KEPENTINGAN DAN KEUNGGULAN QIYAMULLAIL


Qiyamullail merupakan amalan rohani Islam  yang utama  untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah (darjat ihsan) atau menghampirkan diri kepada Allah SWT dan keredaan-Nya yang seharusnya dilaksanakan oleh setiap individu Muslim.  Amalan ini dirujuk di dalam al-Quran sebagai ‘perkataan yang berat’ iaitu menggambarkan betapa sukarnya untuk mengerjakan amalan ini. Seruan Allah SWT supaya ummah bangun malam mengerjakan solat tahajjud adalah  untuk menerima anugerah-Nya yang agung iaitu khusyuk hati terhadap-Nya  dan dikabulkan segala doa, agar hubungan ummah dengan kerajaan langit semakin dekat  serta taqarrubnya dengan Tuhan Maha Pencipta terikat sepenuh jiwa dan sempurna.

1.  Perintah Mengerjakan Qiyamullail

Amalan ini juga digambarkan di dalam al-Quran  melalui peringatan-peringatan yang indah dan jelas tentang golongan yang mendapat kemenangan di akhirat nanti iaitu balasan syurga bagi  mereka yang mampu istiqamah dalam berqiyamullail.  Oleh sebab itulah Allah SWT  memerintahkan umat Islam supaya bersungguh-sungguh mengerjakan amalan ini. Ayat-ayat al-Quran yang berikut secara  jelas telah menggambarkan kepentingan dan keunggulan amalan rohani ini:
إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ  كَانُوا قَلِيلاً مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ  آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ  كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ   وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya  orang-orang  yang  bertaqwa berada di taman-taman (syurga) di mata-mata air. Sambil  mengambil  apa  yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan    mereka,  Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah  orang-orang  yang berbuat baik. Mereka tidur sedikit pada waktu malam dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah).” 
                                      (Surah al-Zariat, ayat: 15 - 18)


 وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَى أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَاماً مَّحْمُوداً
Maksudnya:
“Dan di sebahagian malam hari, solat tahajjudlah engkau sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat mu ke tempat terpuji.” 
                                             (Surah al-Isra’, ayat: 79)

  تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً وَطَمَعاً وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ  فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
 Maksudnya:
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedangkan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka, (iaitu bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”                           
                                        (Surah al-Sajadah, ayat: 16 - 17)

 أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاء اللَّيْلِ سَاجِداً وَقَائِماً يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ
Maksudnya:
“(Apakah kamu, hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah di waktu malam yang bersujud dan berdiri (qiyamullail), sedang ia takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat Allah.”            
                                       (Surah al—Zumar, ayat: 9)

وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيلاً   إِنَّ هَؤُلَاء يُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَاءهُمْ يَوْماً ثَقِيلاً
Maksudnya:
“Dan bersujudlah di sebahagian waktu malam dan bertasbihlah pada waktu malam yang  panjang pada malam hari. Sesungguh- nya orang kafir menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan akibat yang menimpa mereka pada hari yang berat.”                            (Surah al-Insan, ayat: 26 - 27)
                       
Allah SWT berfirman: 
وَمِنَ اللَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَإِدْبَارَ النُّجُومِ
Maksudnya:
“Dan juga hendaklah bertasbihlah kepadaNya pada  di malam hari dan di waktu terbenamnya bintang-bintang  (di waktu fajar)”                            (Surah al-Thur, ayat 49)

Firman-Nya lagi: 
 وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَاماً   وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً
Maksudnya:
“Dan hamba-hamba (Allah) Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucap kata-kata selamat. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.”
                                        (Surah al-Furqan, ayat: 63- 64)

Begitulah banyaknya perintah Allah SWT di dalam al-Quran yang digambarkan dengan kalimat-kalimat indah tentang kepentingan dan keunggulan qiyamullail yang berat ini. Ini bertujuan supaya tidak menimbulkan salah faham atau menakutkan kepada  golongan yang ingin memeluk agama Islam terhadap amalan ini ataupun ianya menggambarkan saat kesedaran manusia menghadapi godaan nafsu dan syaitan. Malahan, mereka tertarik kepada sistem syariatnya yang  dapat memberikan keadilan dan kemakmuran di dalam kehidupan untuk semua manusia. Apa saja kebaikan yang ditetapkan dalam ajaran Islam itulah juga yang diinginkan oleh fitrah manusia.

Membangunkan kebaikan dan kebaktian ertinya membuat perkara-perkara yang memang sesuai dan disukai oleh manusia. Membangunkan makrufat ini ertinya melaksanakan runtunan yang sememangnya umat Islam sendiri inginkannya dan manusia lain juga menyukainya kerana fitrah manusia adalah sama. Melalui makrufat yang tersebar luas itu nescaya dapat menambat hati manusia kepada agama Islam itu sendiri kerana manusia dapat melihat dan merasai betapa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang menurunkan berbagai nikmat. Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran (Surah al-Hujurat, ayat: 14), bahawa golongan itu hanyalah  tunduk (patuh) kepada kebenaran Islam dan belumlah mereka beriman. Ternyata,  dakwah keimanan Nabi SAW ke atas para sahabat r.a adalah melalui berzikir dan  mujahadah    untuk memerangi kehendak hawa nafsu  dan godaan syaitan untuk  mencapai kesempurnaan hati. Ini menepati firman Allah SWT. 
 وَمِنَ اللَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَإِدْبَارَ النُّجُومِ
Maksudnya:
“Dan juga hendaklah bertasbihlah kepadaNya  pada   di malam hari  dan   di   waktu  terbenamnya   bintang-bintang   (di waktu fajar)”                          
                                       (Surah al-Thur, ayat: 49)

Dijelaskan oleh Jamaluddin Al-Qasimi bahawa ayat Allah SWT di atas bermaksud agar berterusan berzikrullah dan bangun malam mentaqarrubkan diri kepada Allah SWT melalui solat tahajjud dan membaca al-Quran. Ditegaskan pula oleh Al-Quran. Maksudnya:
“Kemudian apabila engkau telah selesai (dari sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sunggguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”            (Surah al-Syarh, ayat: 7-8)

Ibn Mas’ud r.a mentakwilkan ayat Allah SWT di atas sebagai penegasan bahawa apabila kamu semua telah selesai menunaikan solat fardu, maka bersegeralah mendirikan qiyamullail.        
                                (Al-Marwazi dalam qiyamullail)

2. Hakikat Keimanan Di Zaman Nabi SAW

Sememangnya jalan tarbiyah keimanan untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah  tidak dapat dicapai melalui jalan yang mudah seperti dakwah keimanan ‘mee segera’ (pemahaman teori tauhid) atau seolah-olah  membina konkrit yang kuat serta kukuh selama-lamanya sehingga ke akhir hayat dengan sekadar mengucap dua kalimah syahadat! Ingatlah! Jangan sekali-kali kita berangan-angan untuk menjadikan ucapan dua kalimah syahadah itu sebagai landasan memasuki syurga atau  menjauhi diri dari azab neraka, kerana hakikat keimanan atau kesempurnaan hati yang sebenar bukan hanya sekadar mengucapkan kalimah syahadah dan niat semata-mata. Malah, kesempurnaan aspek rohani ini hanya mampu dicapai melalui berzikir dan mujahadah dengan bersungguh-sungguh untuk membersih hijab hati, supaya hati itu hidup dan terjaga (yaqazah), dan dapat musyahadah terhadap apa-apa yang Allah kehendaki atau kurniakan kepadanya. Tegasnya, setelah seronok menerima Islam diiringi pula dengan faham, mestilah pula diyakini tentang perlunya berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh sebagai amalan rohani Islam yang utama untuk men- capai kesempurnaan hati.

Oleh sebab itulah, maka kita perlu  berzikir dan mujahadah dengan bersungguh-sungguh supaya mampu memikul perintah Allah SWT yang berat iaitu  istiqamah dalam berqiyamullail. Selaras dengan banyaknya hadis-hadis Nabi SAW ke atas perintah melaksanakan qiyamullail ini, maka amatlah jelas kepada kita semua tentang  kepentingan dan keunggulan amalan  ini untuk menghampirkan diri kepada hadrat Allah SWT dan keredaan-Nya. Baginda  SAW  mengerjakan  amalan yang berat  ini dengan bersungguh-sungguh di  dalam semua keadaan seperti sihat, sakit, kesukaran, musafir, menghadapi bahaya dalam peperangan dan sebagainya. Begitu juga di kalangan para sahabat r.a dan salaf-al-soleh sentiasa mengambil berat dalam   mendirikan amalan rohani Islam ini sehingga   menjadi amalan biasa yang menyeluruh di kalangan angkatan umat Islam yang awal.

Manifestasi dari kesungguhan dan rasa cinta itu maka orang yang memiliki kesempurnaan hati/akidah  melakukan apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang dicintai Allah SWT. Rasa cinta orang mukmin kepada Allah SWT tidak mengira atau mempersoalkan sama ada sesuatu amalan itu sunat atau wajib. Baginya bukan soal kedudukan hukum wajib atau sunat. Bukan soal ranting yang dipandang remeh temeh oleh orang lain. Oleh itu kesukaannya adalah kerana semata-mata sesuatu amalan itu dicintai oleh Allah SWT. Malahan, paling tidak setiap individu Muslim mesti berusaha mendapatkan bahagian daripada rasa cinta Allah SWT dan sentiasa berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh kerana tingkat mahabbah itu bergantung kepada tekad dan persiapan rohani (terbuka hijab hati). Begitulah darjat yang tertinggi  (darjat ihsan) yang dicapai oleh para sahabat r.a yang menggambarkan betapa  mendalamnya rasa cinta (mahabbah) mereka kepada Allah SWT kerana melaksanakan amalan rohani ini dan dicintai-Nya.

Maka tidaklah menghairankan kita semua di zaman para sahabat r.a yang mengiringi Nabi SAW masih merupakan zaman turunnya bantuan Allah SWT dalam segala aspek dan dalam berbagai bentuk. Qiyamullail telah menjadi amalan biasa yang menyeluruh di kalangan angkatan umat Islam yang awal. Amalan ini adalah lambang kemuliaan orang mukmin, menghapuskan dosa maksiat dan dapat mengangkatnya kepada darjat yang terpuji. Jarang sekali di kalangan angkatan umat Islam yang awal itu yang tidak tahu kepentingan dan keunggulan amalan rohani ini dan tidak beramal dengannya. Mereka lebih sempurna taqwa mereka, kerana lebih memahami hakikat Islam, sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat atau yang zahir mahupun yang batin.

3. Kerajaan Langit

أَوَلَمْ يَنظُرُواْ فِي مَلَكُوتِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَا خَلَقَ اللّهُ مِن شَيْءٍ وَأَنْ عَسَى أَن يَكُونَ قَدِ اقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Mengapa mereka tidak perhatikan kerajaan langit dan bumi, dan segala sesuatu yang dijadikan Tuhan? Boleh jadi lebih dekat waktu (kebinasaan) yang telah ditentukan buat mereka. Maka berita manakah lagi sesudah al-Quran itu yang akan mereka percaya?”              
                                                                                   (Surah al-A’raf, ayat: 185)

        
 وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ
Maksudnya:
“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi.”            (Surah al - An’am, ayat: 75)

Jelas sekali mengapa ummah kini tidak dibela dan dibantu oleh Allah SWT adalah kerana mereka tidak layak dan tidak cukup syarat. Bukan sahaja amalan sunat yang memang dipandang remeh dan diperleceh begitu sahaja, malah amalan fardu pun terlalu culas, cuai dan sambil lewa. Tidak langsung memperlihatkan sikap dan sifat kehambaan. Amalan sunat pula lebih cenderung berpegang kepada kedudukan ‘buat dapat pahala, tinggalkan tidak berdosa.’ Dalam soal sunat ini tidak ada pula sikap  positif   berbanding  hal-hal berkaitan  duniawi yang  seringkali memilih keuntungan walaupun sekiranya tidak dilakukan tidak rugi.

Apa kaitannya kemenangan dalam peperangan dengan qiyamullail. Namun inilah yang berlaku di dalam sejarah keagungan umat Islam masa silam. Sepatutnya mengikut kelaziman, tentulah kelengkapan perang, taktik dan kegigihan tentera yang perlu dikaji selidik. Tetapi itulah yang menjadi punca bantuan Allah SWT tidak datang lantaran sudah mula mengabaikan amalan rohani Islam  yang penting ini. Apalah yang diharapkan dari umat yang sudah terlalu melihat nilai meterial dan fizikal berbanding ‘soal kerohanian’ atau kesempurnaan hati termasuk para penyokong dan pejuang gerakan Islam. Akhirnya, berjuanglah dengan sekuat tenaga tanpa bantuan dari Allah. Dalam situasi demikian antara dua ‘platform’ ini, bertarung hanya bergantung kepada kekuatan lahiriah sememangnya dari dulu umat Islam tidak berupaya mengatasi musuh. Namun dalam keadaan serba serbi kekurangan itu pula, Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya yang tidak ada kuasa mampu melawan-Nya. Allah SWT memberi kemenangan untuk umat Islam yang mampu menghampirkan diri kepada hadrat-Nya.

Bantuan Allah SWT kepada orang yang sentiasa khusyuk hati terhadap-Nya dalam berbagai bentuk yang tidak diketahui oleh manusia. Dan lazimnya bentuk bantuan yang Allah SWT datangkan itu mengikut keperluan semasa atau mengikut peranan seseorang.  Ertinya bantuan Allah SWT bagi orang yang sentiasa menghayati keagungan dan kesempurnaan-Nya berbeza menurut keperluan dan peranan semasa. Bagi pendakwah yang memiliki darjat  ini, bantuan yang Allah SWT turunkan berbeza dengan pemimpin. Dan berbeza pula dengan seorang ahli perniagaan atau seorang pendidik. Allah SWT permudahkan segala urusan orang yang memiliki  darjat yang tertinggi (kesempurnaan hati) ini. Sedikit berusaha, membawa hasil yang segera dan berjaya. Apatah lagi kalau bersungguh-sungguh dan banyak berusaha. Oleh yang demikian, maka sangat dituntut agar dalam berusaha dan berikhtiar atau melaksanakan segala amal ibadah (mencari rezeki) itu mestilah selaras dengan kesempurnaan hati/akidah   (dua aspek  agama yang tidak boleh dipisahkan sama sekali). Tegasnya, agama  tidak mengenali adanya sebarang bentuk pemisahan antara syariat dan akidah.

Para salaf-al-soleh berada di kedudukan tinggi dan dominan berbanding kaum lain kerana mereka adalah orang-orang Allah yang memiliki darjat yang tertinggi (darjat ihsan). Allah SWT menaungi mereka maka muka bumi pun selamat di tangan mereka. Merekalah golongan yang terbaik dan mendapat keredaan Allah SWT. Ini adalah kerana mereka bencikan kemuliaan dan keuntungan dunia, mereka adalah umat yang berjaya menghayati jalan agama Islam itu. Seluruh kehidupan dunia tidak lebih dari alat untuk sampai kepada matlamat perjuangannya iaitu Allah SWT dan keredaan-Nya.  Al-Quran  ada membayangkan  fakta tersebut dengan firman Allah SWT: 
 وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ
Maksudnya:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Dia akan benar-benar menjadikan mereka berkuasa di muka bumi.        
                                        (Surah al-Nur, ayat: 55)

Sesungguhnya kebenaran (haq) datangnya dari Allah SWT. Ayat al-Quran atau dengan lain perkataan Islam ini adalah Allah SWT yang punya maka Allah SWT menjaganya. Apabila muncul golongan yang benar-benar tepat berada di jalan kebenaran itu maka Allah SWT pasti membelanya. Allah SWT bela kerana di tangan golongan itu terjamin Islam itu benar-benar murni dan tulen. Di tangan golongan ini Islam itu benar-benar menepati kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka memiliki cukup syarat maka tentera Allah SWT pun berperanan. Oleh  sebab  itulah Allah SWT berfirman. 
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحاً وَجُنُوداً لَّمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيراً
Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah ketika tentera (musuh) menyerang kamu, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin badai (ribut) dan tentera yang tidak kamu lihat. Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.”
                                        (Surah al-Ahzab, ayat: 9)

Di samping itu, Allah SWT hantar tentera-Nya untuk mengalahkan musuh. Sedikit sahaja di kalangan pejuang kebenaran mempersiapkan tenteranya yang kadang-kadang tidak sampai perlu berfungsi. Lihat sahaja bagaimana Allah SWT membela dan memenangkan pejuang-pejuang kebenaran. Allah SWT hantar tentera-Nya yang hanya dengan itu agar manusia melihat dan gerun dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Agar manusia juga melihat betapa kebenaran itu sentiasa dibela dan dimenangkan oleh-Nya. Agar manusia faham bahawa kebatilan pasti musnah. Memusuhi kebenaran ertinya memusuhi Allah, maka Allah SWT tewaskan musuh-musuhnya. Hakikatnya  Allah SWT mahu para pejuang Islam yakin akan pembelaan-Nya. Al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah SWT. 
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ
Maksudnya:
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa. Kami limpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.”                  
                                                                         (Surah al-A’raf, ayat: 96)

Allah SWT menceritakan sejarah para nabi dan rasul di dalam al-Quran sebagai pengajaran buat kita. Diceritakan bagaimana berlakunya kehinaan dan kebinasaan umat dahulu, lantaran derhaka dan kesombongan mereka menentang dakwah para nabi dan rasul. Mereka mati  dalam keadaan hina, di Akhirat sekali lagi akan terhina dengan azab siksa yang pedih. Allah SWT hantar tentera-tenteraNya dalam berbagai bentuk.

1)     Kaum Nabi Nuh a.s binasa dilanda ribut taufan dan banjir besar. Semua manusia yang derhaka, termasuk anak dan isterinya, serta binatang  yang tidak dapat diselamatkan habis mati. Nabi Nuh a.s telah memberi peringatan kepada mereka supaya mentaati Allah SWT dan kembali kepada kebenaran. Namun mereka tetap dengan pegangan yang sesat itu (menyembah berhala), malah mengajak orang lain turut sama. Oleh kerana kedegilan mereka, Nabi Nuh terpaksa berdoa kepada Allah SWT untuk membinasakan umatnya yang ingkar itu. Al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah SWT. 
وَقَالَ نُوحٌ رَّبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّاراً
إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ وَلَا يَلِدُوا إِلَّا فَاجِراً كَفَّاراً
Maksudnya:
“Nuh berkata: ‘Ya Tuhanku, janganlah engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas muka bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi kafir.”
                                    (Surah Nuh, ayat:  26-27)

2)     Kaum ‘Ad pula dibinasakan oleh angin yang sangat kencang dan keras akibat perbuatan mereka menentang dan membangkang dakwah Nabi Allah Hud a.s untuk mengesakan Allah SWT. Manakala kaum Tsamud yang tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Saleh a.s binasa dengan kejadian yang luar biasa iaitu gempa bumi yang dahsyat. Memang benarlah firman Allah SWT. Maksudnya:
“Kerana itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam rumahnya.”                  (Surah al-‘Araf, ayat: 78)

3)     Kaum Lut di samping menentang kebenaran, mereka juga adalah pengamal homoseks. Peringatan dan ancaman tidak dihiraukan, mereka tetap sesat dengan perbuatan keji itu sehingga tiba balasan Allah SWT dengan diterbalikkan bumi dan dihujani tanah yang keras.

4)     Kaum Aikah (kaum Nabi Shuib) juga dimatikan dengan suara yang mengguntur hingga mati di rumah. Mereka adalah kaum yang suka menipu dalam timbangan dan sukatan, suka merugikan orang demi mendapat kekayaan dan menolak kebenaran.

5)     Firaun begitu angkuh dan sombong hingga mengakui dirinya Tuhan, menganiaya, menindas dan menghalang rakyatnya menerima kebenaran dari Allah SWT. Akhirnya dia dan para pengikutnya ditenggelamkan Allah SWT di dalam laut ketika mengejar Nabi Musa a.s.

6)     Penduduk Negeri Saba’ yang enggan bersyukur dengan nikmat kemewahan dan kemakmuran serta berpaling dari kebenaran yang didatangkan Allah dengan satu banjir besar. Bukan sahaja mereka yang ingkar mati, tetapi segala kebun dan bangunan yang indah turut binasa.

Itulah sebahagian daripada kebinasaan yang menimpa umat terdahulu. Kini kemungkaran bermaharajalela di dalam masyarakat kita. Insaf  dan bertaubatlah sebelum tiba ketentuan dari Allah SWT. Nabi SAW pernah menyebut di dalam hadisnya. Maksudnya:
“..Bila satu kaum melakukan penzinaan secara terang-terangan mereka akan diserang oleh penyakit yang belum pernah dialami oleh nenek moyang mereka. Bila mereka mengurangi timbangan (menipu dalam perniagaan) mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak atasan. Bila mereka enggan membayar zakat, mereka akan terhalang oleh hujan dari langit, dan kalau tidak kerana adanya haiwan dan binatang ternak, tidaklah diturunkan hujan. Bila mereka melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan dijajah oleh musuh dari bangsa lain yang akan merampas sebahagian dari harta mereka..”
                                          (HR Ibnu Majah dan Baihaqi)

4. Pelaksanaan Amalan Qiyamullail Di Zaman Nabi SAW

Qiyamullail merupakan amalan rohani Islam  yang utama untuk mencapai darjat yang tertinggi (kesempurnaan hati). Agar terhindar dari godaan hawa nafsu dan syaitan, maka kita mesti berzikir dan mujahadah dengan bersungguh-sungguh sebagai faktor utama yang menjadi pendorong menghidupkan waktu malam dengan qiyamullail. Inilah persiapan diri yang diperlukan oleh setiap individu Muslim untuk istiqamah dalam berqiyamullail iaitu dapat melepaskan diri dari kehendak hawa nafsu dan godaan syaitan. Allah SWT telah menggambarkan amalan  ini sebagai ‘perkataan yang berat’ seperti yang disebutkan dalam firman-Nya;
إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.”                     (Surah al-Muzammil, ayat: 5) 

Al-Qurtubi menjelaskan maksud ayat al-Quran di atas menjurus kepada betapa berat dan sukarnya  melaksanakan qiyamullail.  Bagi melaksanakan amalan ini  kita terpaksa menempuh kesukaran yang luar biasa pada diri (waktu tidur atau mengantuk) dan godaan syaitan (ikatan ketika tidur).

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Ketika salah seorang di antara kamu tidur, syaitan mengikat tiga ikatan di bahagian lehernya dan menampal di setiap ikatan dengan ungkapan ‘malam itu panjang bagimu, maka teruskan- lah tidurmu.’ Jika ia terjaga dan berzikrullah kepada Allah, terlepaslah satu ikatannya. Jika ia berwuduk, terlepaslah ikatan kedua. Jika ia solat, terlepaslah seluruh ikatannya, maka dia akan menjadi bersemangat dengan jiwa yang baik. Tetapi jika ia sebaliknya, dia akan bangun pagi dengan malas dan jiwa yang resah.”

Oleh sebab itulah, maka syaitan sentiasa berusaha untuk menghalang  manusia untuk bangun dari tidur bagi mengerjakan amalan ini. Syaitan itu tahu keunggulan qiyamullail  yang mana Allah SWT mengurniakan kepada para hamba-Nya  dengan khusyuk hati   dan dikabulkan doa. Malahan  syaitan akan sentiasa berjuang  dengan habis-habisan pada setiap malam bagi menghalang manusia dari mengerjakan amalan rohani Islam ini, sehingga  ianya terasa menjadi beban yang amat berat.

Nabi SAW bersabda lagi yang bermaksud:
“Orang yang berjihad adalah orang yang melawan hawa nafsunya untuk mendapatkan keredaan Allah.”
                                             (HR Tirmizi dan Ibn Hibban)

Di dalam salah satu hadis, disebutkan bahawa seseorang dilaporkan kepada Nabi SAW dan dikhabarkan lebih lanjut, orang tersebut tidur sampai pagi hari hingga tidak sempat berqiyamullail, lalu Nabi SAW bersabda. Maksudnya:
“Syaitan kencing di telinga orang tersebut.”

Qatadah  r.a berkata:
“Disebutkan bahawa orang munafik tidak pernah bangun malam (solat tahajjud).”

Nabi SAW bersabda. Maksudnya:
“Solat yang paling utama setelah solat fardu adalah solat malam. Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah, muharram.”

Dari Ummu Salamah r.a, diriwayatkan bahawa  Nabi SAW di suatu malam tiba-tiba terjaga dari tidurnya, lalu baginda bersabda:
“Maha Suci Allah, entah bencana apa yang diturunkan malam ini dan entah perbendaharaan apa yang akan dikurniakan. Siapa yang membangunkan penghuni bilik (isteri). Wahai, betapa ramai orang yang berpakaian di dunia namun ia bertelanjang di Akhirat.”

Sesungguhnya orang yang bangun solat tahajjud  lebih mantap dari aspek  ketenangan dan khusyuknya hati,  serta tidak terganggu oleh kesibukan  urusan seharian yang tidak putus-putus. Akal fikiran mereka dapat berehat dari bebanan harian yang berterusan. Ternyata, amalan ini juga sangat berkesan dalam membaca al-Quran iaitu hati sentiasa menghayati Allah SWT  atau  khusyuk hati terhadap-Nya  berbanding membaca- nya di siang hari.  Perjuangan memerangi nafsu dan syaitan untuk menyahut panggilan Ilahi bagi mengerjakan amalan ini menggambarkan kejayaan umat Islam membersihkan hijab hati. Malah, melawan tarikan nafsu ke tempat tidur (tidur yang berlebihan) yang terus diperkuatkan oleh tuntutan fizikal yang keletihan dengan bebanan kerja di siang hari adalah  merupakan  jalan bermujahadah untuk   memerangi nafsu yang sentiasa melalaikan manusia daripada tunduk perintah-Nya. Demikian juga, suasana keheningan malam pula yang tidak ditemui pada waktu siang menghasilkan ketenangan pada hati. Allah SWT yang mencipta hati itu dan Dia mengetahui apa kelebihan dan kelemahan  yang ada pada hati itu.  Atau apakah faktor atau amalan-amalan rohani Islam yang akan memberi pengaruh yang kuat pada hati ummah-Nya dan dapat membersihkan hijab hati sehingga hati itu hidup dan terjaga,  dan dapat musyahadah terhadap-Nya yang tidak putus-putus.  

Dapat kita tegaskan lagi bahawa bangun di waktu malam untuk mengerjakan qiyamullail merupakan amalan  yang amat berat setelah kita kepenatan  mengerjakan segala amal soleh di siang hari seperti mencari rezeki, menguruskan soal kehidupan keluarga  dan sebagainya. Manakan tidak, seharian kita bekerja dan berfikir, sudah tentu banyak  tenaga yang digunakan. Di samping itu, tidurlah merupakan keperluan utama kita  untuk berehat. Pun begitu  para pakar kesihatan moden berpendapat bahawa tidur nyenyak dan sempurna kita hanya memerlukan tidur sekitar 2 jam semalam. Tidur sekitar 2-3 jam inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat r.a iaitu kadar rehat minima yang diperlukan untuk organ-organ badan berfungsi dengan normal.

Ternyata, amalan  ini memerlukan pengorbanan dan kesungguhan untuk melawan godaan nafsu  yang sentiasa melalaikan kita dari patuh kepada perintah Allah SWT. Oleh itu, berzikir dan mujahadah  menjadi pendorong untuk kejayaan melaksanakan amalan yang berat ini (melawan godaan nafsu dan syaitan). Kerana itulah qiyamullail ini amat memberi kesan yang menakjubkan bagi setiap individu Muslim. Mereka yang telah mengamalkan dan bermalam dengannya, tidak akan meninggal- kannya. Allah SWT akan mengurniakan khusyuk hati terhadap-Nya  dan mengabulkan semua permohonan para hamba-Nya. Allah SWT turun ke langit dunia untuk mendengar permohonan dan keluh kesah mereka. Mereka menghampirkan diri  kepada Allah untuk menerima keberkatan dan keampunan Rabb yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Berkata Sayyidina Ali bin Abu Talib r.a:
“Sesungguhnya semua manusia bersungut atas iblis, namun  iblis juga bersungut ke atas orang yang berzikrullah.”

Lalu beliau pun membaca firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَواْ إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya  orang  yang  bertaqwa  apabila  disentuh   rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka menjadi orang-orang yang mempunyai pemandangan (rahmat Allah ).”                          (Surah al-A’raf, ayat: 201)

Nabi SAW sentiasa memerintahkan para sahabat r.a supaya berqiyamullail kerana amat besar fadhilatnya dan para pelaku- nya sentiasa mendapat kemuliaan yang besar sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud:
“Hendaklah kamu melakukan qiyamullail kerana qiyamullail  adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, sebab qiyamullail  mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari dosa, meghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.”

Abdullah bin Salam r.a menjelaskan bahawa antara amal ibadah yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam di dalam ucapan pertama Nabi SAW setelah sampai di kota Madinah adalah  mengerjakan qiyamullail. Perintah ini menggambarkan kepentingan dan keunggulan amalan ini untuk ummah mendapat kemenangan dalam medan kehidupan. Beliau berkata:
“Setelah Rasulullah SAW sampai ke kota Madinah, orang ramai segera pergi mendapatkan baginda. Ketika aku berada bersama baginda, aku dapati bahawa Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat jujur. Yang pertama sekali aku mendengar dari ucapan baginda adalah sabdanya: “Wahai manusia, sebarkan perdamaian, berikanlah makanan, sambungkanlah persaudaraan (silaturahim) dan bangun dan solatlah pada waktu malam (qiyamullail) ketika orang lain sedang tidur, kemudian kamu akan masuk syurga penuh kedamaian.”
                                         (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada malam ada suatu ketika dan jika orang meminta kebaikan di dunia dan di akhirat ketika tersebut, maka permintaannya pasti diberikan kepadanya dan ianya terjadi di setiap malam.”

Baginda (SAW) bersabda lagi yang bermaksud:
“Pada setiap malam, Allah SWT turun ke langit dunia, ketika malam tinggal sepertiga terakhir, lalu berfirman: “Siapa yang berdoa kepada-Ku lalu Aku kabulkan doanya. Siapa yang meminta keampunan kepada-Ku, lalu Aku ampuni dia.”

Kata Arif billah:
“Detik-detik malam itu terlalu mahal nilainya. Kerana itu, jangan memurahkannya dengan kelalaian.”

Pada awal kemunculan dakwah dan risalah Islam, qiyamullail   wajib ke atas Nabi SAW dan para sahabat r.a. Perintah wajib tersebut berjalan setahun  lalu diringankan menjadi ‘sunat muakad’, iaitu sunat yang amat digalakkan  tetapi selalu di ulang-ulang perintah itu di dalam al-Quran. Itulah pendapat jumhur ulama dan empat imam. Bagaimanapun, apabila Nabi SAW tidak dapat berqiyamullail kerana sakit atau tertidur, baginda  akan menqadha’ solat malam  dengan mendiri- kan solat dua belas rakaat pada waktu siang.

Disebutkan di dalam hadis, maksudnya:
“Jika Nabi SAW, melakukan salah satu solat, beliau   mengerjakan terus menerus. Jika baginda tertidur atau sakit sehingga tidak dapat berqiyamullai, baginda  solat dua belas rakaat pada waktu siang.”

Dari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW di atas, maka dapatlah  kita membuat kesimpulan bahawa  keunggulan mengerjakan qiyamullail adalah untuk mendapat khusyuk hati terhadap Allah SWT (terbuka hijab hati) dan keredaan-Nya. Kerana itulah amalan  ini sentiasa dilaksanakan oleh Nabi SAW, para sahabat r.a, tabi’in dan salaf-al-soleh dengan bersungguh-sungguh sebagai amalan  biasa yang menyeluruh di kalangan angkatan umat Islam yang awal itu. Sebab itulah mereka sentiasa menghiasi diri mereka dengan banyak beramal ibadah untuk sampai ke hadrat Allah SWT, sentiasa  berzikir dan mujahadah terus menerus, sangat sedikit tidurnya di waktu malam (qiyamullail),  sanggup menahan derita di dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhannya  dan  keredaan-Nya.

Jelas sekali bahawa amal ibadah yang tepat dan mendapat keredaan Allah SWT bukan sekadar menjaga sah  batal dan syarat rukun syariat semata-mata. Sebaliknya, ianya mesti  dilaksanakan  selaras dengan khusyuk hati terhadap Allah SWT yang dicapai dengan mengerjakan amalan rohani ini. Apabila sempurnanya ibadah (syariat dan akidah) itu, maka akhir perjalanannya penuh sinar, kerana sampai kepada Allah SWT yang dicintainya.

Sheikh Sayyid Qutub rhm menjelaskan tentang keunggulan amalan rohani Islam ini dengan berkata:
“Mereka adalah golongan yang memiliki keyakinan (tidak ada keraguan), yang bertaqwa (tidak bercakap kosong) dan selalu terjaga untuk menyembah dan memohon keampunan dan tidak menghabiskan umurnya dalam kesia-siaan dan kealpaan. Golongan ini adalah mereka yang yakin dan terjaga,  amat tajam sensitivitinya dengan pengawasan Allah SWT terhadap mereka, dan pengawasan mereka terhadap diri sendiri. Kebaikan mereka digambarkan dalam gambaran khusyuk, yang halus dan sensitif. Mereka sedikit tidur di waktu malam di waktu orang lain nyenyak tidur. Mereka mengharap kepada Tuhannya dengan berdiri dan bersujud memohon keampunan dan rahmat dan menikmati sesuatu yang amat jauh dengan lebih selesa dan nikmat. Di ketika orang lain melekatkan tubuh pada tilam tetapi mereka berdiri dan sujud menadah tangan kepada Tuhan Yang Maha Penyayang yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan. Mereka tidak dikuasai rasa mengantuk kecuali sedikit dan mereka tidak tidur malam kecuali sekejap. Mereka tunduk kepada Tuhan mereka pada waktu malam, di mana lambung mereka berada jauh dari tempat tidurnya. Mereka sentiasa bersiap sedia sehingga tidak merasa keberatan untuk tidak tidur. Itulah keadaan yang selalu diamati oleh tokoh-tokoh dari kalangan tabi’in dengan memiliki kedudukan teguh dalam keimanan dan keyakinan yang terhasil dari  amalan qiyamullail itu.”

Allah SWT telah menjelaskan hakikat kepentingan dan keunggulan qiyamullail dengan firman-Nya:
 يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ  قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلاً   نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً  أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً  إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً   إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْءاً وَأَقْوَمُ قِيلاً  إِنَّ لَكَ فِي اَلنَّهَارِ سَبْحاً طَوِيلاً   وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلاً
Maksudnya:
Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah (untuk solat)    pada    waktu malam, kecuali    sedikit  (darinya), (iaitu)
seperduanya  atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu (berzikrullah) dan beribadahlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan (bersungguh-sungguh).”               
                                       (Surah al-Muzammil, ayat: 1 - 8)

Ayat al-Quran di atas sudah cukup untuk menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan ummah-Nya supaya mengerjakan qiyamullail dengan bersungguh-sungguh.  Jelas sekali  bahawa Allah SWT   mengurniakan ganjaran  yang amat besar  iaitu khusyuk hati terhadap-Nya kepada golongan yang mampu mengerjakan amalan rohani Islam  ini.  Di siang hari  kita tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada aspek rohani/hati kerana mempunyai banyak urusan di dalam menguruskan hal kehidupan. Kita memerlukan penumpuan akal fikiran dan tenaga sepenuhnya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi untuk melaksanakan segala amal soleh yang difardukan. Dengan berqiyamullail, hati dapat sunyi dari kesibukan hidup yang tidak akan habis-habis itu dan supaya fikiran juga dapat berehat dari berbagai-bagai beban yang tidak akan putus-putus itu. Kemudian berzikrullah dengan hati yang hadir dan khusyuk. Ini bertepatanlah dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).”     (Surah Al-Muzammil, ayat: 7)

Dengan kata-kata lain, Allah SWT menjadikan waktu malam yang panjang adalah  khusus untuk manusia berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh sebagai jalan mujahadah memerangi nafsu yang bertujuan menghampirkan diri kepada  Tuhan Maha Pencipta dan keredaan-Nya.   Ternyata, amalan ini memerlukan persediaan  rohani (zikir dan mujahadah)  selain fizikal dan mental untuk membina mahligai qiyamullail yang sempurna. Seorang  arif billah pernah mengatakan: “Telah lima puluh tahun aku berqiyamullail, namun baru setahun ini aku dapat merasakan dan menikmati mahligai (qiyamullail) yang mulia itu.”

Allah SWT juga berfirman:
 وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيلاً   إِنَّ هَؤُلَاء يُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَاءهُمْ يَوْماً ثَقِيلاً
Maksudnya:
“Dan bersujudlah di sebahagian waktu malam dan bertasbihlah (berzikrullah) pada waktu malam yang panjang pada malam hari. Sesungguhnya orang kafir menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan akibat yang menimpa mereka pada hari yang berat (akhirat).”  (Surah al-Insan, ayat: 26 - 27)

Ayat al-Quran di atas menjelaskan kepada kita semua bahawa Allah SWT memerintahkan ummah-Nya menggunakan waktu malamnya yang panjang untuk solat tahajjud dan berzikrullah. Di samping itu,  Tuhan Maha Pencipta memperingatkan kepada mereka yang lalai akan perintah ini iaitu tidak bangun mengerjakan solat tahajjud adalah seperti orang kafir yang menyukai kehidupan dunia iaitu sentiasa tunduk kepada kehendak hawa nafsu lalu mereka ingkar kepada perintah Allah SWT dan tidak memperdulikan anugerah yang agung dari-Nya (khusyuk hati) dan keampunan-Nya. Golongan ini juga tidak takut terhadap siksaan yang amat pedih di Padang Mahsyar nanti. Tegasnya,  qiyamullail ini merupakan amalan rohani Islam  yang utama untuk memerangi nafsu dan membaiki penyakit-penyakit hati yang tidak boleh ditukarganti dengan jalan tarbiyah keimanan  reka cipta (pemahaman teori tauhid). Oleh sebab itulah, maka seluruh  angkatan umat Islam di zaman yang awal  itu   tahu dan menghayati keutamaan mengerjakan amalan rohani ini untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dan keredaan-Nya.

Panas teriknya matahari hari Mahsyar amat luar biasa. Tidak seorang pun yang mampu menahan panasnya yang dahsyat. Keringat mengalir dari sekujur tubuh manusia, bagaikan air bah yang melanda kawasan mukim dan menghayutkan. Ada satu anugerah besar bagi hamba-hamba-Nya yang hadir di Mahsyar waktu itu iaitu hadiah qiyamullail  yang pernah diamalkan ketika hidup di dunia. Manusia yang sentiasa bangun malam mendirikan qiyamullail akan mendapat keringanan dari Allah SWT selama mereka berdiri dalam panasnya hari Mahsyar. Keringanan ini sesuai dengan lamanya berdiri ketika melaksanakan solat tahajjud.

Ibnu Abbas r.a yang ditarbiyahkan amalan ini oleh Nabi SAW sejak usia 10 tahun mengatakan:
“Sesiapa yang ingin mendapatkan keringanan akan lamanya berdiri di Padang  Mahsyar, maka hendaklah dia memperlihat- kan dirinya kepada Allah dengan lamanya berdiri, rukuk dan sujud dalam qiyamullail pada waktu malam.” 
                (Ibnu Jarir dalam Tafsir Ibnu Jarir XXIII: 200)

Abu Amru Al-Auza’i mengatakan:
“Sesiapa yang lama dalam melaksanakan qiyamullail. Allah SWT akan memberi kemudahan baginya, ketika dia berdiri di hari Mahsyar.” 
               (Ibnu Kathir dalam Bidayuh Wan Nihayah X: 117)

Oleh sebab itu, maka Nabi SAW di dalam mentarbiyah amalan ini ke atas para sahabat r.a dan kaum kerabat baginda adalah dengan menasihatkan dan mengingatkan mereka tentang kepentingan dan keunggulan qiyamullail. Nabi SAW sentiasa rajin membangunkan mereka supaya mengerjakan amalan rohani Islam ini, bahkan baginda suka berjalan-jalan mencari mereka ke rumah masing-masing atau ke masjid untuk mendengar bacaan mereka pada waktu solat tahajjud dan ketika membaca kitab suci al-Quran. Malahan  Nabi SAW dan angkatan umat Islam yang awal itu bersama-sama menikmati ibadah ini sebagai anugerah Allah SWT (khusyuk hati  dan mendapat keampunan-Nya) dan bukannya sebagai amal ibadah yang membebankan.

Qubaishah r.a menyampaikan bahawa Nabi SAW apabila telah bangun pada tengah malam lalu baginda berdiri, lantas mengatakan:
“Wahai manusia bangun dan berzikrullah. Bunyi gema trompet pertama telah terdengar. Sesiapa yang bimbang (kepada amal ibadahnya) hendaklah dia berjalan pada malam yang kelam. Ini kerana orang yang berjalan pada malam yang kelam pasti akan tiba di tempat perhentiannya (yang selamat). Ingatlah bahawa berniaga dengan Allah amat mahal harganya. Ini kerana harga perniagaan ini adalah syurga. Bunyi trompet pertama telah sampai dan akan diikuti oleh tiupan kedua. Ketahuilah bahawasanya kematian itu datang dengan apa yang ada bersamanya.”
             (HR Tirmizi yang menempatkannya dalam peringkat hasan sahih. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya. Imam Hakim dam Mustadraknya dikatakannya sebagai sahih sanadnya )

Sayyidina Ali bin Abi Talib menggambarkan orang yang suka bangun malam (solat tahajjud) seperti menjajarkan kaki yang kukuh. Ini kerana mereka mengharapkan keampunan dan kasih sayang Allah SWT. Ketika waktu siang mereka bagaikan orang arif dan alim, bagaikan bunga-bunga mereka mengharum baunya kepada masyarakat. Kadang-kadang mereka menghabiskan malam dengan taqarrub, kelihatan fizikal mereka amat lemah. Orang yang tidak faham akan menganggap mereka sebagai orang sakit jiwa. Namun begitu malam mereka terus hidup (qiyamullail) membersihkan jiwa dengan berzikir dan membaca al-Quran. Semangat ibadah mereka terus berkobar.
                   (Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah)

Diriwayatkan  bagaimana kesungguhan Nabi SAW  berqiyamullail  dengan menyinsingkan lengan baju baginda,  mendirikan solat malam sebanyak tiga belas rakaat mencakup solat witir dan dua solat sunat sebelum subuh. Digambarkan juga kegigihan Nabi SAW mengerjakan amalan ini sehingga bengkak kedua kaki baginda (SAW). Ini memberikan isyarat yang jelas kepada kita semua  bahawa amalan rohani ini mesti dilaksanakan dengan  bersungguh-sungguh untuk melawan godaan nafsu yang sentiasa menghalang manusia dari mengerjakan solat tahajjud.

Para sahabat juga sering berjemaah qiyamullail bersama Nabi SAW. Ibn Mas’ud r.a mengatakan bahawa beliau pernah bersama  berqiyamullail di belakang Nabi SAW. Baginda sangat lama berdiri sehingga aku ingin berniat kurang baik. Ketika ditanya padanya, mengapa ia berlaku seperti itu, dia menjawab: Aku ingin duduk dan pergi meninggalkan Nabi SAW (kerana lamanya baginda berdiri).          
                                         (Mustafaqqun‘alaih)

Auf  bin Malik al-Asyja’i berkata: Dia pernah solat tahajjud bersama Rasulullah SAW. Ketika berdiri baginda membaca surah al-Baqarah. Ketika bacaannya sampai kepada ayat rahmat, baginda berhenti dan memohon rahmat Allah. Ketika berada pada ayat azab, baginda berhenti sejenak sambil memohon perlindungan dari azab Allah SWT. Baginda lalu rukuk dengan lama, seperti lamanya berdiri. Dalam rukuknya baginda membaca kalimat:
            “Maha   Suci  Zat  yang  memiliki  kekuasaan,  kerajaan,
             kesombongan dan keagungan.”
 
Kemudian baginda sujud yang mana lamanya sama dengan berdirinya, juga membaca kalimat tersebut. Sesudah itu berdiri dengan membaca surah Ali Imran dan surah seterusnya (al-Nisa’ dan al-Maidah).
                                       (HR Abu Dawud dan Nasa’i)

Anas bin Malik r.a mengatakan bahawa  pada suatu malam Nabi SAW dalam keadaan sakit. Ketika seorang sahabat  r.a memandang baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kesan sakitmu nampak jelas pada keadaan tubuhmu.” Kemudian Nabi SAW bersabda: “ Sesungguhnya keadaanku seperti yang kamu lihat saat ini Alhamdulillah, dalam solat tahajjud semalam aku telah sempat membaca tujuh surah yang panjang.”   
            (HR Abu Ya’la. Imam Al—Hakim mensahihkannya)

Aisyah r.a berkata: “Hendaklah kamu semua tetap melaksanakan qiyamullail. Ini kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit, baginda lakukan dengan duduk. Aku tahu bahawa di kalangan kamu semua ada yang akan mengatakan cukup bagiku menunaikan solat wajib sahaja, dan aku pun berfikir seperti itu.”
                                             (HR Imam Ahmad) 

Ternyata, kesungguhan Nabi SAW berqiyamullail sebagai contoh peribadi yang sekadar percikan dari amalan  biasa di dalam kehidupan baginda. Nabi SAW sendiri berada di tahap tertinggi di kalangan manusia sebab itu peringkat Nabi SAW itu adalah ‘rahmatun lil alamin’. Seluruh alam yang merangkumi alam nyata dan alam rohani mendapat limpahan rahmat kerana kehadiran Nabi SAW. Maka ada golongan lain yang mengiringi baginda mengikut urutan taqwa, limpahan barokah dan karomah yang dikurniakan oleh Allah SWT sehingga dinobatkan sebagai ‘wabihim yunsaruun’. Ertinya dengan sebab mereka maka orang lain dibantu.

5. Pelaksanaan  Qiyamullail    Di   Kalangan Para Sahabat

Setiap individu Muslim perlu menjalani tarbiyah keimanan melalui zikir dan mujahadah. Tarbiyah ini  merupakan kesungguhan dan kegigihan usaha menentang kehendak-kehendak hawa nafsu, godaan syaitan, memperbaiki sifat-sifat tercela dan akhlak yang rendah dan hina, supaya hijab hati terbuka dan seluruh kesedaran rohaninya tertumpu kepada Allah semata-mata. Dengan itu, hati mereka akan sentiasa menghayati keagungan dan kesempurnaan Allah SWT (kesempurnaan hati) untuk istiqamah dalam berqiyamullail di sepanjang hayat.

Tanggungjawab yang besar dan terpuji bagi ibu bapa adalah mendidik dan membimbing anak-anaknya supaya mengerjakan  amalan ini. Pendidikan agama yang sebenarnya bukan semata-mata memberi  pengetahuan ilmu fiqah (fadilat-fadilat dan hukum-hakam segala amal soleh) dan teori tauhid (ilmu sifat 20 dan teori tauhid Ibn Taimiyah) yang mendalam atau mempelajari bacaan al-Quran dan tajwidnya semata-mata, tetapi mesti juga menumpukan sepenuh perhatian kepada syiar qiyamullail di kalangan ummah. Malahan  inilah tugas utama para ulama dan pendakwah dewasa kini yang mesti merubah jalan tarbiyah keimanan reka cipta (pemahaman teori tauhid) kepada pelaksanaan amalan rohani ini. Mereka perlu menumpukan segala usaha dakwah ke arah menyedarkan ummah supaya bersungguh-sungguh mengerjakan  qiyamullail yang hampir pupus ini.

Dengan asas kepentingan dan keunggulan amalan rohani Islam ini, maka Nabi SAW sentiasa menyarankan dan mengerahkan anak-anak dan kaum kerabatnya agar bangun mengerjakan amalan rohani ini tanpa mengira usia. Ini dijelaskan oleh Abdullah bin Abbas r.a  dengan katanya;
“Aku telah bertahajjud bersama Nabi SAW sejak berusia 10 tahun dan bersolat di sebelah kanan baginda (SAW). Jika aku mengantuk baginda (SAW) akan mencubit telingaku (yang kanan).” 

