PERINGATAN

Salam wbt, PERINGATAN  KEPADA  PARA  PEMBACA  BUDIMAN! Terdapat beberapa ungkapan kerohanian dalam buku ‘Akidah al-Quran vs Akidah Ilmu Kalam’ berkaitan dengan amalan Akidah al-Quran (zikir hati) yang perlu difahami secara teliti dan berhati-hati kerana ianya mempunyai maksud dan huraian tertentu. Ia sama sekali tidak boleh difahami secara literal atau harfiyyah iaitu menetapkan amalan zikrullah sekadar menyebut di bibir dan cuba mengingati Allah dengan akal semata-mata. Sebaliknya, ianya mesti difahami secara teliti dan berhati-hati kerana ianya mempunyai maksud dan huraian tertentu sebagai amalan penyucian jiwa dalam agama untuk mencapai sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak. Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa pencapaian keperibadian mulia tidak boleh dicapai dengan jalan mendengar dan ta’lim (belajar) tetapi hanya boleh dicapai dengan cara memiliki rasa rohaniah (zawq/zikir hati) dan bersuluk. Jalan tarbiyah hati ini diasaskan daripada jalan suluk (berzikir dan mujahadah) Nabi s.a.w. di Jabal Nur dan Nabi Musa a.s. di bukit Tur Sina’ untuk membersihkan pelbagai sifat tercela (sifat-sifat mazmumah) dan terhias hati dengan pelbagai sifat terpuji dan yang diredaiNya sehingga orang itu tetap teguh di dalam keadaan tersebut. 

Pengalaman bersuluk Nabi s.a.w. di Gua Hira’ selama beberapa tahun dipimpin oleh mursyid baginda, Jibrail a.s. merupakan asas ilmu dan amalan zikir hati yang digunakan baginda untuk mentarbiyah hati para sahabat bertujuan mencapai bersihnya hati daripada berbagai-bagai sifat tercela dan menjadi mukmin yang bersifat terpuji serta berakhlak mulia. Natijahnya, di zaman umat Islam yang awal mereka tidak ditarbiyahkan menerusi hujah-hujah lojik akal (ilmu Kalam) untuk menyampaikan pengetahuan atau maklumat secara mendalam tentang sifat-sifat Allah dan mendefinasikan Rabb (Akidah Tauhid Tiga) pada saban masa untuk mentauhidkan keesaan Allah. 

Didasarkan kepada pengalaman bersuluknya selama 11 tahun (selaras dengan tempoh Nabi s.a.w. mentarbiyah hati para sahabat di kota Makkah), maka Imam al-Ghazali menyimpulkan bahawa latihan penyucian jiwa (amalan Akidah al-Quran) untuk mencapai khusyuk hati dan menjadi mukmin yang bersifat terpuji dan berakhlak mulia, dan ianya tidak dapat dicapai menerusi tarbiyah akidah hujah-hujah lojik akal (ilmu Kalam). Kata beliau:                                 “Maka makrifah (kenal) kepada Allah S.W.T., sifat-sifatNya, perbuatanNya dan semua yang kami nyatakan dalam topik ‘Ilm Mukhasafah (terdahulu) tidak mungkin boleh dicapai oleh seseorang menerusi (mempelajari) ilmu Kalam (ilmu Sifat 20). Bahkan kemungkinan besar ilmu Kalam tersebut menjadi penghalang utama yang menghijabkan seseorang daripada mengenal Allah. Sebaliknya, cara sebenar ialah menerusi amalan mujahadah (untuk mencapai sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak) yang telah dijadikan Allah sebagai permulaan bagi hidayatNya.” 

Seterusnya, Iman al-Ghazali membuat rumusan dan kesimpulan bahawa ilmu Sifat 20 yang diasaskan menerusi hujah-hujah lojik akal dan debat tercela (ilmu Kalam) tidak mampu untuk membersihkan hati daripada pelbagai sifat keji. Kata beliau:                                                              “Aku sendiri juga ada mengarang kitab-kitab mengenai ilmu Kalam (Sifat 20) dengan kehendakku. Aku dapati ilmu Kalam dapat memenuhi tujuannya tetapi tidak dapat memenuhi tujuanku (mencapai khusyuk hati, keteguhan ketaqwaan dan berakhlak mulia).”

Kenyataan beliau tersebut di atas bermaksud metode tarbiyah akidah hujah hujah lojik akal/ilmu Kalam (ilmu Sifat 20 dan Akidah Tauhid Tiga) tidak memadai untuk menjadikan seseorang muslim mencapai sifat kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak (darjat ‘ihsan’) kecuali melaksanakan metode tarbiyah amalan Akidah al-Quran (zikir hati) yang dikemukakan oleh para tokoh Tasawuf yang didasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Sebab itu tokoh ulama khalaf yang terkenal, Imam Shafi’i yang menjalani latihan penyucian jiwa (amalan zikir hati) atau jalan suluk menyebutkan:                                                                             “Sesiapa yang mahu Allah S.W.T. bukakan pintu hatinya (khusyuk hati, keteguhan ketaqwaan dan kemuliaan akhlak) dan diberi ilmu (secara laduni) maka wajiblah ia bersuluk dan menyedikitkan makanan dan tidak bercampur dengan orang bodoh dan setengah orang alim yang tidak ada keinsafan serta tidak ada adab (menafikan tarbiyah ilmu dan amalan Akidah al-Quran).” 

Jika timbul sebarang kemusykilan atau kekeliruan, silalah rujuk kepada guru tarekat Tasawuf atau shaikh mursyid yang memimpin amalan suluk. Setiap fakta atau isu mengelirukan dalam ilmu dan amalan Akidah al-Quran mempunyai maksud dan penghuraiannya yang berdasarkan dalil-dalil al Quran, Hadis Nabi s.a.w. dan ijma’ para ulama Tasawuf bagi menjelaskan ketulenan ilmu dan amalan zikir hati yang telah lahir bersama dengan kelahiran Islam. Sesungguhnya su’uzan atau buruk sangka terhadap orang Islam adalah haram. Mentakwilkan perkataan dan perbuatan orang Islam adalah wajib. Sekian, wassalamu‘alaikum. 

No comments: