini menyentuh mengenai jalan tarbiyah akidah  yang hakiki (Akidah al-Quran) berasaskan kepada perintah Allah S.W.T., sunnah Nabi s.a.w., sunnah  para sahabat, amalan  rohani tabi’in dan al-salaf  menerusi memperbanyakkan proses menyebut dan mengingati Allah sebagai pencetus kesedaran hati yang boleh membuahkan suatu keyakinan yang teguh dan keimanan yang penuh terhadap keesaan dan kesempurnaan Allah S.W.T. Ini bukan bererti menolak kemajuan dan tamadun, tetapi ingin memberi penekanan agar umat Islam berjaya menghayati tasawwur Akidah Islam bagi menjana “rahsia kekuatan ummah” yang mampu menegakkan tamadun rohaniah yang tinggi dan asas bagi tamadun duniawi (material) yang kukuh. Lebih-lebih lagi amat dikesalkan dan menyedihkan apabila selama ini  amalan rohani Islam itu sangat terpinggir, terabai dan tidak dipedulikan. Malahan  ada yang sampai ke tahap memperleceh, meremehkan dan menafikan kebenaran ilmu dan amalan zikrullah, justeru itu lantas menolaknya.
 
Islam adalah agama Allah, milik Allah. Golongan yang benar-benar tepat menjalani tarbiyah akidah maka berhak pula dibela, dibantu dan dimenangkan oleh Allah. Allah berperanan bagi pihak pejuang kebenaran dalam menumpaskan musuh. Kerana memusuhi kebenaran bererti memusuhi Allah. Umat Islam perlu berusaha dan melakukan riadah (latihan amalan keroha- nian, iaitu ber‘uzlah) untuk pengendalian nafsu dan membersihkan sifat-sifat keji bertujuan mencapai darjat yang tertinggi atau memiliki “rahsia kekuatan ummah” sebagai menghadirkan sebab untuk tujuan Allah S.W.T. mengurniakan kekuatan, kejayaan dan kemenangan, iaitu bertepatan dengan landasan akidah yang hakiki  (Akidah al-Quran) dalam penghayatan ajaran Islam yang sebenarnya.
      
Oleh itu, kita mengharapkan semua perbincangan dan kajian yang dilakukan dapat menyelesaikan semua permasalahan dan kekeliruan berkaitan amalan zikrullah  (Akidah al-Quran)  dapat diperbetulkan, dan sekali gus dapat menangkis berbagai kekeliruan dan salah faham  yang berlaku sejak sekian lama mengenainya, serta mampu mengembalikan yang hak (memperbanyakkan amalan zikir mengingati Allah) kepada tempatnya yang sebenar (Akidah Islam).. Malah lebih dari itu, kita mengharapkan  ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf) dijadikan tunjang pendidikan agama (tarbiyah akidah)  di peringkat sistem pengajian pondok, pusat-pusat tahfiz al-Quran, sekolah-sekolah rendah dan menengah, dan pusat-pusat pengajian tinggi kerana ia merupakan cara terpenting menyampaikan seseorang kepada kepada mengenal (makrifah) Allah iaitu mengukuhkan hubungan ingatan hamba kepada Allah supaya terjalin ikatan kehambaan yang kukuh dalam dirinya iaitu sentiasa mentauhidkan Allah dalam setiap detik kehidupannya.

Dengan kembali kepada ilmu dan amalan (zikrullah) itu dalam arus pendidikan moden, iaitu bahagian utama kehidupan ini (Akidah Islam), maka baharulah kita dapat menghayati hakikat kesempurnaan akidah dan selaras dengan penetapanNya bahawa memperbanyakkan berzikir mengingati Allah yang dituntut oleh al-Quran sebagai satu tuntutan wajib ke atas setiap mukalaf  adalah bertitik tolak daripada makna teras yang terkandung dalamnya, iaitu sentiasa mentauhidkan Allah dalam semua keadaan dan ia boleh dicapai menerusi proses menyebut-nyebut dan mengingati kalimah (Allah) itu.

Seterusnya kami berharap agar buku ini dapat memberi manfaat dan bimbingan kepada para pembaca sekalian tentang tasawwur  Akidah  Islam yang sebenar. Suasana umat Islam masa kini amat berhajat kepada tasawwur  itu dalam menyampaikan, menyebarkan dan mentarbiyahkan ajaran Islam kepada manusia. Hanya dengan tasawwur (Akidah Islam)  yang dianjurkan oleh kitab al-Quran yang dapat menyedarkan mereka semula setelah sekian lama berada di dalam buaian fikiran jahiliah tajaan penjajah kuffar yang sentiasa memesongkan mereka daripada pengertian akidah sebenar (Akidah al-Quran).