Nabi SAW pernah membangunkan menantunya, Sayyidina Ali bin Abi Talib bersama isterinya Fatimah Az-Zahrah supaya berqiyamullail. Baginda ke rumah Sayyidina Ali untuk memastikan mereka mengerjakan  amalan rohani itu dengan bertanya: ‘Mengapa kamu semua tidak bangun melaksanakan amalan qiyamullail?” Lalu Sayyidina Ali menjawab: “Wahai Rasulullah, kamu berada dalam genggaman Allah. Bila Allah SWT mahu agar kami bangun pasti kami akan dibangunkan-Nya.” Nabi SAW menjawab sambil menepuk paha baginda sendiri (kerana  mereka membantah dengan alasan yang tidak betul iaitu berharap pada takdir untuk menutup kemalasan) dengan membaca firman Allah SWT:
 وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلاً
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami huraikan di dalam al-Quran ini utuk manusia dari segala contoh, tetapi manusia itu makhluk yang banyak membantah.” 
                                      (Surah al-Kahfi, ayat: 54)

Bergegas ke tempat tidur dan segeralah tidur setelah mengerjakan solat Isyak adalah sunnah Nabi SAW. Kebiasaan seperti ini adalah merupakan perilaku terpuji para sahabat r.a dan angkatan umat Islam di zaman yang awal. Mereka menganggap segera tidur setelah Isyak akan menyihatkan tubuh dan menyegarkannya untuk bangun berqiyamullail.

Nabi SAW melarang para sahabat r.a membuang masa berbincang-bincang setelah mengerjakan solat Isyak. Baginda sentiasa mengingatkan para sahabat r.a tentang pekara ini dengan sabda baginda yang bermaksud:
“Rasulullah SAW melarang kami duduk berbual setelah isyak.”
                                  (HR Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Nabi SAW suka mengakhiri solat Isyak. Baginda  tidak suka tidur sebelum Isyak dan tidak suka bercakap setelah Isyak.” (HR Imam Bukhari dalam Sahihnya)

Sayyidina Umar bin Khattab r.a amat marah pada orang yang sering berbual setelah Isyak, sambil berkata:
“Adakah kamu suka berbual pada awal malam dan tidur pada akhir malam.”

Diriwayatkan pula bahawa beliau pernah menegur sekumpulan para sahabat r.a yang ditemuinya sedang berbual-bual agar segera pulang. Kata beliau:
“Ayuh! Segeralah berdiri dari tempat dudukmu, semoga Allah SWT menganugerahkan untuk kamu semua kekuatan, agar dapat menunaikan solat malam.”

Seorang lelaki mengetuk pintu Huzaifah al-Yamani r.a pada suatu malam setelah solat Isyak. Beliau keluar menemui orang itu sambil berkata:  “Ada apa malam-malam begini?” Lelaki itu menjawab: “Aku ingin berbincang-bincang denganmu.” Huzaifah r.a segera sahaja menutup pintu lalu berkata: “Umar bin Khattab telah melarang kami berbual setelah Isyak.”

Ada beberapa orang suku Quraisy yang suka berbincang-bincang setelah Isyak. Pada suatu hari Aishah r.a mengutus beberapa orang menyampaikan kepada mereka (hadis-hadis Nabi SAW) yang dimaksudkan: “Pulanglah kamu semua masing-masing ke rumah, agar keluarga kamu mendapat bahagian (dari kehadiran) kamu semua.”

Muawiyah bin Qarrah mengatakan bahawa ayahnya r.a sentiasa mengatakan kepada anak-anaknya setiap selesai solat Isyak: “Wahai anak-anakku, tidurlah semoga Allah yang Maha Pemurah memberikan untuk kamu semua rezeki kebaikan pada sebahagian malam (solat malam).”       
      
Demikianlah kesungguhan  pelaksanaan amalan ini di kalangan para sahabat r.a. Mereka  berqiyamullail  dengan bersungguh-sungguh sebagai amalan  biasa dan terpenting dalam kehidupan  selaras dengan perintah dan kecintaan Allah SWT. Mereka telah menjadikan solat malam itu sebagai senjata ampuh dalam perjuangan jihad dan dakwah syiar Islam. Bagaimana kegigihan  Sayyidina Umar bin Khatab r.a mengerjakan amalan ini telah digambarkan oleh Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib r.a dengan katanya ,
“Kami bertetangga dengan Umar bin Khattab dan kami tidak mendapati orang  yang lebih utama dari Umar bin Khattab di dalam berqiyamullail. Di waktu malam hari beliau  diisi dengan solat dan siangnya berpuasa sambil  melayani keperluan orang ramai.”

Seorang sahabat r.a juga menjelaskan kesungguhan Sayyidina Umar berqiyamullail  dengan katanya:
“Dengan beberapa anggukan kepala sudah cukup baginya tanpa perlu berbaring lagi di atas tilam.”

Abu Hurairah r.a suka melakukan qiyamullail pada sepertiga malam (awal malam), isterinya pada sepertiga berikutnya (tengah malam) dan seorang anaknya bangun pada sepertiga berikutnya (akhir malam). Ketiga-tiganya bergantian bangun menunaikan solat malam.

Abu Musa Al-Asy’ari r.a sentiasa bangun malam untuk solat dan membaca al-Quran. Pada suatu malam ketika Nabi SAW dan Saidatina Aishah melalui rumahnya, mereka mendengar suara Abu Musa sedang membaca al-Quran. (HR Bukhari Muslim)

Ja’far bin Amar mengatakan: “Kamu semua berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadah siang dan malam. Kami juga mengetahui bahawa Tamin Ad-Dary r.a walaupun sudah terlalu tua, namun dia tetap bangun malam mendirikan solat, akan tetapi kami belum dapat menyamainya dalam ibadah solat malam.”                             (Az Zuhud, Imam Ahmad)

Qiyamullail bukan hanya dilakukan ketika individu Muslim itu dalam keadaan sempat dan tubuh segar bugar atau perasaan senang gembira, tetapi amalan ini terus dilaksanakan oleh Nabi SAW dan angkatan umat Islam yang awal dalam semua keadaan seperti sakit, kesukaran, musafir, menghadapi bahaya dalam peperangan dan sebagainya.

Nabi SAW sendiri tetap berqiyamullail ketika sedang berkecamuknya peperangan.

Abu Huzaifah al-Yamani menjelaskan kepada anak saudaranya tentang qiyamullail Nabi SAW ketika tercetusnya Perang  Khandak. Kata beliau: “Wahai anak saudaraku, ketika berlaku Perang Khandak kami melihat Rasulullah SAW bangun di tengah malam mengerjakan qiyamullail dalam keadaan perang dengan solat malam yang panjang.”

Baginda menghadapkan pandangannya ke arah kami. Kemudian Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengikut cara kami dengan berdiri solat malam, mengerjakan apa yang mesti dia lakukan maka Allah SWT akan memastikan baginya kembali dengan memasukkan ke dalam syurga.”                (HR Imam Ahmad dalam Al-Musnad)

Perlu dijelaskan bahawasanya suasana Perang Khandak pada saat itu amat menggelisahkan dan keletihan menggali parit untuk benteng pertahanan yang telah banyak memerah tenaga Nabi SAW dan para sahabat r.a. Kekurangan bekalan makanan, keadaan cuaca yang amat dingin (malam), suasana gelap gelita begitu mencengkam dan angin yang bertiup kencang. Namun Nabi SAW dan para sahabat r.a tetap berqiyamullail kerana pada detik-detik itulah mereka mengadu kepada Allah SWT memohon pertolongan dan bantuan untuk berhadapan dengan pasukan kafir Quraisy.

Demikian juga pada saat berkecamuknya Perang Tabuk, Nabi SAW bangun melaksanakan amalan qiyamullail. Sebahagian para sahabat r.a berjaga-jaga selama mana Nabi SAW melaksanakan ibadah tersebut.

Begitu juga  amalan rohani  Islam ini  mesti dilaksanakan oleh semua tentera  di bawah kepimpinan Sayyidina Ali r.a. Beliau akan memeriksa khemah setiap anggota tenteranya di waktu malam sebelum menghadapi peperangan. Apabila didapati ada yang asyik tidur dan tidak mampu berqiyamullail, maka beliau akan memerintahkan mereka  pulang ke Madinah. Ini  kerana ibadah jihad tidak akan sempurna tanpa disertai dengan kesempurnaan hati.  Ternyata, amalan rohani Islam ini menjadi penentu kepada pertolongan dan bantuan Allah SWT memberi kemenangan kepada ummah-Nya. Sebaliknya,  amalan  ini telah  diabaikan oleh para penyokong dan pejuang gerakan Islam di seluruh negara Islam hari ini akibat fenomena ‘kekeliruan berakidah’  di kalangan ummah. Oleh sebab itulah, maka  golongan ahli zahir ini  tidak akan dapat menyertai ibadah jihad  itu jika ianya dipimpin oleh angkatan umat Islam di zaman yang awal! Mengenai hal tersebut Allah SWT berfirman. 
 إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّئَةٌ يَغْلِبُواْ أَلْفاً مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَفْقَهُونَ
Maksudnya:
“Jika ada dua puluh orang sabar di antara  kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (sabar) di antara kamu, mereka dapat mengalahkan seribu dari orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.”                              
                                             (Surah al-Anfal, ayat: 65)

Allah SWT berfirman lagi. 
 فَإِنَّ حِزْبَ اللّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”                            
                     (Surah al-Maidah, ayat: 56)

Kebiasaannya kelengkapan peperangan, taktik dan kegigihan para pejuang menjadi kayu pengukur kejayaan dalam setiap peperangan dan inilah yang berlaku ke atas  umat Islam  hari ini yang terpaksa berjuang sekuat tenaga tanpa bantuan atau pertolongan dari Allah SWT akibat binasanya hubungan rohani dengan Allah SWT (tergelincir dari sendi akidah). Ternyata, umat Islam akan sentiasa tewas jika hanya bergantung kepada kekuatan lahiriah semata-mata. Sememangnya sejak sekian lama umat Islam berada di dalam keadaan serba-serbi kekurangan dan jauh di belakang dari segi kelengkapan ketenteraan, ekonomi dan politik berbanding dengan musuh-musuh Islam.

Di riwayatkan dari Hamid bin Abdul Rahman bahawa ada seorang sahabat r.a yang pernah bermusafir bersama-sama Nabi SAW berkata:
“Demi Allah, aku sentiasa mengikut Rasulullah SAW ketika solat, sehingga aku tahu benar apa yang pernah baginda lakukan (semasa musafir). Setelah baginda menunaikan solat Isyak di dalam kegelapan malam, baginda berbaring sekejap. Kemudian baginda bangun dan memandang ufuk langit, kemudian baginda membaca ayat 191-194 surah Ali Imran. Setelah itu baginda mengambil siwak untuk membersihkan giginya. Kemudian menunaikan solat malam, lama solatnya itu sama dengan lama tidurnya.

Setelah itu baginda kembali berbaring ke tempat tidurnya. Lamanya baginda tidur sama lamanya dengan baginda solat. Kembali lagi baginda bangun solat kali kedua. Baginda lakukan pekara itu semalaman sebanyak tiga kali sebelum matahari terbit.”                   
 (HR Nasa’i dinyatakan oleh Al-Albani sebagai hadis sahih menurut kriteria Imam Muslim)           

Sayyidina Ali r.a sendiri pernah menggambarkan kegigihan para sahabat r.a  berqiyamullail. Ini telah diriwayatkan oleh Arikah r.a. Antara lain riwayat tersebut menjelaskan:
“Demi Allah, sesungguhnya telah aku lihat sahabat-sahabat (r.a) Muhammad (SAW), tidak pernah aku lihat pada hari ini orang lain menyerupai mereka sedikit pun. Sesungguhnya mereka ini berpagi-pagi dengan keadaan rambut kusut masai dan pakaian mereka berdebu, wajah mereka pucat. Sesungguhnya mereka itu berjaga malam dengan sujud dan berdiri di hadapan Allah dan membaca kitab-Nya. Apabila tiba waktu pagi pula, mereka segera berzikrullah dengan meng- gerakkan badan mereka seperti bergoyangnya pokok pada masa ribut. Demi Allah, telah mengalir air mata mereka sehingga membasahi baju mereka.”

Sa’id Al-Musayyab, selama  lima puluh tahun menunaikan solat Subuh dengan menggunakan wuduk solat Isyak. Di rumahnya tidak ada masa yang tidak digunakan untuk solat, terus menerus melakukan puasa sunat.

Zainal Abidin Ali bin Husain, cicit Nabi SAW suka memperbanyakkan qiyamullail sehingga keras dua lututnya seperti kerasnya lutut kuda. Dia suka menggosok-gosokkan lututnya yang sudah mengeras (kesan sujud) dua kali dalam setahun.

Huzaimah Al-Aushabiyah, isteri Abu Darda’ r.a sentiasa melaksanakan  qiyamullail dengan menjadi imam kepada para jemaah wanita. Mereka melaksanakan amalan ini sehingga kaki mereka menjadi bengkak kerana lamanya berdiri.

Mu’azah Al-Adawiyah, murid Aisyah r.a bersama suaminya bangun mengerjakan qiyamullail di malam majlis perkahwinannya. Pada waktu kecamuknya suatu peperangan, suami dan anaknya syahid di medan jihad, namun beliau tetap menghidupkan seluruh malamnya dengan amalan rohani ini.

Ketahuilah bahawa qiyamullail merupakan suatu syi’ar  Islam yang mulia yang diwariskan oleh Nabi SAW kepada umat Islam. Para sahabat r.a dan angkatan umat Islam yang awal tidak pernah meninggalkan amalan rohani Islam ini walaupun dalam keadaan sakit, musafir dan peperangan. Bahkan mereka lebih menikmati dan merasakan khusyuknya hati terhadap Allah SWT pada saat-saat seperti itu. Mereka mendirikan solat malam, berterusan berzikrullah dan berdoa dengan ikhlas mengharapkan bantuan dan ma’unah dari Al-Khaliq. Sebaliknya, hanya sedikit sekali umat Islam pada hari ini yang mahu melaksanakan perintah Allah SWT dan sunnah Nabi SAW ini akibat menjalani tarbiyah keimanan ‘mee segera’ (pemahaman teori tauhid).

Abu Muslim pernah bertanya kepada Abu Zar al-Ghiffary: “Apakah qiyamullail yang utama?” Dijawabnya bahawa beliau pernah bertanyakan pekara tersebut kepada Nabi SAW dan baginda bersabda: “Qiyamullail yang paling utama adalah yang dikerjakan pada sepertiga malam akhir, atau seperdua malam. Tetapi hanya sedikit sekali manusia yang mahu melaksanakan  sunnah ini.” 
                             (HR Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Di samping itu, berqailulah (tidur siang) sebelum waktu Zuhur atau sebelum waktu Asar merupakan sunnah Nabi SAW. Amalan ini berguna untuk merehatkan anggota badan bagi orang mukmin pada waktu siang berkerja keras sambil berpuasa, sedangkan di waktu malam pula mereka bersungguh-sungguh mengerjakan qiyamullail.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Tidur sianglah sejenak kerana syaitan tidak pernah tidur pada waktu siang.”          
  (HR Abu Na’im dan Tabrani)  

Ibnu Umar r.a pernah mendengar ada seorang yang bekerja dengannya tidak tidur sebentar pada waktu siang. Maka Ibnu Umar menulis surat peringatan kepadanya agar dia berehat sebentar pada waktu siang kerana syaitan tidak tidur waktu siang.      
                          (Mukhtasar Qiyamullail, Al-Maqrizi)

Dikatakan oleh Ishaq bin Abdullah bahawa berehat sebentar pada waktu siang termasuk perbuatan baik. Berehat seperti itu akan menenangkan perasaan dan meringankan untuk bangun malam (qiyamullail). Hasan al-Basri pernah melalui sebuah pasar pada waktu siang. Dia melihat sekumpulan orang sedang sibuk. Dia bertanya: “Adakah mereka tidak qailulah? Seseorang telah menjawab, sama sekali tidak.

Hasan al-Basri mengatakan: “Dapat dipastikan, waktu malam mereka amat buruk.”

Makna qailulah seperti bunyi hadis tidak perlu tidur. Cukup sedikit merehatkan diri untuk melepaskan penat, sambil duduk-duduk santai atau berbaring menyandarkan badan, merehatkan otot tubuh. Sehinggga ritma biologi tubuh mendapat rehat yang cukup.,              

 6. Hakikat  Keimanan   Para  Sahabat    Berbanding   Umat  Islam Hari Ini

Demikianlah juga, berhubung dengan hakikat (kebenaran) keimanan bagi angkatan umat Islam di zaman yang awal  yang diasaskan kepada  amalan rohani Islam ini. Sesungguhnya pelaksanaan amalan yang berat ini menggambarkan ciri khas keperibadian mereka.  Para sahabat r.a yang mengiringi Nabi SAW yang seiya sekata  berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh sebagai rahsia kekuatan ummah demi memperjuangkan Islam yang tercinta. Malah, amalan inilah yang memberi kekuatan kepada mereka ketika di seksa di Makkah, ketika berhijrah ke Habsyah dan Madinah, ketika berperang di medan Badar, Uhud dan Khandak. Tegasnya, ummah yang mengutamakan amalan rohani inilah yang layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT,  lantaran hati mereka sentiasa menghayati keagungan dan kesempurnaan Allah SWT iaitu orang-orang yang hampir kepada Allah (golongan muqarrabun). Kelompok yang layak mendapat kerjasama dari kerajaan ghaib yang di kalangan mereka itu sering berlakunya karomah atau khawariqul ‘adah.

Keutamaan amalan ini  telah digambarkan dengan jelas oleh Harithah bin Malik r.a  ketika menjawab persoalan  Nabi SAW tentang kebenaran (hakikat) keimanan beliau dan ianya dinukilkan oleh Shaikh Abu Talib al-Makki (w. 368 H.) di dalam kitabnya, ‘Qut-ul-Qulub’.  Nabi SAW bersabda:
“Apakah hakikat (kebenaran) pengakuan keimanan engkau bahawa engkau beriman dengan sebenar-benarnya?”

Jawab Harithah bin Malik r.a.:
“Ya Rasulullah, nafsu ku lari dari dunia, malam aku berqiyamullail, aku berpuasa di siang hari sehingga aku seolah-olah nampak (celik mata hati) penghuni syurga  sedang menikmati berbagai kesenangan dan penghuni neraka yang sedang meraung penuh azab.”

Ujar Nabi SAW:
“Wahai Harithah, engkau sudah mengetahui, tetaplah dalam keimanan.”

Sebaliknya, umat Islam hari ini bila diajukan persoalan tentang kebenaran  (hakikat) pengakuan keimanan  tentulah  berbangga dengan jawapan bahawa ianya  dicapai dengan mengikuti pengajian ilmu Sifat 20 (mazhab fuqaha) atau teori tauhid  Ibn Taimiyyah (mazhab Wahabi) di sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi  secara mendalam  dan diistilahkan sebagai memiliki prinsip akidah Islam (iktikad).

Begitu juga dengan para pelajar  yang meneruskan pengajian   di pelbagai  bidang ilmu Islam  di pusat-pusat  pengajian tinggi. Kebiasaannya apabila berjaya memperolehi ijazah   mereka akan memegang jawatan sebagai pegawai agama seperti  mufti atau kadi atau pendidik ataupun pendakwah. Malah, hakikat keimanan  bagi para cendiakawan Islam ini diandaikan akan terus mantap serta berkekalan ke akhir hayat mengikut diploma atau ijazah yang diperolehi. Di kalangan orang awam pula,  mereka beranggapan bahawa dengan menghadirkan diri di majlis bacaan kitab-kitab  atau ceramah agama di masjid atau surau pada saban hari untuk pemahaman teori tauhid dan pengetahuan ilmu fiqah (fadilat-fadilat dan hukum hakam segala amal soleh) yang mendalam (berbelit-belit) diandaikan akan terus menyemarakkan lagi darjat keimanan mereka. Mengenai hakikat ini Allah SWT berfirman. Maksudnya:
“Dan Kami tidak mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” 
                                                (Surah Saba’, ayat: 28)

Allah SWT berfirman lagi. Maksudnya:
“Kemudian Kami jadikan kamu (wahai Muhammad) berada di atas satu syariat (yang lengkap)  dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”                
                                            (Surah al-Jathiyah, ayat: 18)
Firman-Nya lagi:
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللّهِ إِن يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصُونَ
Maksudnya:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”                             
                                       (Surah al-An’am, ayat: 116)

Allah SWT juga berfirman. Maksudnya:
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.”
                                       (Surah al-Baqarah, ayat:10)

7. Mujaddid Islam Yang Bersandar Kepada Kesungguhan Istiqamah Berqiyamullail

Sejarah keagungan dan keadilan pemerintahan Kerajaan Bani Umaiyyah di bawah kepimpinan Khalifah Umar Abd. Aziz rhm  yang begitu tersohor dan sentiasa di sebut-sebut di kalangan umat Islam. Memperkatakan tentang keistimewaan kehidupan masyarakat dan daulah Islamiah di zaman Sayyidina Umar Ibn Abdul Aziz tidak akan lengkap dan tidak sempurna andainya aspek mengenai diri beliau sendiri dipinggirkan. Sedangkan keistimewaan yang terjelma atau terzahir natijah atau manifestasi adalah dari kesungguhan   beliau mengerjakan  qiyamullail. Ertinya tanpa  darjat yang tertinggi (kesempurnaan hati)  itu maka barokah dan karomah tidak dikurniakan oleh Allah SWT. Beliau sendiri sebenarnya  seorang mujaddid atau pemimpin yang dijanjikan yang disebut semenjak awal lagi secara ilham oleh Sayyidina Umar Ibnu Khattab. Sayyidina Umar pernah menyebut tentang akan lahir seorang pemimpin yang membawa kedamaian dari sulbinya. Dan ternyata ilham tersebut itu yang dimaksudkan kepada cicit beliau iaitu Sayyidina Umar Ibn Abdul Aziz.

Kesungguhan beliau berqiyamullail telah digambarkan oleh isterinya, Fatimah binti Abdul Malek, katanya:
“Umar mempunyai tempat solat yang khusus di rumahnya. Beliau akan masuk ke tempat itu biasanya lepas waktu malam. Beliau berzikrullah, membaca al-Quran, solat sunat dan menangis hingga terbit fajar.”

Sebaik sahaja beliau diangkat menjadi khalifah, beliau pulang ke rumahnya dengan wajah cemas dan menemui isterinya lantas berkata;
“Aku kini seperti memikul gunung. Segala beban umat sudah tertanggung ke atas aku. Aku sudah tiada masa lagi untuk bersama denganmu. Sekiranya kamu tidak sanggup demikian, nyatakanlah agar aku melepaskanmu secara baik. Andainya engkau ingin terus bersamaku, maka engkau adalah sebahagian dari diriku yang turut memikul beban umat.”

Menurut pengakuan isteri beliau, semenjak hari itu hingga wafatnya, beliau tidak pernah tidur bersama dengannya.

Kerajaan Islam di zaman pemerintahannya kemakmuran merata. Kehidupan sejahtera dan aman damai. Pemimpinnya adil, orang kayanya pemurah, para ulama zuhud dan mampu mendidik masyarakat. Fakir miskin turut berlumba-lumba untuk memberi bukan meminta-minta sehingga tiada siapa yang merasa layak untuk menerima zakat. Masing-masing merasa kaya iaitu kaya jiwanya dengan kesempurnaan hati dan sifat taqwa yang tinggi. Perpaduan dan kasih sayang sangat utuh dan melahirkan kehidupan bermasyarakat. Saling kuat membela dan membantu. Sangat disukai rakyat, hidup makmur, aman damai, sejahtera dan harmoni. Tiada keresahan dan kegelisahan. Masing-masing berasa puas hati, sabar dan redha dengan kedudukan dan peranan masing-masing.

Beliau berjaya menghidupkan dan menyuburkan kembali agama Islam. Kesuburan Islam itu bertitik tolak dari ummah yang memiliki darjat yang tertinggi (darjat ihsan), yakni manusia kembali menghayati keagungan dan kesempurnaan  Allah SWT.  Mereka sentiasa bersifat sabar dalam menghadapi apa jua ujian dan dugaan yang Allah SWT timpakan pada setiap masa, kerana mereka mahu mendapat keredaan-Nya. Hidup berpandukan syariat. Akhlak umat kembali mempesona. Inilah yang disifatkan oleh Allah SWT tentang negara makmur yang mendapat keampunan-Nya sebagaimana yang telah diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya, al-Quran. 
 لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Maksudnya:
“Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT.”                                 (Surah Saba’, ayat: 15)

Kota Konstantinopel ditakluki oleh Sultan Muhammah Al-Fateh setelah 600 tahun dari tarikh sabda Nabi SAW yang menjelaskan bahawa kota itu akan jatuh ke tangan orang Islam (Amir yang baik). Sultan Muhammad Al-Fateh ditarbiyahkan oleh shaikh mursyid iaitu Shamsuddin al-Wali. Baginda tidak pernah meninggalkan  qiyamullail sejak dari usia akhir baligh. Amalan rohani inilah juga menjadi syarat utama bagi tentera-tenteranya yang ingin menyertai peperangan. Begitu juga dengan panglima perang tentera Islam yang masyhur dalam Perang Salib iaitu Salehuddin Al-Ayubi. Beliau akan meninggalkan tentera-tenteranya yang tidak mampu mengerja- kan amalan ini dari menyertai pertempuran.

Inilah di antara pemimpin Islam di zaman ‘keagungan kerohanian’ atau mujaddid yang mempunyai daya juang dan pengorbanan tinggi yang  menjadi penyumbang dan pendokong utama kepada keagungan Islam. Hidupnya zuhud dan sederhana. Dan memang memilih kehidupan ini hanya semata-mata cintakan Allah SWT dan Rasul-Nya, dan mereka berjaya menghayati jalan agama ini dengan khusyuk hati terhadap Allah SWT yang sepenuhnya. Keyakinannya kental, kemahuannya kuat, keazamannya tinggi, cita-citanya besar iaitu kejayaan umat Islam. Memiliki keunggulan peribadi dan ketokohan yang mengkagumkan dengan bersandarkan kepada kesungguhan dan kecekalan  istiqamah dalam berqiyamullail. Manusia bukan sahaja tertarik dengan apa yang disampaikan malah sangat mudah terdorong untuk mengamalkannya. Hati manusia sentiasa menghayati keagungan dan kesempurnaan  Allah SWT dan syariat Islam. Lantaran itulah di zaman adanya mujaddid, Islam itu subur di kalangan umat.

Faktor kepimpinan menjadi satu rahsia kemenangan dan kerana ada pemimpinlah faktor-faktor lain itu dapat dicapai. Kerana pemimpinlah yang menyebarkan jalan tarbiyah keimanan kepada umat  mudah diterima. Mendidik umat melalui berzikir dan mujahadah, bertaqwa dan mentaati Allah SWT. Pemimpin juga mendidik umat kepada perpaduan, kasih sayang, tolong menolong dan saling bantu membantu. Dan lebih-lebih lagi pemimpin juga yang paling utama sebagai saluran bergabungnya kerajaan ghaib dalam memenangkan pejuang kebenaran dan menumpaskan musuh. Pemimpin juga sebagai saluran barokah dan karomah. Sepanjang masa, tenaga, harta benda dan pemikiran dicurahkan untuk berbuat kebajikan demi untuk kejayaan umat Islam,  kerana mereka mahu mendapatkan keredaan Allah SWT semata-mata. 

Sesungguhnya melalui orang-orang pilihan Allah SWT yang melaksanakan Islam dengan tepat dan benar akan terserlah keagungan dan ketinggian ajaran Islam. Manusia bukan saja terpesona dengan ajaran Islam itu sendiri malah manusia akan  melihat keagungan dan kehebatan kuasa Allah SWT (kesempurnaan hati). Sudah tentulah syarat-syarat mencapai darjat yang tertinggi itu bukan mudah. Mujaddid sejati dijanjikan syurga. Besar pengorbanan yang diperlukan untuk membeli syurga Allah SWT itu.

Hassan al-Basri rhm, seorang tabi’in yang  terkenal  menjelaskan keutamaan  amalan qiyamullail  ini dengan berkata:
“Tidak ada perbuatan manusia yang lebih kukuh  dalam kebaikan selain dari qiyamullail, dan tidak ada di muka bumi ini yang memberatkan mereka selain dari qiyamullail dan bersedekah.”

8. Kesungguhan  Tokoh-tokoh  Ulama  Khalaf   Berqiyamullail    

Di kalangan  ulama khalaf, mereka berqiyamullail dengan bersungguh-sungguh untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dan keredaan-Nya.  Para pengasas  mazhab fiqah Islam terdiri daripada ulama-ulama besar yang menghafaz al-Quran dan  banyak hadis. Mereka amat mahir dengan al-Quran dan sunnah, ingatan mereka terhadap kedua-dua sumber ini amat menakjubkan. Mereka dianugerahkan akal dan ingatan yang cukup hebat. Memiliki kesempurnaan rohani, sifat taqwa yang sebenar dan amat takut kepada Allah SWT. Takut mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan al-Quran dan al-sunnah. Para imam mazhab-mazhab fiqah yang mu’tabar  (boleh diterima pakai) ialah Imam Asy-Shafi’i, Imam Ahmad Hanbali, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Abu Juwairiyyah menukilkan tentang kesungguhan tokoh ulama khalaf yang terkenal, Imam Abu Hanifah rhm berqiyamullail. Kata beliau:
“Aku pernah menumpang di rumah Abu Hanifah tidak kurang dari 6 bulan, akan tetapi tidak pernah aku melihat semalam pun tubuhnya terlentang di atas tempat tidurnya.”

Oleh sebab itulah,  maka Imam Asy-Syafi’i rhm memperuntukkan sepertiga masa seharian untuk menumpukan kepada qiyamullail ini. Kata beliau:
“Aku membahagikan masa seharianku kepada tiga bahagian. Sepertiga bahagian (8 jam) aku peruntukkan untuk mencari  rezeki. Sepertiga bahagian (8 jam) lagi untuk beristirehat bersama anak-anak dan isteri. Sementara sepertiga bahagian (8 jam) lagi, aku peruntukkan untuk bersungguh-sungguh berqiyamullai (kesempurnaan hati).”

Imam Ar-Rabi’ menukilkan tentang kesungguhan berqiyamullail   Imam Asy-Syafi’i rhm dengan katanya:
“Aku menumpang beberapa malam di rumah Imam Asy-Syafi’i  rhm, aku melihat beliau tidak pernah tidur kecuali sekejap sahaja.”

Abu Bakar Al-Marwazi berkata: “Saya berada bersama Imam Ahmad selama empat bulan di medan jihad. Dia tidak pernah meninggalkan solat malam dan sentiasa membaca al-Quran pada waktu siang. Aku tidak mengetahui bila beliau selesai melakukan itu kerana beliau sentiasa merahsiakan ibadahnya itu.”           (Munaqib Imam Ahmad, Ibnu Fauzi)

Abu ‘Ishmah bin ‘Isham Al-Baihaqi pula menceritakan: “Aku pernah menginap di rumah Imam Ahmad Hanbali rhm, lalu beliau datang membawa air (untuk berwuduk) dan meletakkannya (untuk berqiyamullail) di bilik tidurku. Tetapi tatkala memasuki pagi, Imam Ahmad melihat ternyata airnya masih seperti sedia kala (tidak digunakan untuk berwuduk), maka beliau berkata:
“Subhanallah (Maha Suci Allah), seseorang yang menuntut ilmu tidak melaksanakan qiyamullail.”

