PRAKATA

Pujian bagi Allah S.W.T., satu-satunya Zat yang disembah, Tuhan Maha Menyatukan hati para hambaNya yang memperbanyakkan amalan zikir hati dan mengharapkan rahmat dan keredaanNya. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w., Rasul yang mendidik dan memimpin manusia untuk mencapai keperibadian mulia (darjat ‘ihsan’), sekaligus mampu berjuang mengerjakan segala amal ibadat dengan sebaik-baiknya. 

Amalan zikrullah/zikir hati (Akidah al-Quran) merupakan amal ibadat yang paling awal diperintahkan Allah ke atas umat Islam sebagai amalan penyucian jiwa untuk mencapai sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak. Inilah misi dakwah Nabi s.a.w. di kota Makkah selama tiga belas tahun tanpa perintah mengerjakan amal ibadat seperti solat, puasa, jihad, mengerjakan ibadat haji, zakat dan sebagainya. Demikianlah keutamaan amalan zikir hati dalam agama dan Allah S.W.T. juga menetapkan segala amal ibadat dikerjakan mesti selaras dengan amalan Akidah al-Quran (memiliki keperibadian mulia). Ini telah ditegaskan oleh firman Allah dalam al-Quran yang mulia, maksudnya: 
“Amalan zikrullah/zikir hati adalah seutama-utama amal ibadat.”                                                                                                                                                                               (Surah al-Ankabut, ayat: 45) 

Allah S.W.T. menjelaskan hubung kait mengerjakan amalan zikir hati (Akidah al-Quran) dan khusyuk hati menerusi firmanNya yang bermaksud;
“Mereka adalah orang yang beriman (dan beramal soleh) dan khusyuk hati mereka dengan ‘zikrullah’ (zikir hati). Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ (zikir hati) hati manusia menjadi khusyuk.”                                                                                                         (Surah Ar-Ra’d, ayat: 28)  

Keutamaan dan kepentingan ilmu dan amalan Akidah al-Quran sebagai perkara utama dalam risalah Syiar Islam dan Allah S.W.T menghubung kait kejayaan para hambaNya dengan tuntutan penyucian jiwa (tazkiyah an-nafs) bagi mencapai keredaanNya seperti dijelaskan dalam firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah (mendapat keredaan Allah) orang yang menyucikan jiwanya (amalan zikir hati).”                                                       (Surah al-Shams, ayat:9)

Sejajar dengan itu, memperbanyakkan amalan zikir hati yang dituntut oleh al-Quran sebagai satu tuntutan wajib ke atas setiap mukalaf adalah bertitik tolak kepada inti pati dan tujuan utama pelaksanaan amalan penyucian jiwa untuk mencapai bersihnya hati daripada sifat-sifat tercela dan terhias hatinya dengan pelbagai sifat terpuji, yang diredaiNya sehingga orang itu tetap teguh di dalam keadaan tersebut. Natijahnya, kebanyakan umat Islam di zaman ini seolah-olah menafikan tarbiyah amalan Akidah al-Quran yang ditetapkan Allah dan menganggap ianya itu tidak lengkap dan sempurna, dan masih memerlukan perubahan atau ijtihad menerusi tarbiyah ilmu Kalam untuk mentauhidkan keesaan Allah. Sebaliknya, tanpa mereka (golongan ahli zahir) sedari bahawa Allah telah menetapkan amalan zikir hati sebagai seutama-utama amal ibadat untuk mencapai sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak menjadikan segala amal ibadat yang dikerjakan menjadi sempurna. Dengan amalan Akidah al-Quran dapat memperbaiki pelbagai sifat tercela dan menjadi mukmin yang bersifat terpuji dan berakhlak mulia. Malahan tarbiyah amalan zikir hati untuk mencapai keperibadian mulia merupakan perkara pokok dan utama dalam misi penyebaran dakwah Syiar Islam di kota Makkah. 

Manusia diciptakan memiliki dua fitrah untuk menguji manusia yang dilantik sebagai khalifah Allah di dunia iaitu memiliki kecanggihan roh yang ditiupkan semasa dalam kandungan ibu menjadikan mereka mencintai Allah dan takut kepada azab hari akhirat, dan fitrah kedua diuji dengan pelbagai pujukan syaitan dan desakan nafsu yang menyelubungi mereka sebagai hijab hati menjadikan mereka terlalu mencintai keindahan kehidupan duniawi yang penuh tipu daya dan sementara, dan mereka sentiasa ingkar kepada perintah Allah. Orang yang menafikan tarbiyah amalan Akidah al-Quran tidak akan dapat menghakiskan pelbagai sifat tercela menjadikan mereka memiliki buta hati dan gagal untuk mencapai sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak. 

Gagasan anjuran memperbanyakkan amalan zikir hati terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. ditonjolkan secara jelas dan terang bahawa pengamalannya dituntut sebagai amalan kerohanian Islam yang disyariatkan kepada setiap mukalaf. Al-Kitab menggambarkan suatu kewajipan setiap individu muslim mempelajari amalan zikir hati sebagai dalil khusus mewajibkannya. Oleh sebab itulah, maka Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:                                  “Dan berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepadamu (yang memberi petunjuk rasa rohaniah/zikir hati). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat (memiliki buta hati).”                                                                                                                                                                            (Surah al - Baqarah, ayat: 198)

Sesungguhnya tasawwur amalan Akidah al-Quran merupakan ‘perang rohani’untuk menyingkirkan jerat-jerat musuh rohani (pujukan syaitan dan desakan nafsu) menerusi amalan zikir hati untuk mencapai bersihnya hati daripada pelbagai sifat keji dan terhias hati dengan pelbagai sifat terpuji. Menerusi amalan kerohanian Islam yang begitu mudah dan praktikal bersandarkan juga kepada tuntutan fitrah manusia (kecanggihan roh) maka mereka dapat memperbaiki pelbagai sifatnya yang tercela dan akan menjadi mukmin yang bersifat terpuji dan berakhlak mulia. Itulah maksud hakikat penghayatan Akidah al-Quran sebenar dan inilah yang hendak dibentuk dalam setiap individu muslim untuk mencapai keperibadian mulia iaitu memiliki khusyuk hati, keteguhan ketaqwaan dan kemuliaan akhlak.  

Keperibadian mulia menjadi penjana ‘rahsia kekuatan ummah’ bagi generasi umat Islam di zaman yang awal. Menjadi rahsia untuk menuju kegemilangan ummah kerana selama ini ianya (darjat ‘ihsan’) seolah-olah terpinggir dan terabai, dilupakan dan tidak dipedulikan oleh umat Islam khususnya ummah dewasa ini. Rahsia ini seolah-olah tidak diketahui oleh umat Islam walaupun mereka yang mengaku diri mereka sebagai ulama, ilmuwan, pendakwah atau pejuang Islam. Hakikatnya, ‘rahsia kekuatan ummah’ atau keperibadian mulia (darjat ‘ihsan’) mesti dimiliki semula oleh umat Islam kerana Allah dan Rasul, dan untuk kejayaan dan keagungan ummah kali kedua. Tegasnya, pendekatan dakwah keimanan Nabi s.a.w. menerusi ilmu dan amalan zikir hati telah berjaya membina daya tahan dan daya juang para sahabat dan al-salaf. Mereka teguh mempertahankan Islam. Mereka mahu melihat Islam berkembang ke seluruh alam walaupun mereka derita dan sengsara kerananya.

Buku ini menyentuh mengenai ilmu dan amalan zikir hati (Akidah al-Quran) berasaskan kepada perintah Allah S.W.T., sunnah Nabi s.a.w., sunnah para sahabat, amalan kerohanian tabi’in dan al-salaf sebagai amalan penyucian jiwa untuk mencapai bersihnya hati daripada pelbagai sifat tercela dan terhias hati dengan pelbagai sifat terpuji. Ini bukan bererti menolak perkembangan pelbagai bidang ilmu Islam tetapi ingin memberi penekanan betapa pentingnya pencapaian sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak (darjat ‘ihsan’) sebagai penjana ‘rahsia kekuatan ummah’ yang mampu menegakkan tamadun rohaniah yang tinggi dan asas bagi tamadun duniawi (fardu kifayah) yang kukuh. Lebih-lebih lagi amat dikesalkan dan menyedihkan apabila amalan Akidah al-Quran sangat terpinggir, terabai dan tidak dipedulikan. Malahan ada yang sampai ke tahap memperleceh, meremehkan dan menafikan kebenaran tarbiyah amalan zikir hati (Akidah al-Quran), lantas mereka (golongan ahli zahir) menolaknya. 

Seterusnya kami berharap agar buku ini dapat memberi manfaat dan bimbingan kepada para pembaca sekalian tentang tasawwur amalan zikir hati. Suasana rohaniah umat Islam yang tenat (memiliki buta hati) pada abad ini menandakan ianya amat berhajat kepada tarbiyah amalan Akidah al-Quran dalam menyampaikan, menyebarkan dan mentarbiyahkan aspek rohaniah untuk mencapai sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak. Hanya menerusi pelaksanaan amalan zikir hati dengan bersungguh-sungguh yang dianjurkan oleh kitab al-Quran akan dapat menyedarkan mereka semula setelah sekian lama berada di dalam buaian akidah jahiliah tajaan penjajah kuffar yang sentiasa memesongkan mereka daripada hakikat penghayatan Akidah al-Quran (memiliki keperibadian mulia).

Sesungguhnya hakikat penghayatan Akidah al-Quran (keperibadian mulia), ibadat yang betul dan sahih, dan hukum hakam yang adil merupakan tiga rukun utama yang diketengahkan oleh al-Quran dalam memberikan tasawwur dakwah Syiar Islam bagi mencapai binaan ummah yang cemerlang berteraskan pelaksanaan Syiar Islam (memiliki keperibadian mulia dan mengerjakan segala amal ibadat/Syariat Islam) yang sebenar. 

Semoga Allah S.W.T. memanjangkan usia kita dalam berbuat taat kepadaNya dan memudahkan kita untuk mengikuti tarbiyah amalan penyucian jiwa (zikir hati) yang sebenar, dan berikanlah kami kekuatan rohaniah (khusyuk hati) dan keteguhan ketaqwaan untuk mengikutinya. Tunjukkanlah kepada kami jalan kesesatan  (pelbagai hijab hati) dan berilah kami kekuatan rohaniah (khusyuk hati) dan keteguhan ketaqwaan untuk menjauhinya. Allah mengingatkan umat Islam tentang orang yang memiliki khusyuk hati akan beroleh kejayaan sebenar dan abadi dengan firmanNya yang bermaksud: 
“Iaitu pada hari dimana harta dan anak-anak tidak berguna kecuali orang yang mengadap Allah dengan khusyuk hati.”
                                                                                                 (Surah al-Shu’ara’, ayat: 88-89)

Kepada para ulama dan ilmuwan Islam yang telah mengarang kitab-kitab dan kertas kajian yang menjadi rujukan kami dalam penyusunan buku ini semoga dicucuri rahmat dan mendapat keredaanNya, aamiin. 
Sekian, wassala mu’alaikum.

Abu Dzarr   

 

No comments: