Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah yang telah mengurniakan kekuatan rohaniah kepada kami untuk menerbitkan buku yang bermanfaat kepada aspek rohaniah bagi masyarakat untuk membezakan Akidah al-Quran (amalan zikir hati) untuk mencapai khusyuk hati, keteguhan ketaqwaan dan kemuliaan akhlak (darjat ‘ihsan’) berbanding dengan tarbiyah ilmu Kalam (hujah-hujah lojik akal tentang sifat-sifat Allah dan mendefinasikan Rabb) bertujuan mentauhidkan keesaan Allah. Selawat serta salam kepada junjungan Nabi s.a.w., keluarga dan para sahabat baginda.
Besarlah harapan kami semoga buku ini dapat memberi manfaat dan bimbingan rohaniah kepada umat Islam agar tidak terkeliru dengan pelbagai mazhab ilmu Kalam yang telah menguasai tarbiyah hati/akidah ummah sejak lebih seribu tahun lalu. Apa jua nama aliran atau mazhab akidah yang dinamakan, namun tarbiyah akidah hujah-hujah lojik akal (ilmu Sifat 20, Akidah Tauhid Tiga dan sebagainya) yang dilaksanakan golongan ahli zahir merupakan polemik jalan mentauhidkan keesaan Allah. Natijahnya, metode tarbiyah akidah sangkaan dan andaian tidak dapat membersihkan berbagai-bagai pujukan syaitan dan desakan nafsu lantas mereka kekal memiliki buta hati atau hati terhijab (tidak berfungsi) dan pengetahuan ilmu Kalam hanya sekadar menjadi bahan ‘mental exercise’. Tanpa disedari mereka tenggelam dalam lautan lalai (kesesatan) semasa mengerjakan segala amal ibadat.
Hakikatnya, apa yang disangkakan ilmu dan amalan berkaitan aspek akidah dalam Islam pada abad ini bukanlah amalan penyucian jiwa sebenar tetapi merupakan hujah-hujah lojik akal sekadar menjadi tarbiyah ikut-ikutan yang begitu rapuh dan goyah sifatnya, dan kajian dilakukan (ilmu Kalam) tidak ada kaitan dengan aspek rohaniah dalam agama dan ianya sekadar untuk diperdengarkan. Dalam apa jua keadaan sekalipun persoalan hakikat penghayatan Akidah al-Quran (keperibadian mulia) adalah terpenting dan asas kepada semua persoalan dalam agama, dan ianya menjadi teras dan penentu kepada kesempurnaan segala amal ibadat yang dikerjakan. Menerusi buku ini kenalilah tarbiyah amalan Akidah al-Quran sebenar berbanding dengan tarbiyah ilmu Kalam yang telah lama menguasai dakwah akidah ummah. Semoga kita tidak lagi terkeliru, bercelaru atau kebingungan dengan isu wabak buta hati (kesesatan) dan keruntuhan akhlak yang hebat melanda ke atas kebanyakan umat Islam masa kini akibat kuatnya pengaruh dakwah akidah ilmu Kalam.
Kita yakin umat Islam dengan tarbiyah Akidah al-Quran (amalan zikir hati) yang sebenar akan terus berjuang sama ada di bidang amal ibadat (Syariat Islam) dan juga di bidang fardu kifayah iaitu soal ekonomi, perniagaan, teknologi, pengurusan dan pembangunan untuk meletakkan dasar-dasar Islam menjadi asas dan teras tamadun rohaniah dan tamadun duniawi dalam era globalisasi yang begitu mengerikan pada abad ini. Kita tidak mahu generasi muda kita dilanda kemiskinan dan kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kesesatan. Rosak akidah (memiliki buta hati) akan membawa kita ke neraka dan miskin akan menghampirkan kita kepada kekufuran. Tidak ada sesiapa dapat menafikan bahawa umat Islam pada masa kini sedang menderita kemunduran dan kelemahan di sudut rohaniah (hati terhijab dengan pelbagai sifat tercela) dan keruntuhan akhlak, dan jauh ketinggalan dalam pembangunan duniawi berbanding dengan kaum kuffar. Tegasnya, umat Islam perlu sedar bahawa nilai-nilai daripada pelaksanaan Syiar Islam sebenar iaitu memiliki keperibadian mulia dan mengerjakan segala amal ibadat/Syariat Islam sangat penting untuk menyerlahkan Islam di bidang fardu kifayah.
Ilmu dan amalan zikir hati (Akidah al-Quran) jarang sekali didengar atau dibahaskan secara terperinci kepada ummah. Ini kerana amalan Akidah al-Quran telah lama lenyap dan tidak pernah diambil peduli oleh ummah meskipun ianya merupakan amalan yang disyarakkan seperti termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Berkembangnya pengaruh ilmu Kalam di seluruh dunia yang menguasai tarbiyah akidah ummah pada abad ini menandakan pencapaian keperibadian mulia iaitu hakikat penghayatan Akidah al Quran tidak mendapat tempat dalam pemikiran dan amalan di kalangan ummah. Natijahnya, tarbiyah akidah hujah-hujah lojik akal (ilmu Kalam) tidak dapat membersihkan pelbagai sifat tercela dan mereka kekal memiliki buta hati (kesesatan). Malahan, kita tidak terperanjat jika kebanyakan umat Islam masa kini telah mempersoalkan hakikat kebenaran ilmu dan amalan zikir hati (Akidah al-Quran).
Semoga Allah S.W.T. menerima amalan ini yang semata-mata untuk mendapatkan keredaanNya serta memberi kekuatan rohaniah kepada penulis buku ini supaya dapat terus menulis dan menyusun buku-buku agama berkaitan ilmu dan amalan zikir hati dan dapat dimanfaatkan oleh umat Islam dalam mengembalikan yang hak (amalam Akidah al-Quran) kepada tempatnya yang sebenar. Segala kesilapan dan kekurangan adalah kelemahan kami. Oleh itu, teguran membina amat dialu-alukan.
Sekian, wassalamu’alaikum.
Penerbit
SURAU LEBAI DERIS
TERENGGANU, MALAYSIA
No comments:
Post a Comment