9. Kegigihan   Tokoh-tokoh Tasawwuf   Terkenal  Berqiyamullail 

Segala kebaikan, amal soleh, amal makruf nahi mungkar, jihad fisabilillah tidak akan sempurna dilaksanakan kecuali selaras dengan aspek rohani (hati)  yang dibersihkan melalui berzikir dan mujahadah (amalan rohani Islam). Hubungkan jiwamu dengan Maha Pencipta melalui qiyamullail. Bersihkan batinmu untuk menerima keberkatan Rabbul Jalil. Sunggguh menakjubkan mereka dan kukuhnya tali rohaniah dengan Allah Maha Rahman. Sesungguhnya orang yang mencintai itu adalah sangat sabar terhadap cubaan dari yang dicintainya.

Abdurrahman bin Yazid bin Jabir berkata: “Kami sedang dalam perjalanan menuju medan peperangan dan Abu Usman Ata’ bin Masyarah menghidupkan malam dengan solat tahajjud. Apabila telah sampai sepertiga malam atau setengah malam, beliau mendatangi kami dan menyeru: ‘Bangun dan berwuduklah. Sambunglah ibadah puasa siang dengan solat tahajjud, kerana itu lebih mudah daripada mesti memotong besi dan minum timah panas. Bersegeralah, bersegeralah untuk mendapat keselamatan.’ Dia lalu meneruskan solatnya.”

Beliau bertahajuh  dari awal hingga akhir malam dan hanya tidur pada waktu sahur.

Ali bin Husin bin Syafiq berkata: “Tidak kulihat seseorang yang lebih sesuai dalam membaca, yang lebih bagus bacaannya dan lebih banyak solatnya dari Abdullah bin Mubarak. Dia solat sepanjang malam, dalam perjalaanan ataupun yang lain. Dia mentartilkan bacaan dan memanjangkannya. Dia sengaja meninggalkan tidur, agar orang lain tidak mengetahuinya ketika ia solat.”
   
Abu al-Faith yang pernah menjadi pembantu Shaikh Abdul Qadir al-Jailani rhm, seorang tokoh tasawwuf terkenal di kota Baghdad (w. 562 H.) menukilkan kesungguhan berqiyamullail  tokoh tasawwuf itu dengan katanya:
“Aku menjadi pembantu Shaikh Abd Qadir al-Jailani selama 40 tahun. Selama itu, beliau mengerjakan solat subuh dengan wudhu’ yang digunakan untuk mengerjakan solat isyak. Apabila berhadas, beliau terus berwudhu’ semula dan kemudian mengerjakan solat sunat sebanyak 2 raka’at. Setelah mengerjakan solat isyak, beliau masuk ke dalam tempat uzlahnya tanpa seorang pun yang dibenarkan masuk ke dalamnya dan beliau keluar dari tempat uzlahnya itu setelah terbit fajar.”

Demikianlah hakikat (kebenaran) keimanan atau kesempurnaan rohani yang dicapai dengan kesungguhan berqiyamullail semenjak zaman para sahabat r.a dan salaf-al-soleh sebagai amalan rohani yang sudah  menjadi biasa yang menyeluruh di kalangan mereka. Allah SWT telah menetapkan  keagungan solat tahajjud sebagai amalan yang sudah menjadi kebiasaan orang-orang soleh yang terdahulu untuk mencapai khusyuk hati  terhadap-Nya dengan sepenuhnya. Jarang sekali di kalangan  angkatan umat Islam di zaman yang awal itu yang tidak tahu kepentingan dan keunggulan amalan ini dan tidak beramal dengannya. Mereka lebih sempurna taqwa mereka, kerana lebih memahami hakikat Islam, sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat atau yang zahir mahupun yang batin/akidah.

Perjuangan mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan) iaitu menghampirkan diri kepada Allah SWT  dan keredaan-Nya adalah melalui kesungguhan istiqamah dalam berqiyamullail. Tidak pernah luntur semangat perjuangan orang mukmin yang sebenar mengerjakan amalan rohani Islam  ini untuk melemahkan kehendak hawa nafsu dan membersih hijab hati, dan mereka sentiasa mendapat pertolongan dari Allah SWT. Di samping itu mereka terus melazimkan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan runtunan hidup selari dengan kehendak Allah SWT dan menolak kejahatan yang dimurkai Allah SWT, maka akhir perjalanannya penuh sinar  kerana sampai kepada Allah SWT yang dicintainya.

10. Tanpa Qiyamullail Ummah Menjauhi Masjid   

Apabila  amalan rohani Islam ini sudah mulai pupus  di kalangan umat Islam hari ini, maka  amalan memakmurkan masjid (beriktikaf) yang diperintahkan  Allah SWT turut diabaikan.  Masjid di zaman ‘keagungan kerohanian’  dahulu merupakan satu institusi yang sangat penting di dalam syiar Islam dan menjadi peristiwa pertama di dalam hijrah Nabi SAW, iaitu membangunkannya  sebagai lambang kebesaran agama. Malah, ia sentiasa menjadi tempat tumpuan ummah  berqiyamullail, mengerjakan solat fardu, berzikir, membaca al-Quran, membaca kitab-kitab agama  dan lain-lain aktiviti masyarakat yang bertujuan menghampirkan diri kepada Allah SWT dan keredaan-Nya.  Sebaliknya,  rumah Allah itu  telah dijauhi oleh majoriti umat Islam hari ini akibat mengalami fenomena ‘kekeliruan berakidah’.  Masjid  kini hanya dikunjungi untuk mengerjakan solat fardu semata-mata. Kebiasaannya  jika tiada ceramah atau  majlis agama selepas solat fardu  maka  suasana masjid  menjadi lengang dan sepi kerana tiada kemampuan umat Islam hari ini memakmurkannya (beriktikaf).

Oleh sebab itulah, maka Allah SWT telah menetapkan di dalam al-Quran bahawa hanya orang beriman sahaja yang mampu memakmurkan rumah-Nya. Ternyata amalan ini  menjadi neraca pengukur terhadap pengabdian kita di dalam pelaksanaan perintah Allah SWT yang berat itu. Nabi SAW menganjurkan ummah supaya bersungguh-sungguh mengerjakan amalan ini dengan sabda baginda (SAW) yang bermaksud:
“Masjid adalah rumah bagi orang yang bertaqwa. Allah berjanji akan menurunkan rahmatNya ke atas orang yang menghabiskan kebanyakan masanya di masjid. Allah akan mengurniakan ketenangan hati, memudahkan melintasi titian sirat dan memperolehi keredaanNya dengan sepenuhnya.”

Baginda (SAW) bersabda lagi yang bermaksud:
“Seandainya ada api turun dari langit, tentu tidak ada yang selamat daripada jilatannya selain penghuni masjid.”

Al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah SWT:
 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya:
“Hanya orang yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Yang Kemudian serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat sedang ia tidak takut, melainkan Allah. Mudah-mudahan mereka itu termasuk orang yang mendapat petunjuk.”  
                                        (Surah al-Taubah, ayat: 18)

Allah SWT juga berfirman. 
 مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَن يَعْمُرُواْ مَسَاجِدَ الله شَاهِدِينَ عَلَى أَنفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ
Maksudnya:
“Tiada berhak orang musyrik memakmurkan masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi di atas dirinya dengan kekafiran. Maka terhapuslah sekali amalannya dan di dalam neraka kekal selama-lamanya.”              
                                        (Surah al-Taubah, ayat 17)

Jelas sekali  beriktikaf  merupakan suatu ibadah yang amat berat untuk dilaksanakan. Amalan ini hanya mampu dilaksanakan oleh golongan  yang khusyuk hati terhadap Allah atau yang mampu berterusan berzikrullah (zikrul-qalb). Sebaliknya,  golongan ahli zahir (lalai berzikrullah) yang tidak dapat menumpukan seluruh hati kepada Allah SWT semata-mata (hati mereka menjadi keras), maka mereka tidak dapat mengerjakan amalan ini dengan sempurna. Dewasa kini sudah menjadi kebiasaan di setiap masjid atau surau apabila selesai sahaja imam  membaca doa selepas solat fardu, maka seluruh para jemaah bergegas keluar meninggalkan masjid atau surau. Keadaan ini amat jelas menunjukkan betapa sukarnya umat Islam hari ini untuk mengerjakan amalan (beriktikaf)  ini apabila mereka mengabaikan jalan tarbiyah keimanan melalui berzikir dan mujahadah.

Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW di atas sudah cukup untuk  menyedarkan kita semua tentang keutamaan beriktikaf  itu. Oleh itu apabila pudar kecenderungan masyarakat Islam terhadap perintah ini  maka dengan sendirinya pengaruh agama terhadap umat-Nya turut luntur menandakan kegagalan jalan tarbiyah keimanan yang di lalui. Oleh sebab itulah, maka seseorang yang sudah terjerat oleh kehendak hawa nafsu dan kecintaan kepada kesenangan dan kemewahan duniawi, maka akal dan hati nuraninya menjadi tidak berperanan. Keperibadian- nya menjadi goyah bagaikan bulu yang diterbangkan oleh angin. Ke arah mana pun ia akan menurut pujukan hawa nafsunya. Lebih-lebih lagi kehidupan manusia di zaman ini  yang hanya mengukur  kebahagiaan hidupnya semata-mata dari sudut harta kekayaan dan kemewahan duniawi. Mereka hanya menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga  mengejar kemewahan hidup tiada batasan tanpa mengetahui kepentingan  dan keunggulan qiyamullail untuk membersihkan hijab nafsu (mencapai khusyuk hati terhadap Allah SWT).

Begitu juga, hidup kita ini bagaikan sandiwara di mana kita menyaksikan penggantian siang dan malam yang tidak berkesudahan. Sebuah pertunjukan yang sangat aneh! Apabila mempunyai suatu keperluan hidup maka kita berharap dan berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Sebaliknya, untuk mencapai kejayaan di akhirat kita akan memandang mudah dan sentiasa engkar kepada perintah Allah SWT. Yang demikian ini adalah falsafah hidup yang tidak logik. Jika hidup hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan hidup hari demi hari bagi seseorang Muslim, maka kita tidak memiliki arah di dalam kehidupan. Tujuannya hanyalah untuk hidup.  Ini ada diterangkan di dalam firman Allah SWT. 
أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ
Maksudnya:
“...adakah kamu lebih suka kehidupan dunia daripada Akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di Akhirat kelak.”               
                                       (Surah al-Taubah, ayat: 38)

Allah SWT juga berfirman. 
 وَفَرِحُواْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ مَتَاعٌ
Maksudnya:
“...dan (mereka yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil, dan tidak kekal berbanding kesenangan hari Akhirat.”                
                                        (Surah al-Ra’ad, ayat: 26)

Hati nuraninya sedikitpun tidak dapat melemahkannya daripada berbuat demikian, kerana sesungguhnya hati nuraninya telah pun mati akibat hijab nafsu. Tiada keimanan bagi mereka yang mempertuhankan nafsunya dan menyembah syahwatnya. Tiada pula padanya akal fikiran kerana sesungguhnya syahwatnya telah menguasai fikirannya dan hawa nafsunya telah mengunci jendela pemikirannya. Inilah yang dimaksudkan di dalam firman Allah SWT. 
  وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِّنَ اللَّهِ
Maksudnya:
“Dan siapakah yang terlebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsu dengan tiada petunjuk daripada Allah.”  
                                          (Surah al-Qasas, ayat: 50)

Oleh sebab itu, jika hawa nafsu seseorang itu telah menguasai akal dan hati nuraninya, sehingga dia lebih mematuhi kehendak hawa nafsunya daripada perintah Allah SWT, maka pada hakikatnya dia telah menjadikan nafsu itu sebagai Tuhan kerana mereka selalu mengutamakan ajakan hawa nafsunya sedangkan kepada Allah SWT ia sentiasa derhaka dan ingkar. Nabi SAW sentiasa mengingatkan kepada ummah agar tidak terpedaya oleh kehendak hawa nafsu dan kehidupan dunia.

Begitulah suasana kehidupan harian ini apabila kita telah terjerumus ke dalam linkungan hawa nafsu. Malah, kita mampu berjam-jam  berada di depan kaca  TV atau di dalam stadium  menonton pelbagai rancangan  hiburan atau   pelbagai acara sukan. Kita juga sanggup menghabiskan masa yang panjang dengan  berborak-borak kosong di kedai makan. Begitu juga,   kita mampu meluangkan masa dengan berjam-jam  duduk di depan komputer melayari internet atau memancing ikan atau bermain golf atau bola sepak ataupun pelbagai hobi yang mesti dilaksanakan pada setiap hari.  Malah aktiviti-aktiviti  yang melalaikan itu dapat kita lakukan dengan penuh minat  tanpa keluh resah dan membosankan.

Ternyatalah, godaan hawa nafsulah yang sentiasa melalaikan manusia dan menjadikan kita  leka dalam kelalaian tanpa berzikrullah di dalam kehidupan harian. Demikianlah situasi umat Islam apabila gagal memerangi kehendak hawa nafsu. Inilah yang dimaksudkan dengan tumpas atau kecundang di gelanggang sendiri. Tewas kepada kerakusan nafsu. Kalah kepada pujuk rayu syaitan. Jatuh terjelepak bila berhadapan dengan tarikan dan tipu daya kelazatan dan kesenangan duniawi yang sementara. Memang benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan  pula   penipu   (syaitan)  memperdayakan   kamu   dalam   (mentaati) Allah .” 
                                            (Surah Luqman, ayat: 23)

Allah SWT  juga berfirman. 
 وَغَرَّتْكُمُ الْأَمَانِيُّ حَتَّى جَاء أَمْرُ اللَّهِ وَغَرَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya:
“Dan kamu telah ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.”
                                             (Surah al-Hadid, ayat 14)

Begitu juga apabila ribuan orang ramai berkumpul di dalam dewan atau  stadium menyaksikan pelbagai pertunjukan nyanyian atau hiburan kita masih boleh sama-sama meraikannya ataupun menonton di depan kaca tv sebagai sebahagian aktiviti kehidupan harian.  Meskipun sesetengah program atau aktiviti yang disiarkan itu ternyata menyalahi syariat Islam. Belum lagi dihitung berapa ramai pengunjung kelab-kelab hiburan atau karaoke yang sentiasa muncul seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan dengan pelbagai kemungkaran dan maksiat seperti meminum arak, berzina, pergaulan bebas, ketagihan dadah dan sebagainya. Inilah bentuk dunia hiburan yang sentiasa mendapat sambutan hangat di kalangan generasi muda Islam hari ini. Malahan  keruntuhan akhlak ini telah berlaku dengan berleluasa di seluruh negara Islam dan ianya semakin berkembang dan tidak dapat dibendung lagi.

Maksiat, sumbang mahram, anak luar nikah, penagih dadah  bersepah-sepah di mana-mana. Maruah dan nama baik keluarga tidak lagi menjadi perkara penting yang harus dijaga. Perkara halal dan haram diketepikan dan semacam tidak penting dalam zaman yang serba mencabar ini. Masjid atau surau juga semakin lengang dan sepi. Anak-anak di bangku sekolah rendah lagi sudah pandai mengenai seks, sudah menonton tayangan-tayangan lucah dan sudah berani cuba-cuba mengikut adegan yang ditonton! Fenomana ini sungguh menakutkan! Ajaran agama pula kurang menjadi pegangan dalam keluarga dewasa kini akibat ‘kekeliruan berakidah’ yang hebat berlaku di kalangan ummah.

Statistik  Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan bilangan 111 kes remaja hamil sepanjang bulan pertama pada 2010 berbanding 131 kes pada 2008. Semua mereka ditempatkan di rumah Perlindungan Taman Seri Puteri. Menurut polis, 537 kes pembuangan bayi direkodkan antara 2005 dan Ogos 2010, ini tidak termasuk kes ibu muda yang membunuh diri berikutan tekanan psikologi kuat atau terbunuh kerana komplikasi kandungan melahirkan anak secara haram. Secara purata, kita boleh anggarkan kes yang tidak dilapurkan adalah empat atau lima kali ganda bilangan ini.

Soal selidek membabitkan 2,800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan oleh sebuah universiti tempatan dengan portal Youth- Says.com baru-baru ini menunjukkan, 60 peratus gadis remaja Malaysia hilang dara menjelang umur 18 tahun, manakala 24 peratus mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan lima kekasih berlainan.