Sesungguhnya Akidah Islam yang sebenar (sentiasa berzikir mengingati Allah), ibadat yang betul dan sahih, akhlak yang mulia dan hukum hakam yang adil merupakan empat rukun uta- ma yang diketengahkan oleh al-Quran dalam memberikan tasawwur bagi mencapai binaan ummah berteraskan Islam yang tulen. Semoga Allah S.W.T. memanjangkan usia kita dalam berbuat taat kepadaNya dan memudahkan kita untuk mengikuti jalan kebenaran yang sejati, dan berikanlah kami kekuatan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami kesesatan yang sebenar dan berilah kami kekuatan untuk menjauhinya. Kepada para ulama dan  ilmuwan  Islam yang telah mengarang kitab-kitab dan kertas kajian yang menjadi rujukan kami dalam penyusunan buku ini semoga dicucuri rahmat Allah, aamiin.

Sekian, wassalamu’alaikum.

 


PERINGATAN

Assalamu'alaikum wbt,

PERINGATAN KEPADA PARA PEMBACA BUDIMAN!


Segala isi kandungan dalam buku ‘Tasawwur Akidah Islam: Zikrullah Sendi Akidah’  perlu difahami secara teliti dan berhati-hati kerana ianya melibatkan aspek rohaniah manusia yang tidak boleh difahami atau dicerap oleh akal yang dilonggokkan dengan  hujah-hujah tentang sifat-sifat Allah (pendalilan akal), teori Tauhid Wahabi dan  pengetahuan ilmu Fiqah (fadilat-fadilat dan hukum hakam segala amal ibadat). Oleh sebab itulah,  maka Imam al-Ghazali menegaskan bahawa jalan tarbiyah ilmu  dan amalan tarekat Tasawuf  tidak boleh dicapai dengan  jalan mendengar dan ta’lim  (belajar),  tetapi hanya boleh dicapai dengan cara merasa (sentiasa menyebut dan mengingati Allah) dan ber‘uzlah  semata-mata. Jalan tarbiyah  (akidah) ini  diasaskan dari  jalan ‘uzlah  Nabi s.a.w. di Jabal Nur dan Nabi Musa a.s. di bu- kit Tur Sina’  untuk membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat mazmumah) bagi mencapai kesempurnaan tuntutan penyucian jiwa dan pengabdian diri kepada Allah.

Amalan ber‘uzlah Nabi s.a.w. di Gua Hira’ selama beberapa tahun dipimpin oleh mursyid baginda, Jibrail a.s. merupakan asas ilmu Akidah Islam dalam mentarbiyah (akidah) para sahabat r.a. untuk mencapai kesempurnaan aspek rohani itu. Di zaman yang awal itu tidak ada kitab-kitab ilmu Kalam, teori Tauhid Wahabi, ilmu Tasawuf, tafsir al-Quran, ilmu Fiqah dan sebagainya yang digunakan baginda untuk menghuraikan proses penyucian jiwa (rohani). Hakikatnya, dalam tempoh itu tiada ceramah agama atau bacaan kitab-kitab pada setiap hari dalam bentuk teori atau slogan untuk mencanangkan sejarah kegemilangan Islam  atau ilmu Akidah reka cipta  ataupun  pengetahuan ilmu Fiqah (hukum hakam dan fadilat segala amal ibadat) secara mendalam  untuk menyampaikan seseorang kepada mengenal (makrifah) Allah. 

Secara jelas, selama lebih sebelas tahun  Nabi s.a.w. menangani permasalahan dalaman manusia (akal, nafsu dan hati) di kota Makkah adalah untuk menyempurnakan elemen-elemen dalaman para sahabat menerusi berzikir mengingati Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran. Ternyata proses tarbiyah (Akidah al-Quran) Nabi s.a.w. menerusi berzikir dan bermujahadah (untuk mencapai kesempurnaan akidah) adalah bertentangan dengan tarbiyah (akidah) yang dilaksanakan kebanyakan umat Islam dewasa ini yang dicapai menerusi hujah-hujah dan penghuraian  ilmu Akidah reka cipta (ilmu yang hanya berpaut pada akal atau sekadar hafalan semata-mata)  yang tidak mampu membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat keji).

Didasarkan kepada pengalaman ber‘uzlahnya (selama 11 tahun, iaitu mengambil sunnah tarbiyah akidah Nabi s.a.w. di kota Makkah), maka Imam Al-Ghazali menyimpulkan bahawa kesempurnaan hati/akidah tidak dapat dicapai dengan pemahaman ilmu Kalam. Kata beliau:
“Maka makrifah (kenal) kepada Allah S.W.T., sifat-sifatNya, perbuatanNya dan semua yang kami nyatakan dalam topik ‘Ilm Mukhasafah (terdahulu) tidak mungkin boleh dicapai oleh seseorang menerusi (mempelajari) ilmu Kalam. Bahkan kemungkinan besar ilmu Kalam tersebut menjadi penghalang utama yang menghijabkan seseorang daripada mengenal Allah S.W.T. Sebaliknya, cara sebenar (untuk mengenal Allah) ialah melalui amalan mujahadah (bersungguh-sungguh berzikrullah) yang telah dijadikan Allah S.W.T. sebagai permulaan bagi hidayatNya.” 

Kenyataan beliau tersebut bermaksud metode pendalilan akal (ilmu Kalam) dan mendefinasikan Rabb (teori Tauhid Wahabi) sahaja tidak memadai untuk menjadikan seseorang Muslim  mencapai matlamat bertujuan sampai  kepada mengenal Allah kecuali melaksanakan metode yang  dikemukakan oleh para tokoh Tasawuf  yang didasarkan ke atas al-Quran dan al-Sunnah.

Sebab itu tokoh ulama khalaf yang terkenal, Imam Shafi’i yang ditarbiyahkan (akidah) dengan jalan ‘uzlah  ini menyebutkan:
“Sesiapa yang mahu Allah S.W.T. bukakan pintu hatinya (kesempurnaan hati) dan diberi ilmu (secara laduni atau zawqi) maka wajiblah ia ber‘uzlah dan menyedikitkan makanan dan tidak bercampur dengan orang bodoh dan setengah orang alim yang tidak ada keinsafan serta tidak ada adab  (menafikan tarbiyah ilmu dan amalan zikrullah).”

Hal demikian menunjukkan bahawa pendirian para tokoh Tasawuf menjadikan jalan berzikir dan mujahadah (untuk membersihkan hijab hati dan membendung kehendak hawa nafsu) yang diketengahkan oleh mereka adalah jalan terbaik untuk mencapai kesempurnaan akidah atau makrifah Allah berpandukan banyak ayat anjuran berzikir dalam al-Quran. Tanpa ilmu dan amalan zikrullah, jalan menuju kepada Allah menjadi jauh dan langkahnya juga menjadi lambat sehingga mungkin tidak akan sampai hingga seseorang itu mati.
     
Jika timbul sebarang kemusykilan atau kekeliruan, silalah rujuk kepada guru tarekat Tasawuf atau shaikh mursyid yang memimpin amalan ber‘uzlah. Setiap fakta atau isu yang mengelirukan dalam ilmu dan amalan zikrullah (tarekat Tasawuf) mempunyai maksud dan penghuraiannya yang berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadis-hadis Nabi  s.a.w. dan ijma’ para ulama Tasawuf  bagi menjelaskan ketulenan ilmu dan amalan (zikrullah) ini yang telah lahir bersama kelahiran agama Islam.

Sesungguhnya, su’uzan atau buruk sangka terhadap orang Islam adalah haram. Mentakwilkan perkataan dan perbuatan orang Islam itu adalah wajib.


Sekian, wassalamu’alaikum


2 comments:

Khairul said...

Assalamualaikum w.b.t kepada tuan admin..
1. dimana boleh saya beli naskah zikrullah neraca keimanan ini? jika tiada dipasaran bolehkah saya print untuk bacaan keluarga.
2. Bolehkan tuan berikan panduan bagamana untuk mencari dan mengenali guru yang murshid..
sekian terima kasih.

Abu Dzar said...

Wsalam wbt buat saudara yang mencintai ilmu dan amalan zikrullah.

1)edisi terkini risalah zikrullah neraca keimanan dalam proses percetakan. oleh itu, buat masa kini boleh lah pihak kami emailkan seluruh naskah itu ke alamat email saudara.
2)Maksud guru mursyid adalah semata-mata merujuk kepada guru pembimbing rohani yang mampu menunjukkan jalan yang lurus memerangi nafsu yang keji supaya kita mampu melaksanakan sunnah Nabi SAW, iaitu melaksanakan segala amal soleh yang difardhukan seiring dengan kesempurnaan hati yang dicapai dengan amalan berterusan berzikrullah dan qiyamullail..
3)Mudah-mudahan kita sentiasa di jalan yang benar seiring dengan akidah angkatan umat Islam di zaman yang awal..
4)Wassalam