Hasil kajian rambang ini mungkin mengejutkan beberapa pihak, tapi inilah ‘reality check’. Kita kena terima hakikat bahawa remaja hari ini mengetahui mengenai seks lebih awal, seawal 10 - 11 tahun. Majoriti memperolehi maklumat daripada teman sebaya atau internet, dan ada juga mengenal seks daripada pornografi. Sangat sedikit yang mendapat pendedahan awal mengenai seks dengan bertanya ibu bapa atau guru mereka.

Jika dilihat perspektif gejala sosial membabitkan remaja hari ini, terutama kes gadis hamil dan pembuangan bayi, masyarakat dan pihak berwajib harus memberi respons serius terhadap hasil kajian ini. Apatah lagi apabila ia mendapati 74 peratus remaja yang melakukan hubungan seks mengaku tidak mengamalkan sebarang perlindungan. Malah, 83 peratus berkata tidak mengalami apa-apa kesan negatif daripada tindakan mereka. Separuh daripada mereka merasa ‘bahagia’ kerana pengalaman seks itu. Memang benarlah firman Allah SWT. 
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً
أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلَّا كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلاً
Maksudnya:
“Apakah kamu tidak hairan melihat orang-orang yang mempertuhankan hawa nafsunya, apakah kamu menjadi pemelihara ke atasnya ataukah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka mendengar dan berakal? Tidak lain mereka itu kecuali seperti binatang ternakan malahan lebih sesat lagi.”
                                       (Surah al – Furqan, ayat: 43-44)

Allah SWT berfirman lagi. 
 وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah jadikan untuk isi neraka jahannam itu dari kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah,  mereka    mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar keterangan-keterangan ayat-ayat Allah, mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”        
                                          (Surah al-A’raf, ayat: 179)

Allah SWT juga berfirman. 
فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
ذَلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّواْ الْحَيَاةَ الْدُّنْيَا عَلَى الآخِرَةِ
Maksudnya:
“...maka  atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari Akhirat...”
                                          (Surah al-Nahl, ayat: 106 – 107)

Allah SWT berfirman seterusnya. 
 وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَعِباً وَلَهْواً وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
Maksudnya:
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia....”
                                        (Surah al-An’am, ayat: 70)

Peristiwa ombak ‘tsunami’ yang melanda Aceh dan beberapa negara Asia yang  telah mengorbankan lebih dua ratus ribu  nyawa serta kemusnahan banyak harta benda, seolah-olah menggambarkan dengan jelas betapa ngerinya peristiwa kedatangan hari Kiamat. Citra dari mayat-mayat yang bergelimpangan, ibu-ibu yang kepiluan, anak-anak yang panik, orang tua yang putus asa, bayi-bayi yang hilang, tubuh-tubuh yang tersayat,  jerit tangis yang menyayat hati, kenderaan yang bertaburan dan rumah-rumah yang hancur dan suasana padang jarak padang terkukur di Aceh telah menjadi kepedihan seluruh dunia. Di samping itu, Allah SWT  melindungi masjid-masjid dari kemusnahan bencana  meskipun kawasan sekelilingnya telah musnah akibat malapetaka itu. Begitulah besarnya rahmat Allah SWT yang dikurniakan kepada ummah yang mampu me- makmurkan rumah-Nya di dunia ini iaitu golongan yang sentiasa hampir kepada rahmat Allah SWT.

Dengan itu, tidak  keterlaluan  jika dikatakan malapetaka ombak  ini mampu mengajak setiap orang kembali ke pangkal jalan. Namun  watak manusia mudah hanyut dalam pelupaan hakikat dan malapetaka dahsyat menyentak kesedaran manusia.  Jelas sekali,  segala petunjuk Allah SWT itu tidak  memberi apa-apa manfaat akibat hijab nafsu yang menjadi benteng penghalang kepada manusia dari mendapat hidayat-Nya dan hati mereka telah menjadi keras (lalai berzikrullah). Seiring berlalunya waktu, manusia kembali hanyut dalam banaliti seharian dan melupakan hikmah perenungannya. Malah,   amat sukar untuk kembali kepada tarbiyah untuk mencapai kesempurnaan hati dan kemuliaan akhlak,  apabila terhijab oleh benteng nafsu atau sifat-sifat mazmumah dan terhijab penglihatan basirah. Lebih-lebih lagi umat Islam dewasa kini yang sentiasa berada di dalam linkungan ummah yang mengalami fenomena ‘kekeliruan berakidah’, maka sukarlah ancaman dan peringatan seperti itu untuk berkesan. Allah SWT telah menggambarkan keadaan ini dengan jelas bahawa segala bencana atau malapetaka yang berlaku itu tidak akan memberi manfaat atau peringatan kepada golongan yang terhijab penglihatan mata hati (basirah). Oleh sebab itulah Allah SWT berfirman;
فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
Maksudnya:
“Maka  sesungguhnya bukan matalah yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang  berada di dalam dada.” 
                                         (Surah al – Hajr, ayat: 46)

Allah SWT  juga berfirman. 
 وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تُؤْمِنَ إِلاَّ بِإِذْنِ اللّهِ وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لاَ يَعْقِلُونَ قُلِ انظُرُواْ مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَن قَوْمٍ لاَّ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Tiadalah seseorang beriman, melainkan dengan izin Allah. Dia menjadikan seksaan atas orang-orang yang tidak berfikir. Katakanlah: Perhatikanlah apa yang di langit dan bumi. Tetapi tiada manfaat keterangan dan peringatan bagi kaum yang tidak beriman.”                         
                                        (Surah Yunus, ayat: 100 - 101)

Sesungguhnya  mati itu sendiri hanya ditakuti oleh orang yang memiliki kesempurnaan hati/akidah. Ini  kerana golongan ini dapat mengenal dan melihat hakikat kebenaran Allah SWT (penglihatan mata hati),  dan  merasakan betapa dahsyat peristiwa mati dan selepas itu. Golongan yang memiliki penglihatan mata hati (basirah) ini sahaja yang bimbang terhadap kegemparan mati dan hari akhirat. Bagi mereka yang buta kejahilan (terhijab mata hati) atau sekadar berfikiran teori tauhid, mati itu hanya sekadar peristiwa yang bakal dilalui oleh semua orang. Mati bagi mereka berakhirlah segala persoalan hidup. Tidak lebih dari itu. Sebab itu mereka tidak menjadikan mati itu sebagai ubat untuk menghindarkan diri dari kemungkaran atau maksiat. Tegasnya, hanya golongan orang-orang yang terbaik dan mendapat keredaan-Nya (darjat ihsan)  sahaja yang yakin dan berpegang kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Cukuplah kematian itu menjadi peringatan dan sebagai nasihat.”                                 
                                                       (HR al-Tibrabni)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Orang yang paling  banyak mengingati mati dan paling bersungguh-sungguh bersedia (untuk menghadapi mati) itulah orang-orang yang paling cerdik dan bijak sekali; Mereka itu mati dengan beroleh kemuliaan di dunia dan Akhirat.”
                                                (HR  Imam Ahmad)
           
Sememangnya  tidak menghairankan kita semua apabila hampir semua masjid atau surau di seluruh pelusuk negeri akan ditutup rapi pintunya menjelang jam  9.00 malam. Fenomana inilah yang sentiasa berlaku dewasa kini akibat ketidakmampuan umat Islam  memakmurkannya (beriktikaf). Malah,  golongan ahli zahir tidak menyedari bahawa akibat penyingkiran amalan zikrullah dan qiyamullail dari  jalan tarbiyah keimanan  menjadikan masjid-masjid atau surau-surau seperti ‘muzium Islam’ iaitu tanpa penghuni di waktu malam (tanpa jemaah berqiyamullail), dan  di dalamnya tersimpan  sejarah  keagungan tamaddun Islam masa silam yang dibangunkan melalui kesungguhan umatnya mengerjakan amalan rohani Islam ini. Jelas sekali umat Islam hari ini telah melupakan perintah Allah SWT dan sunnah Nabi SAW ini yang telah memberikan keagungan kepada ummah yang bersungguh-sungguh mengerjakan qiyamullail.

11. Sedikit  Bilangan  Orang   Yang     Beriman    (Sukarnya Memerangi  Kehendak  Hawa Nafsu)

Telah dijelaskan  bahawa pertarungan memerangi kehendak hawa nafsu  dan membaiki penyakit-penyakit hati untuk menghampirkan diri ke hadrat Allah SWT dan keredaan-Nya  melalui kesungguhan istiqamah dalam berqiyamullail  bukanlah setaraf atau semudah seperti  mengikuti kuliah atau pengajian untuk mendapatkan diploma atau ijazah, memberi ceramah atau membaca kitab-kitab agama, menghadiri atau mendengar ceramah agama, bersukan, mendapatkan anak (pasangan berkahwin), menulis risalah agama, mencari rezeki dan sebagainya. Meletakkan diri dalam lingkaran istiqamah dalam amalan  rohani Islam ini memerlukan tarbiyah melalui berzikir dan mujahadah  yang bersungguh-sungguh di sepanjang hayat  untuk melepaskan diri dari kehendak hawa nafsu dan godaan-godaan syaitan. Inilah mujahadah yang didorong oleh kemahuan dan cita-cita untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar dan darjat yang tinggi di akhirat.  Malahan Nabi SAW telah mengingatkan kepada kita semua bahawa hanya sedikit sekali manusia yang mahu melaksanakan  sunnah (qiyamullail) ini.

Allah SWT  berfirman. 
 كَانُوا قَلِيلاً مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ      وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya:
“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu  malam untuk mereka tidur.  Dan di akhir malam mereka beristighafar kepada Allah.” 
                                  (Surah al-Dzariyat, ayat: 17-18)  

Ternyata, ummah  hari ini telah melupakannya sehingga hampir hilang amalan agung ini dari rumah Allah dan rumah orang Islam. Di manakah mereka? Di manakah orang-orang yang mengatakan mengikut jejak sunnah Nabi SAW? Di manakah mereka yang sentiasa membaca al-Quran pada akhir malam? Di manakah mereka yang berzikir di tengah malam? Di manakah orang yang meninggalkan kenikmatan tidur, lalu tunduk dan tawaduk di hadapan Allah SWT? Jelas sekali, mereka sekarang hampir tidak ada. Mereka adalah yang sedikit dari kumpulan sedikit. 

Allah SWT berfirman. 
 المر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَالَّذِيَ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ الْحَقُّ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Alif Laam Min ra. Itulah ayat-ayat kitab. (Apa-apa) yang diturunkan kepada engkau dari Tuhanmu adalah benar tetapi kebanyakan manusia tidak mahu beriman.”          
                                                 (Surah al-Ra’d, ayat: 1)

Allah SWT juga berfirman. 
إِنَّ السَّاعَةَ لَآتِيَةٌ لَّا رَيْبَ فِيهَا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Hari Kiamat akan datang, tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.”
                                                 (Surah Ghafir, ayat: 59)

Allah SWT seterusnya berfirman.
وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
“Kebanyakan manusia itu bukan orang beriman, meskipun engkau (Muhammad) harapkan.”   (Surah Yusuf, ayat: 103)

Ayat-ayat Allah SWT di atas seharusnya sudah cukup untuk menyedarkan  kepada kita semua  bahawa sangat sedikit bilangan orang yang beriman di akhirat nanti.  Inilah sunnahtullah (ketetapan Allah SWT) yang telah menetapkan bahawa betapa sukarnya jalan mujahadah memerangi hawa nafsu (qiyamullail) untuk sampai kepada hadrat Allah SWT dan keredaan-Nya.  Oleh yang demikian, maka umat Islam perlu memahami hakikat kehidupan ini merupakan pertarungan memerangi kehendak  hawa nafsu yang menjadi hijab hati untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan) iaitu golongan orang-orang yang terbaik dan mendapat keredaan-Nya sebagai umat berjaya menghayati jalan agama Islam. Tegasnya, mereka melakukan apa saja sahaja yang diperintahkan dan menjauhkan segala yang dilarang dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Pertarungan ini sengaja Allah SWT jadikan untuk menguji manusia.

Allah SWT juga berfirman. 
 أُوْلَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ      فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ      ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ     وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ
Maksudnya:
“Mereka itulah orang yang hampir kepada Allah  (al-muqarrabun). (Mereka menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan. Mereka itu (al-muqarrabun) ramai bilangannya di zaman yang awal dan terlalu sedikit di zaman akhir.”                                 (Surah al-Waqi’ah, ayat: 11-14)

Demikianlah betapa sukarnya memerangi kehendak  hawa nafsu untuk mencapai keredaan-Nya sehingga Nabi SAW menganggap  bermujahadah memerangi aspek (nafsu) itu sebagai jihad paling besar (al-jihad al-akbar), sebaliknya perang senjata dianggap baginda sebagai  perang kecil. Malah, jalan mujahadah ini adalah peperangan rohaniah  dan kerakusan mencintai duniawi yang sentiasa berlaku di sepanjang hayat  sebagaimana keterangan Nabi SAW ketika bersama para sahabat r.a setelah kembali dari suatu medan peperangan. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Kita telah kembali dari perang suci yang kecil untuk menghadapi perang lebih besar.”

Jelas sekali  situasi ini akan menyedarkan manusia betapa perlunya berzikir dan mujahadah memerangi nafsu dan godaan syaitan (selagi hayat dikandung badan). Manusia sentiasa dikelilingi oleh syaitan dan terjerat oleh kehendak hawa nafsu. Nabi SAW pernah menyebut di dalam sabdanya yang bermaksud:
“Orang yang berjihad adalah orang yang melawan kehendak hawa nafsu untuk mendapatkan keredaan Allah.”
                                    (HR   Tirmizi    dan   Ibnu  Hibban)

Oleh sebab itulah, maka Nabi SAW menilai bahawa perjuangan melawan godaan hawa nafsu  adalah jauh lebih berat berbanding perjuangan menghadapi musuh di medan perang. Malah, kemenangan di medan jihad itu adalah bergantung kepada kejayaan kita memerangi kehendak hawa nafsu terlebih dahulu, dan perjuangan melawan aspek (nafsu) itu tidak mengenal batas (alam rohaniah), waktu, situasi dan ukuran. Sebaliknya, musuh di medan perang dapat dilihat dan dikira jumlah kekuatannya. Kerana itulah, maka Nabi SAW mengingatkan para sahabat r.a tentang keutamaan perjuangan melawan kehendak hawa nafsu. Kemudian pada kesempatan lain, baginda menjelaskan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Musuhmu yang paling berbahaya ialah nafsumu sendiri, yang terletak di antara dua lambungmu, kemudian isterimu, dan keluargamu.”

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam melalui peredaran darahnya. Maka persempitlah jalan itu dengan menahan lapar (berpuasa).”

Dunia hanyalah sebagai alat, hanya sebagai wasilah bukan matlamat atau tujuan. Orang yang beriman atau memiliki kesempurnaan hati memiliki dunia (keperluan hidup), tetapi bukan dunia (keperluan hidup) yang menguasainya. Dunia (keperluan hidup) ini hanya sekadar menurut kehendaknya, bukan kehendaknya menurut dunia (keperluan hidup). Mereka ini hanya menjadikan dunia (keperluan hidup) sebagai amanah untuk mencapai keredaan-Nya

Kebanyakan orang awam selalu juga terkeliru mengenai mengharapkan rahmat Allah SWT. Oleh itu mereka terus melakukan amalan-amalan jahat atau maksiat dengan sangkaan bahawa rahmat Allah SWT itu terlalu luas dan nikmat-Nya juga terlalu banyak. Dengan itu mereka yakin Allah SWT boleh mengampunkannya. Sebenarnya, sangkaan yang salah  tersebut kerana mereka jahil untuk memahami dan membezakan antara al-gharur dengan al-raja’. Al-raja’ atau mengharapkan rahmat atau bergantung harap terhadap rahmat Allah SWT hanya akan tercapai (pada seseorang itu) bila ia telah melaksanakan sebab-sebab untuk kejayaan. Jalan atau sebab-sebab kejayaan (di sisi Allah SWT) itu ialah dengan taatkan-Nya serta mengharapkan agar ketaatannya itu diterima oleh Allah SWT. Adapun al-gharur itu pula ialah bila mengharapkan rahmat Allah SWT tanpa ada sebab-sebab kejayaan tersebut. Oleh itu seseorang yang tidak beramal baik, bukanlah ia dari golongan orang-orang yang hendakkan kejayaan di akhirat. Apatah lagi bila ia menangguhkan taubat serta sentiasa panjang angan-angan keduniaannya. Kononnya ia zuhud terhadap dunia, tetapi perbuatannya menggambarkan perbuatan orang-orang yang cintakan dunia sehingga bila diberi keduniaan itu kepadanya ia tidak berasa puas dan bila tidak dapat ia berasa tidak memadai dan tidak cukup.

Anda mahu kejayaan padahal tidak melalui jalan-jalannya, sesungguhnya kapal laut itu tidak belayar di atas daratan.

Setengah dari tipudaya atau al-ightirar yang paling besar ialah berlarut-larut di dalam berbagai dosa disebabkan bergantung harap terhadap keampunan (yang boleh didapati dari Allah SWT) tanpa ada rasa menyesal dan sentiasa menangguh- kan untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Itulah perbuatan orang yang menunggu tanaman-tanaman syurga tetapi ia menanam benih neraka; ia mengharap istana orang yang taat (di akhirat), tetapi ia melakukan maksiat.

Allah SWT berfirman. Maksudnya:
“Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, iaitu sama antara kehidupan mereka dan kematian mereka? Amat buruk apa yang mereka sangkakan itu.”
                                                (Surah al-Jathiyah, ayat: 21)

Hadis Qudsi menyebutkan yang bermaksud:
“Alangkah nipisnya sifat malu orang yang mengharapkan syurga-Ku tanpa amalan, bagaimanakah Aku bermurah hati dengan memberikan rahmat-Ku kepada orang yang bakhil ketaatannya terhadap Aku.”

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang cintakan dunia membahayakan akhiratnya, sesiapa yang cintakan akhiratnya membahayakan dunianya. Oleh itu utamakanlah apa yang kekal daripada apa yang binasa.”
(HR Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya, dan al-Hakim)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT murka terhadap setiap orang yang keras kepala, kaya tetapi kedekut, orang yang sering bertengkar dan banyak musuh di pasar, pasif seperti bangkai di waktu malam dan seperti keldai di waktu siang, orang yang tahu tentang kehidupan di dunia, namun bodoh tentang kehidupan di akhirat.”                            (HR Ibnu Hibban)

12. Keagungan Ummah Dengan Berqiyamullail dan Mengalami  Kehancuran Apabila Mengabaikannya

Marilah kita terus mengkaji, merenung sambil terus bertafakur tentang  betapa agungnya amalan rohani  Islam ini  yang telah memberikan kejayaan gemilang kepada tentera Islam hingga mereka berjaya menguasai Sepanyol selama hampir 400 tahun. Oleh sebab itulah, maka para tokoh sejarah Barat telah menggambarkan tentang keunggulan  qiyamullail tentera Islam menjadi faktor utama kejayaan itu. Kata mereka:
“Setelah beratus-ratus kali tentera kita berperang dengan tentera Islam, kita dapati apabila wajah-wajah tentera Islam di waktu siang hari kelihatan lemah dan layu keletihan (qiyamullail),  ketika itulah tentera kita akan tewas bila berperang dengan mereka. Sebaliknya, apabila kita melihat wajah tentera Islam di siang hari kelihatan segar dan gagah,  ketika itulah mereka dapat dikalahkan.”

Raja Romawi  Heraclius pernah bertanya kepada panglima pasukannya ketika mereka kalah menghadapi tentera Islam: “Menurut kamu semua apa yang menyebabkan kita tewas bila menghadapi tentera Islam?” Seorang tentera yang sudah berusia menjawab: “Ini kerana tentera Islam pada waktu malam mereka solat dan berdoa kepada Tuhan mereka, sedangkan waktu siang pula mereka berpuasa.”

Ketika menakluki Perancis,  rakyatnya mengatakan bahawa Al-Qasim bin Al-Qasim (iaitu Sultan Nuruddin Zanki) memiliki hubungan rahsia dengan Tuhannya. Mereka mengatakan bahawa: “Sultan Nuruddin berjaya mengalahkan tentera Perancis bukan kerana kekuatan dan kehebatan dengan tenteranya  yang ramai,  tetapi dengan doa dan solat malam. Dia sentiasa solat malam dan menadahkan kedua belah tangannya berdoa memohon kekuatan dari Zat yang mengurus alam semesta ini. Terus Tuhannya mendengar dan menerima doa mereka. Maka kita pun dikalahkan oleh pasukan Sultan Nuruddin.”
                 (Al Bidayah Wan Nihayah, Ibn Kathir XII: 283)

Ternyata, kepupusan atau pengabaian  qiyamullail di kalangan umat Islam hari ini  menjadi faktor utama  ke atas kepincangan dan kegawatan ummah. Tanpa mereka sedari bahawa  amalan rohani Islam inilah yang sentiasa memberikan kemenangan dan kegemilangan kepada angkatan umat Islam di zaman yang awal dengan bantuan serta pertolongan Allah SWT dalam segala aspek dan  pelbagai bentuk. Oleh sebab itulah mereka menjadi ummah yang sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT untuk mencapai kemenangan yang sangat mengkagumkan itu. Tegasnya, kepincangan dan kegawatan  yang berlaku di seluruh dunia Islam hari ini seolah-olah sudah tiada penawarnya, meskipun pelbagai idea, cadangan, resolusi atau  fatwa yang dikemukakan oleh para ulama Islam bagi mengembalikan kegemilangan Islam, namun segala usaha yang dilaksanakan itu  tetap gagal. Mereka seperti jasad yang terbujur kaku tanpa nyawa akibat pengabaian amalan rohani Islam ini.

Demikian juga, hasil bantuan dan pertolongan Allah SWT sangat mengkagumkan dunia hingga segala kemajuan teknologi hari ini bertitik tolak dari penemuan berbagai ilmu oleh para ulama dan saintis Islam, tetapi itu semua telah berlalu, telah menjadi bukti dan fakta sejarah. Malah,  telah berlalu satu zaman di mana umatnya  sentiasa berzikir dan mujahadah untuk mendirikan qiyamullail dengan bersungguh-sungguh  dan  mereka sentiasa hampir kepada rahmat dan pertolongan Allah SWT. Begitu juga telah berlalu satu zaman di mana umatnya asyik dengan Allah SWT (hati sentiasa musyahadah kepada keagungan dan kesempurnaan-Nya semata-mata) dan merindui akhirat. Seterusnya  telah berlalu juga satu zaman yang telah Allah SWT  curahkan segala pertolongan dan kemenangan kerana kebanyakan umatnya memiliki darjat yang tertinggi (darjat ihsan).

Kepentingan dan keutamaan amalan  ini  telah digambarkan oleh seorang wazir dari Dinasti Saljuk iaitu Nazzam al-Malik kepada sultannya. Kata beliau ,
“Saya   telah   dirikan   untuk   tuanku  suatu  tentera   yang   disebut  tentera malam.  Apabila   tentera   tuanku   yang   bersenjata  telah  tidur, merekalah yang menjadi tentera tuanku, berdoa di hadapan Tuhannya  dengan   airmata berlinangan  dan  lidah yang terus  menerus   berzikrullah, bermohon supaya tuanku dan negeri ini berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan  Allah SWT,  agar  rezeki terus menerus diturun- kan Allah  dengan baik.”

Telah dijelaskan bahawa  qiyamullail  menjadi rahsia keagungan ummah. Oleh itu, apabila diabaikan dan disingkirkan amalan itu maka lemahlah umat Islam. Jiwa mereka hari ini menjadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan akibat tali rohaniah terputus atau  tergelincir dari sendi akidah. Ini kerana, hati tidak bergantung kepada Allah SWT (lalai berzikrullah) lantas Allah SWT melupainya.  Sepertimana tiada satu kuasa yang boleh menahan apabila Allah SWT kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak berdaya sebarang kuasa untuk menebus kekalahan dan kehinaan apabila Allah SWT kehendaki berlaku kepada umat Islam.

Sebaliknya, apa yang dapat dibanggakan tentang Islam  hari ini hanyalah cerita-cerita sejarah mengenai kekuatan dan keagungan angkatan umat Islam di zaman yang awal itu.  Diuar-uarkan cerita sejarah ini oleh para ulama atau pendakwah golongan ahli zahir ini di dalam siri majlis bacaan kitab-kitab atau ceramah agama di sepanjang hayat untuk menggambarkan keunggulan syiar Islam. Inilah bentuk ilmu dan kefahaman agama yang berlegar di kalangan ummah hari ini  atau  sekadar  ‘mental exercise’ semata-mata iaitu jalan tarbiyah keimanan  yang tidak dapat diterap di dalam amal ibadah dan kehidupan harian (ilmu yang tidak memberi manfaat). Malah, golongan  ahli zahir  itu tidak pernah meneliti dan menerima hakikat bahawa semenjak bermulanya syiar Islam,  amalan rohani Islam inilah yang menjadi faktor utama yang membawa kepada bantuan  dan  kemenangan  yang dikurniakan  Allah SWT di dalam segala usaha iktiar ummah-Nya. Terutamanya di kalangan para sahabat r.a, tabi’in dan al-salaf, Allah SWT memberikan golongan yang berjuang bersungguh-sungguh melaksanakan amalan  ini  mudah mencapai kemenangan dalam perjuangan dan perkembangan Islam. Allah SWT datangkan keberanian luar biasa kepada pejuang Islam dan rasa ketakutan yang amat sangat kepada penentang sehingga berjaya menguasai Jazirah Arab.

Di zaman angkatan umat Islam yang awal iaitu zaman di mana ummah sentiasa bersungguh-sungguh mengerjakan amalan ini, maka Allah SWT buka pula pintu ilmu pengetahuan dalam bidang kehidupan. Kota Baghdad sebelum diranapkan oleh kaum Monggol merupakan tempat terkumpulnya kitab para ulama yang terlalu banyak. Ketika Barat melalui ‘Dark-Ages’, Islam pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru dalam ilmu pengetahuan. Padamnya ‘Dark-Ages’ Barat bermula bila mereka memperaktikkan berbagai ilmu yang diperolehi hasil dari penjajahan ke wilayah Islam terutamanya Sepanyol.

Jelaslah, golongan ahli zahir ini terus berada di dalam ‘kekeliruan berakidah’,  tidak mampu menilai dan meneliti tentang apakah amalan rohani Islam  yang membezakan kita umat Islam hari ini berbanding dengan angkatan umat Islam di zaman yang awal untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah. Apabila tidak memiliki darjat yang tertinggi  itu,  maka umat Islam menjadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas melupai Allah (lalai berzikrullah) menjadikan rohani/akidah mereka binasa (tergelincir dari sendi akidah). Kerana itulah  maka Allah SWT melupai umat yang ingkar ini. Sepertimana tiada satu kuasa yang boleh menahan apabila Allah SWT kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak berdaya sebarang kuasa untuk menebus kekalahan dan kehinaan apabila Allah SWT kehendaki berlaku pada umat Islam hari ini. Tegasnya,  qiyamullaill  menjadi kayu pengukur datangnya barokah dan pertolongan Allah SWT.      

Kitab Allah memerintahkan umat Islam supaya melaksanakan segala amal ibadah seperti solat fardu, berpuasa di bulan Ramadan, melakukan ibadah haji di Makkah, mengeluar- kan zakat, berkeluarga, berjihad, mencari rezeki dan lain-lain amal ibadah yang mana umat Islam  hari ini telah berjaya mengerjakannya  selaras dengan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat r.a, tabi’in dan salaf-al-soleh.  Sebaliknya, mereka (umat Islam hari ini)   mengabaikan   qiyamullail yang diperintahkan di dalam al-Quran. Inilah pelaksanaan amalan rohani Islam yang membezakan jalan tarbiyah keimanan   angkatan umat Islam di zaman yang awal  berbanding umat Islam  hari ini. Oleh itu dapatlah  kita membuat kesimpulan bahawa amalan (qiyamullail) ini menjadi faktor utama keagungan angkatan umat Islam di zaman yang awal itu.

Berdasarkan kepada  fakta-fakta di atas, maka amat jelas kepada kita semua bahawa amalan ini merupakan amalan rohani Islam yang dilaksanakan oleh  angkatan umat Islam di zaman yang awal  untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan). Dengan kata-kata lain, angkatan umat Islam di zaman yang awal itu terutamanya angkatan sahabat lebih sempurna taqwa mereka  kerana lebih memahami hakikat Islam sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat atau yang zahir mahupun yang batin. Oleh sebab itulah, maka mereka telah mencapai kejayaan gemilang di dunia dan pernah mewarnai tamaddun manusia sejagat dengan tamaddun Islam yang gilang gemilang. Berbanding dengan umat Islam hari ini semakin hari semakin menuju ke arah kehancuran akibat mengabaikan amalan rohani Islam yang utama ini.

Proses kemerosotan dan kemalapan ilmu dan amalan Islam dari satu masa ke satu masa yang lain, sehingga ilmu dan amalan Islam yang syumul, lengkap dan sempurna pada zaman awal itu, akhirnya seolah-olah telah hampir tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan umat Islam sendiri. Banyaknya bidang ilmu dan kefahaman agama  hari ini seperti ilmu tauhid, ilmu fiqah, ilmu hadis, ilmu tafsir, ilmu dakwah, falsafah Islam, ilmu kalam, tamadun Islam, ilmu usuluddin, sirah Nabi SAW dan sebagainya untuk menghuraikan dan memperincikan ilmu dan amalan Islam di zaman yang awal itu, banyaknya kitab-kitab, kertas-kertas kerja dan tesis-tesis pengajian (agama) yang diterbitkan, dan banyaknya universiti Islam didirikan di seluruh negara Islam tidak dapat dijadikan ukuran tentang adanya perkembangan, dan kemajuan ilmu dan amalan Islam yang pesat, yang semakin unggul dan sempurna. Sebab, dalam keadaan yang begitu umat Islam semakin jahil untuk memahami dan menghayati hakikat intisari ajaran Islam yang sebenar-benarnya seperti yang difahami dan dihayati oleh angkatan umat Islam pada zaman awal itu. Begitulah realitinya umat Islam hari ini semakin tidak kenal Allah SWT (hati menjadi keras), terputus tali kerohanian atau  tergelincir dari sendi akidah, melupai Akhirat, derhaka, zalim, ganas,  jatuh menjatuh, tindas menindas, menipu dan mengamalkan rasuah, tamak, gejala murtad, sanggup berbunuhan sesama saudara Muslim dan bergelumbang dengan berbagai gejala negatif atau maksiat seolah-olah sebagai manusia tanpa agama sedangkan semua itu berlaku dalam keadaan agama diperkatakan di mana-mana.

Ternyata, umat Islam  hari ini hanya sekadar berbangga membaca dan mempelajari tajwid al-Quran sehingga lanjut usia, sentiasa menghadiri majlis bacaan kitab-kitab atau ceramah agama  (melonggokkan pengetahuan ilmu fiqah), menjadi hafaz al-Quran, menterjemah  al-Quran serta  hadis-hadis Nabi SAW dan kemudian mentafsirkannya secara mendalam (berbelit-belit)  supaya bersarang  pada akal. Demikianlah  suasana umat Islam hari ini yang sudah terlalu banyak membuang masa dengan sia-sia sekadar membaca kitab-kitab atau mendengar ceramah agama, berteori, berslogan, berhujah, berforum, bermotivasi  atau berseminar sebagai mencuba pelbagai cara atau jalan tarbiyah keimanan  “mee segera” (pemahaman teori tauhid), tetapi mereka terus gagal untuk mencapai khusyuk hati terhadap Allah SWT. Jika tidak berasaskan kepada  amalan zikrullah dan qiyamullail maka selagi itulah ianya tidak akan berhasil membentuk ummah yang memiliki hati yang sentiasa menghayati keagungan dan kesempurnaan Allah SWT (kesempurnaan hati). Amalan-amalan rohani Islam inilah yang membezakan jalan pencapaian kesempurnaan hati/akidah umat Islam hari ini berbanding dengan angkatan umat Islam di  zaman yang awal  itu.  Sesungguhnya  amalan-amalan   ini  sudah menjadi amalan biasa yang menyeluruh di kalangan mereka  untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan) dan keredaan-Nya.

No comments: