Titik permulaan ilmu Akidah Islam bukanlah bermula di zaman pemerintahan kerajaan
Abbasiyyah (fahaman Muktazilah dan ilmu Sifat 20, iaitu mazhab
Asy’ariah-Maturidiah) sekitar kurun ke 9
M. dan mazhab Wahabi di Arab Saudi (teori Tauhid Wahabi) pada kurun ke 18
M. yang diasaskan menerusi hujah-hujah
dan debat yang tercela (tidak memberi manfaat kepada aspek rohani, iaitu gagal
mencapai khusyuk hati terhadap Allah), tetapi
ilmu (akidah) itu mesti didasarkan dari dua sumber utamanya iaitu
al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. yang telah memfokuskan tasawwur Akidah Islam kepada satu hakikat bahawa memperbanyakkan
berzikir kepada Allah sebagai inti pati
dan tonggak utama untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah.
Hakikatnya, amalan zikrullah yang dituntut oleh al-Quran
sebagai satu tuntutan wajib ke atas setiap mukalaf adalah bertitik tolak
daripada makna teras yang terkandung di dalamnya, iaitu mentauhidkan Allah
dalam semua keadaan dan ia boleh dicapai menerusi proses menyebut-nyebut dan
mengingati kalimah (Allah) itu. Dengan kata-kata lain, golongan (ahli
zahir) ini seolah-olah menganggap peraturan
yang ditetapkan oleh al-Quran
(memperbanyakkan berzikir kepada Allah) itu tidak lengkap atau tidak sempurna, dan masih memerlukan
perubahan atau ijtihad tanpa mereka sedari bahawa Allah S.W.T.
menjadikan amalan ini sebagai seutama-utama
ibadat (menjadikan segala amal ibadat itu mulia atau sempurna)
berpandukan kepada firmanNya:
وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ
Maksudnya;
“Dan zikrullah itu adalah seutama-utama ibadat”
(Surah al-Ankabut, ayat: 45)
Al-Quran membawa kepada
manusia satu konsep tasawwur penting dalam Akidah Islam iaitu berzikir
mengingati Allah sebagai wasilah atau jalan
yang mampu menyampaikan seseorang
kepada makrifah (mengenal) Allah S.W.T. atau mencapai
kesempurnaan akidah. Ternyata al-Kitab mengkehendaki supaya umat Islam
memfokuskan tasawwurnya kepada satu hakikat bahawa berzikir kepada Allah sebagai tonggak utama dalam Akidah al-Quran.
Amalan rohani Islam ini mempunyai tahap hubungan yang tinggi dan erat dengan
Allah dan Dia begitu hampir dengan hamba-hambaNya. Pandangan berkenaan
dikukuhkan lagi dengan firman Allah S.W.T:
وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ..
“Dan Dia berserta kamu di mana-mana pun kamu
berada.”
(Surah al-Hadid, ayat: 4)
FirmanNya lagi:
وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ
مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
Maksudnya:
“Dan Kami lebih
dekat kepadanya dari urat lehernya (sendiri).”
(Surah Qaf, ayat: 16)
Secara jelas, al-Quran telah
menetapkan bentuk tasawwur akidah yang tersendiri, tidak didahului sebelumnya
oleh hujah-hujah dan debat tercela (ilmu Kalam dan teori Tauhid Wahabi). Di
dalamnya terdapat pengertian proses menyebut dan mengingati Allah yang begitu luas lagi memberi kesan kepada
fitrah manusia yang dapat
membersihkan jiwa pelakunya daripada
pelbagai sifat kecelaan dan menghiasinya dengan pelbagai sifat mulia. Banyak ayat
Allah di dalam al-Quran yang memerintahkan ummahNya supaya memperbanyakkan berzikir kepadaNya untuk dijadikan hujah
yang mewajarkan amalan tersebut adalah
disyarakkan.
Tuntutan al-Quran menonjolkan suruhan
supaya mempelajari amalan zikrullah sekali gus menunjukkan amalan rohani
Islam ini adalah dikasihi Allah S.W.T. serta mempunyai kelebi- han, keagungan
dan kemuliaan khusus di sisiNya (pengukuhan tauhid). Menyedari hakikat ini,
dapatlah difahami bahawa tuntutan memperbanyakkan berzikir kepada Allah berperanan sebagai permulaan perjalanan menuju kepada mengenal Allah S.W.T. seperti firman Allah:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya:
“Adakah belum sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman itu untuk
mengkhusyukkan hati mereka dengan mengingati Allah (berzikrullah).”
(Surah al-Hadid, ayat: 16)
Allah S.W.T. juga berfirman, maksudnya:
“..Dan Allah
sentiasa memberi hidayah kepada orang yang benar-benar kembali kepadaNya.
Mereka itu adalah orang yang beriman (dan beramal soleh) dan hati mereka
mutmainnah (tenang) dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah hati itu
akan menjadi mutmainnah (tenang).”
(Surah al-Ra’d, ayat: 27-28)
FirmanNya lagi:
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang
bertaqwa apabila disentuh
rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka
menjadi orang-orang yang mempunyai pandangan (khusyuk hati).”
(Surah al-A’raf, ayat: 201)
Kategori Amalan Zikrullah
Para ulama telah membuat beberapa
pengelasan tentang amalan zikrullah berasaskan penelitian dan kefahaman mereka
terhadap al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. iaitu zikir al-Lisan, zikir al-Qalb,
zikir al-Khafi, zikir al-Jahr, zikir al-Sirr, zikir al-Muqayyad,
zikir al-Mutlaq, zikir al-Munfariq, zikir al-Jama’ah,
zikir al-‘Am, zikir al-Khas, zikir Haqiqi dan zikir al-Roh.
Keseluruhan
pengelasan zikir tersebut jika ditelitikan adalah merujuk dua elemen, iaitu
pertama, atur cara serta waktu zikir dilaksanakan, dan kedua, kefahaman yang
diperolehi hasil daripada pelaksanaan zikir tersebut. Pengelasan zikir yang
dilihat mengandungi elemen pertama seperti zikir al-Lisan, iaitu zikir
yang dilakukan dengan lidah, zikir al-Qalb dilakukan dengan hati, zikir al-Khafi
dilaksanakan secara perlahan. Zikir al-Jahr dilaksanakan dengan suara
lantang, zikir al-Muqayyad tidak terikat dan terbatas dengan masa,
zikir al-Munfarid dilakukan secara berseorangan dan zikir al-Jama’ah
dilakukan secara berkumpulan.
Manakala zikir yang
mengandungi elemen kedua pula adalah zikir al-‘Am iaitu mana-mana
zikir yang dilaksanakan bertujuan memperolehi ganjaran pahala (fadilah),
namun pada wak- tu yang sama bermacam-macam sifat buruk pelakunya seperti
sombong, angkuh, hasad dan lain-lain tidak menjadi keutamaan kepadanya untuk
dihakiskan melalui amalan zikir tersebut. Zikir al-Khas atau dikenali
juga dengan zikir al-Hudur dilakukan dengan fokus untuk mencapai makrifah
(mengenal) Allah di samping dapat membersihkan jiwa pelakunya daripada
pelbagai sifat kecelaan dan menghiasinya dengan pelbagai sifat mulia. Zikir Haqiqi
juga dikenali sebagai zikir al-Roh adalah merujuk penyaksian (musyahadah)
Allah kepada hamba.
Istilah-istilah zikir di atas
digunakan oleh sesetangah ulama Tasawuf seperti
Ibn ‘Ata’illah al-Iskandari, Abd al-Qadir al-Jili, Abu Isma’il al-Harawi dan
lain-lain lagi. Istilah-istilah tersebut diketengahkan bertujuan menerangkan
kedudukan orang-orang yang berada di suatu peringkat zikir, iaitu keseluruhan
tumpuan ingatan mereka adalah hanya kepada Allah S.W.T. Orang yang berada di
peringkat zikir tersebut mungkin pula akan melalui beberapa tahap ingatan yang
berbeza. Tahap pertama iaitu ingatan hanya tertumpu kepada Allah, namun pada
waktu yang sama kesedaran terhadap diri masih wujud. Tahap kedua, kesedaran
ingatan hanya kepada Allah semata-mata dalam keadaan lenyap rasa sedar terhadap
diri sendiri. Tahap ketiga, lenyap kesedaran bahawa dia mengingati Allah kerana
menyaksikan hakikat zikir tersebut berasal dari perbuatan Tuhan Yang Esa, maka
tiada yang lain bersertaNya. Malahan setiap tahap yang diisitilahkan oleh ahli
Tasawuf tersebut bertujuan menggambarkan perbezaan antara satu dengan lainnya.
1. Mentauhidkan Allah Dalam Kalangan Para Sahabat Menerusi Memperbanyakkan Berzikir Kepada Allah (Akidah
al-Quran)
Mentauhidkan Allah dari satu aspek adalah satu bentuk hubungan ingatan seseorang kepada Allah S.W.T. Maksudnya, seseorang tidak mungkin
dapat mentauhidkanNya selagi tidak timbul dalam kesedaran ingatannya bahawa
Allah adalah Tuhan Yang Esa. Kesedaran ingatan bahawa Allah merupakan Tuhan Yang
Maha Esa, tiada sekutu bagiNya dari aspek zat, sifat dan perbuatanNya di
samping memiliki segala sifat kesempurnaan dan Maha suci daripada sebarang
sifat kekurangan, semuanya itu menimbulkan keyakinan seseorang kepada keesaan
Allah.
Keyakinan seseorang itu akan
menjadi teguh apabila aspek kesempurnaan dan keagungan Allah S.W.T. yang
dinyatakan di atas segar dalam kesedaran ingatannya. Seterusnya, ingatan yang
kental kepada Allah yang dimaksudkan itu boleh wujud menerusi suatu proses
menyebut dan mengingati nama-nama dan
sifat-sifat kesempurnaanNya. Malah, apabila ingatan seseorang kepada Allah
kuat, maka tahap keyakinannya kepada Allah akan semakin teguh dan begitu juga
sebaliknya, jika tahap ingatannya kepada Allah lemah, maka tahap keyakinannya
kepada Allah turut lemah. Oleh kerana itu didapati berzikir terus menerus yang dituntut oleh al-Quran sebagai
tuntutan wajib ke atas setiap mukalaf dengan
maksudnya adalah lebih jauh daripada sekadar sebutan lisan. Ini kerana inti
pati kepada tuntutan tersebut ialah supaya terbentuk satu sifat teras iaitu
mentauhidkan Allah dalam dalam semua keadaan serta taat dan patuh kepadaNya
dalam setiap detik kehidupan mukalaf, yang dengannya akan terhasil sifat ubudiyyah
(kehambaan) iaitu tujuan utama penciptaan
jin dan manusia.
Dalam hal ini, Nabi s.a.w.
pernah mengaitkan hubungan memperbaharui iman dengan memperbanyakkan berzikir
apabila sahabat r.a. bertanya tentang cara memperbaharui iman yang dimaksudkan
itu. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Perbaharuilah iman kamu dengan banyak
menyebut dan mengingati ‘La ila ha
Ilallah’. Dalam hadis tersebut, Nabi
s.a.w. telah menjelaskan hubungan yang signifikan antara memperbaharui iman
dengan memperbanyakkan sebutan dan ingatan terhadap kalimah ‘La ila ha Ilallah’. Mafhumnya, seseorang
yang menyebut-nyebut serta mengingati turutan makna zikir tersebut sudah pasti
menghasilkan suatu ingatan yang kental kepada Allah S.W.T. dan seiringan dengan
itu akan meneguhkan keyakinannya terhadapNya. Maka keteguhan dan kekentalan
keyakinan seseorang kepada Allah yang dicapai menerusi memperbanyakkan menyebut
serta mengingati Allah (Akidah al-Quran) itu yang dimaksudkan dalam konteks
Hadis tersebut juga boleh difahami bahawa apabila aspek mengingati Allah
lemah dalam diri seseorang, maka sifat iman seseorang juga turut menjadi lusuh atau lemah. Dengan
itu, dapatlah disimpulkan bahawa amalan zikrullah yang dituntut oleh al-Quran
sebagai satu tuntutan wajib ke atas setiap mukhalaf adalah bertitik tolak
daripada makna teras yang terkandung dalamnya, iaitu mentauhidkan Allah dalam
semua keadaan dan ia boleh dicapai menerusi menyebut-nyebut dan mengingati
kalimah itu.
Munculnya ilmu
Akidah baru dalam Islam yang diberi nama ilmu Kalam (fahaman Muktazilah dan mazhab
Asy’ariah-Maturidiah/ilmu Sifat 20) semasa pemerintahan Khalifah al-Ma’mun
pada kurun ke 8 M. (kerajaan Abbasiyyah) dan teori Tauhid Wahabi di Arab
Saudi pada kurun ke 19 M. telah mengelirukan dan menyelewengkan umat Islam
daripada memiliki tasawwur akidah yang sebenar. Dengan perkataan lain, yang dibicarakan di dalam siri ceramah agama
atau bacaan kitab-kitab dalam kalangan ummah masa kini tentang sifat-sifat Allah (ilmu Kalam) dan teori
Tauhid Wahabi itu bukanlah ilmu Akidah al-Quran dalam pengertian yang sebenarnya
tetapi hanyalah sebagai pengetahuan tentang pengertian Rabb, sifat-sifat
Allah dan af’alNya.
Inilah yang dimaksudkan
oleh Imam al-Ghazali (m. 505 H.) bahawa jalan mentauhidkan Allah yang
dicetuskan menerusi proses menyebut dan mengingati Allah secara berterusan yang dilaksanakan
oleh para sahabat r.a. untuk membentuk sifat teras iaitu
mentauhidkan Allah dalam semua keadaan
seolah-olah sudah tidak diketahui oleh para ulama Mutakallimin (ulama Kalam) di zamannya dan jika difahami juga
mereka tidak bersifat dengannya. Ternyata golongan (ahli Kalam) hanya menumpukan kepada pemahaman ilmu Kalam
untuk menimbulkan keyakinan akal bagi mengesakan
Allah S.W.T. Oleh sebab itu, be- liau mengatakan bahawa para sahabat r.a.
berpegang kepada seluruh perkara dari Allah Azza wa Jalla kerana mereka sentiasa
memiliki ingatan yang kental dan
keteguhan keyakinan kepada Allah S.W.T. menerusi memperbanyakkan berzikir
mengingati Allah dalam kehidupan harian.
Beliau
seterusnya menjelaskan bagaimana umat Islam di zamannya yang telah menukar
istilah ‘ahli Kalam’ kepada ‘ahli Tauhid’ dan para ulamanya ‘Mutakallimin’ itu pula dinamakan sebagai ‘ulama Tauhid’.
Sebaliknya, semua ciri-ciri khas ilmu Kalam
itu tidak pernah dibicarakan di zaman generasi umat Islam yang awal. Sesungguhnya
mereka (para sahabat) sangat mengingkari orang
yang membukakan pintu perdebatan dan membuka jalan ke arahnya. Ada pun
yang terkandung di dalam al-Quran dari dalil-dalil zahir (Hadis-hadis Nabi s.a.w.)
yang diterima pada awal pendengaran telah dipersetujui sebagai ilmu al-Quran.
Diriwayatkan
bagaimana seorang Badwi buta huruf yang
datang berjumpa Nabi s.a.w. dan beliau mampu memahami ta- sawwur Akidah Islam
(amalan zikrullah) hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan setelah pulang ke
kampung halamannya, beliau mampu mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah
(Islam) yang sebenar. Namun dalam
kalangan umat Islam masa kini, tarbiyah akidah yang dilaksanakan menerusi pemahaman
ilmu Kalam dan teori Tauhid Wahabi begitu
berfalsafah dan menyusahkan! Oleh sebab itulah, maka bukan orang biasa sahaja
yang sukar untuk memahami maksud aspek rohani itu, tetapi para mahasiswa pun tidak memahaminya. Malah, seseorang Muslim
itu bukan bertambah sempurna akidahnya, tetapi bertambah kusut pemikirannya
tentang aspek akidah. Sehingga lanjut usia, mereka masih dalam kesamaran dan
kebingungan, dan jalan tarbiyah ilmu Akidah reka cipta itu pula
tidak dapat diterap dalam amal ibadat dan kehidupan harian (gagal mencapai khusyuk hati terhadap Allah).
Diajar ilmu Akidah tentang pengertian Rabb, sifat-sifat Allah dan af’alNya,
padahal penganut-penganut agama lain juga menyatakan sifat-sifat tuhan mereka
seperti ada dan berada di atas langit, mempunyai muka, tangan, mata, rusuk,
boleh turun naik, berkuasa, mendengar atau tidak pekak, melihat atau tidak buta
dan sebagainya yang dilonggokkan pada akal. Apakah beza pegangan orang kafir (terhadap
sifat-sifat tuhan mereka) berbanding akidah
umat Islam di zaman ini yang ditarbiyahkan menerusi ilmu Akidah reka cipta (dilonggokkan pada akal)? Tanpa mereka
(golongan ahli zahir) sedari bahawa pengetahuan sifat-sifat Allah dan mendefinasikan Rabb (pada
akal) itu tidak dapat membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat keji) dan
mereka sentiasa gagal untuk mencapai khusyuk hati kepada Allah dan tenggelam
dalam lautan lalai semasa mengerjakan segala amal ibadat.
Ternyata segala
hujah-hujah dan debat yang tercela itu hanyalah sekadar ilmu yang berpaut
pada akal atau hafalan semata-mata yang tidak mampu menjangkau atau mencerap
alam roha- niah (alam malakut) dan akan sentiasa muncul pelbagai persoalan
yang tiada kesudahan (waswas syaitan dalam diri), dan sentiasa memerlukan
penghuraian yang mendalam (ilmu Kalam dan teori Tauhid Wahabi) bertujuan
mengisbatkan wujudnya Allah S.W.T. Malah, tanpa mereka sedari bahawa
sifat-sifat Allah dan af’alNya ini tidak
pernah diperdebatkan atau dibahaskan oleh generasi umat Islam di zaman yang
awal. Hakikatnya, apa yang disangka ilmu akidah itu bukanlah ilmu Akidah
al-Quran yang sebenar, tetapi merupakan hujah-hujah dan debat yang tercela
sekadar menjadi tarbiyah akidah ikut-ikutan yang begitu rapuh dan goyah
sifatnya.
2. Usaha Iblis Untuk Menguasai Hati
Apabila iblis dan syaitan
mengetahui dan menyedari, pusat operasi terpenting dalam tubuh badan manusia
ialah hati, maka mereka berusaha sedaya upaya untuk menguasai pusat itu de- ngan
cara mewujudkan perasaan waswas kepadanya (waswas syaitan), menghiasi nafsu dan
syahwat, dan melariskan gerak kerja anggota zahir yang boleh menyelewengkan
seseorang daripada jalan yang lurus. Iblis menguatkan pula dengan
sumber-sumber luar (pengaruh persekitaran dan masyarakat) yang menjadikan
manusia jauh dari mendapat hidayah dan pertolongan dari Allah S.W.T. Berbagai
jerat dan jaring digunakan iblis dan syaitan untuk mempengaruhi manusia.
Andaikata manusia terselamat daripada terjebak ke dalam satu jaring, ia tetap
tidak dapat mengelakkan diri daripada menempuh halangan lain dalam perjalanan
untuk mencapai ‘mardhatillah’.
Terlalu sedikit manusia yang terselamat
daripada tipu daya iblis dan syaitan ini kecuali golongan orang-orang yang mampu
berzikir dan mujahadah dengan
bersungguh-sungguh untuk melepaskan dari jerat-jerat (sifat-sifat keji) bertujuan
mempengaruhi manusia. Allah S.W.T. berfirman di dalam al-Quran yang mulia
itu:
إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya
hamba-hambaku yang ikhlas, tidak akan dapat dipengaruhi oleh mereka (syaitan).”
(Surah
al-Hijr, ayat: 42)
Berkata Sayyidina Ali bin Abu Talib r.a:
“Sesungguhnya
semua manusia bersungut atas iblis, namun
iblis juga bersungut ke atas orang yang berzikrullah.”
Lalu beliau pun membaca firman Allah S.W.T:
إِنَّ
الَّذِينَ اتَّقَواْ إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُواْ
فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang
bertaqwa apabila disentuh
rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka
menjadi orang-orang yang mempunyai pandangan (rahmat Allah ).” (Surah al-A’raf, ayat: 201)
Allah S.W.T juga telah berfirman:
قَالَ رَبِّ بِمَا
أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
قَالَ هَذَا صِرَاطٌ عَلَيَّ
مُسْتَقِيمٌ
Maksudnya:
“Iblis berkata,
‘Wahai Tuhanku! Kerana engkau telah menjadikan daku sesat, sesungguhnya aku akan
memperindahkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini
dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas
di kalangan mereka’. Allah berfirman: ‘Inilah jalan yang lurus yang Aku tetap
memeliharanya’.” (Surah al-Hijr, ayat: 39-41)
Hati berdasarkan fitrah
ciptaan Allah (tanpa pelbagai hijab) bersedia menerima petunjuk Ilahi, tetapi
oleh kerana ia dibentengi oleh kehendak hawa nafsu syahwat dan waswas syaitan
menjadikan ia menyeleweng dan berpaling dari petunjuk Allah (hati yang mati).
Hati sentiasa menjadi rebutan antara tentera malaikat yang ditugaskan untuk menjaga
hati manusia (‘nur zikrullah’) dengan tentera syaitan yang berusaha
keras untuk menjajah dan menaklukinya, sehingga hati itu menyerah kepada salah
satu daripada dua bala tentera ini. Apabila hati sudah dikuasai dan dijajah
oleh mana-mana tentera ini, tentera ini akan menguatkan cengkamannya ke atas
hati dan seterusnya membuat penempatan dan membuka operasi pentadbirannya di
sana. Inilah yang dimaksudkan di dalam firman Allah S.W.T.:
مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ
Maksudnya:
“Daripada
kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa tersembunyi.”
(Surah al-Nas, ayat: 4)
FirmanNya lagi.
وَلِتَصْغَى إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ
وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُواْ مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ
Maksudnya:
“Dan agar hati
kecil orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan
(syaitan) itu dan agar mereka merasa senang kepadanya serta supaya mereka mahu
mengerjakan apa yang dikerjakan oleh syaitan itu.”
(Surah al-An’am, ayat: 113)
Bala tentera syaitan dan
iblis akan menjauhi golongan orang-orang yang mampu berzikir terus menerus (zikrul-Qalb).
Apabila ia lalai dari berzikir, maka syaitan dan iblis akan ambil kesempatan
menguasai hati. Tidak ada amalan lain yang mampu menghalau tentera syaitan dan
iblis kecuali melaksanakan amalan rohani Islam. Tentera syaitan dan iblis
tidak dapat menguasai hati yang sentiasa berzikrullah kerana hati mereka
dipenuhi oleh nur hidayah Ilahi (nur zikrullah). Sesungguhnya tentera syaitan dan iblis sentiasa berusaha
menghalang manusia dari mendapat petunjuk Ilahi dengan menyesatkan mereka
dengan jalan melalaikan dari berzikir dan sentiasa menurut kehendak hawa nafsu.
3. Praktik Zikir Sebagai Jalan Makrifah
Suatu perkara yang disepakati
bersama-sama oleh semua sarjana Islam iaitu tuntutan berzikir mengingati Allah
dalam al-Quran. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang secara jelas me nganjurkan
sebutan lafaz Allah itu sendiri samada
dalam bentuk arahan, galakan atau dalam bentuk ancaman terhadap orang yang meninggalkannya. Amalan rohani Islam inilah yang pernah ditanyakan oleh
Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. kepada
Nabi s.a.w. sebagai jalan (tarekat Tasawuf) untuk mencapai keredaanNya. Tanya
Sayyidina Ali r.a:
“Ya Rasulullah!
Ajarkanlah kepada ku jalan yang paling dekat untuk sampai kepada Allah S.W.T.,
paling mudah (diamalkan) oleh hamba-hamba Allah dan yang paling afdhal (terbaik)
di sisi Allah .”
Nabi s.a.w. menjawab dengan sabdanya:
“Wajiblah atas
engkau berterusan berzikrullah secara sirr (di dalam hati tanpa suara) dan
secara terang (dengan suara).”
Gagasan anjuran berzikir terus
menerus yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. ditonjolkan
secara jelas dan terang, bahawa pengamalannya adalah dituntut sebagai satu
amalan yang penting bagi setiap mukalaf. Malah, al-Quran menggambarkan
suatu kewajipan setiap individu Muslim mempelajari amalan itu sebagai dalil
khusus mewajibkan amalan tersebut. Oleh sebab itulah, maka Allah S.W.T.
berfirman:
وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ
لَمِنَ الضَّآلِّينَ
Maksudnya:
“Dan
berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk
kepada jalan berzikrullah mu/zikir darajat). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu
termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat (memiliki hati yang mati).”
(Surah
al - Baqarah, ayat: 198)
Apabila konsep amalannya
termaktub dalam sumber utamanya, iaitu al-Quran dan al-Sunnah, di
samping terserlah kepentingan
pengamalannya dalam mencapai kesempurnaan akidah (makrifah Allah),
dapatlah difahami bahawa tuntutan memperbanyakkan berzikir mengingati Allah bukan sekadar
suatu galakan atau suatu anjuran amalan sunat kepada setiap mukalaf. Malahan ia merupakan amalan yang cukup
berkesan dalam hubungan makrifah (mengenal) Allah serta sifat-sifat
kesempurnaan dan keagunganNya.
Memandang pelbagai kejadian Allah adalah
penting kerana tanpa menerusinya seseorang tidak mampu mengenali Allah sampai
ke peringkat sebaik-baiknya. Sebagai contoh, apabila seseorang melihat satu
kejadian Allah seperti memandang kejadian langit, pada waktu yang sama,
pandangan rohaninya berperanan menghubungkan kejadian yang dilihat itu kepada
Allah sebagai Penciptanya. Namun begitu, pandangan hati/rohani sesorang itu
hanya mampu berfungsi apabila kekuatan ‘nur zikrul- lah’ telah memenuhi
segenap sudut hatinya menerusi amalan zikir yang sentiasa dilakukan. Ketika
itu, akan timbul dalam kesedaran akal dan hati seseorang rasa wujud Allah
yang sangat kental, sehingga membolehkannya menghubungkan setiap kejadian
alam yang dilihat kepada makna kebesaran dan keagungan Allah S.W.T. yang
merupakan sebahagian daripada makna alam malakut yang terkandung dalam
setiap penciptaan Allah. Semakin teguh ingatan kepada Allah, semakin tinggi
peringkat zikir yang dicapai oleh seseorang.
Berdasarkan hujah-hujah atau dalil-dalil yang telah dihuraikan di atas,
rasanya telah memadai untuk membuktikan bahawa amalan zikir mengingati Allah adalah tonggak
utama dalam Akidah al-Quran. Amalan ini adalah satu jalan terbaik untuk
sampai kepada mengenal Allah, di samping merasa kasih serta takut kepadaNya dan
mencapai pelbagai tingkatan iman yang sempur- na. Ternyatalah memperbanyakkan proses
menyebut dan mengi- ngati Allah adalah suatu kewajipan yang tidak boleh
diketepikan sama sekali kerana ia merangkumi makna beriman kepada Allah. Akidah
al-Quran (berzikir mengingati Allah terus menerus) adalah begitu mudah dan
ringkas untuk difahami dan dilaksanakan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.,
para sahabat dan generasi umat Islam di
zaman yang awal itu. Terbukti baginda dan para sahabat telah berjaya menyebarkan syiar Islam dengan
begitu pantas dan mudah.
Apabila ummah memilih jalan tarbiyah akidah
yang lain maka natijahnya juga akan
menjadi lain. Mereka mesti menolaknya dan kembali mengikut jejak langkah tarbiyah
akidah ge- nerasi umat Islam di zaman
awal itu. Malah, berzikir mengingati Allah terus menerus merupakan suatu
kewajipan menurut Syarak. Kewajipan tersebut merupakan satu instrumen penting
bagi membolehkan seseorang Muslim mencapai makrifah (mengenal) akan
Allah S.W.T. Sebaliknya, golongan ahli zahir masa kini terus menafikan tarbiyah ilmu dan amalan
zikrullah (tarekat Tasawuf), lantas hati mereka mati (tidak berfungsi) dan
mereka hanya beriman kepada Allah secara taklid (ikut-ikutan) sahaja seperti
yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللّهُ مَرَضاً
وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Maksudnya:
“Dalam hati
mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakitnya, dan bagi mereka
seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.”
(Surah al-Baqarah, ayat:10)
4. Perintah Sentiasa
Berzikir Mengingati Allah
Anjuran dan suruhan berzikir
kepada Allah secara terus menerus (sepanjang masa) dalam al-Quran adalah banyak
dan semua itu menggambarkan betapa perlu dan pentingnya kepada seseorang Muslim
dalam menzahirkan sifat kehambaan dirinya kepada Allah S.W.T. menerusi amalan
rohani Islam ini. Oleh itu, berzikir mengingati Allah sebagai Akidah al-Quran adalah satu pekara wajib ke atas
setiap mukalaf. Kitab Allah ini sesungguhnya telah mengubati hati manusia
yang sebelumnya berada di dalam kesesatan (hati yang mati). Ini kerana hakikat
akidah merupakan fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia (hati/roh) dan amalan
rohani ini sebagai wasilah yang terpenting dalam proses untuk menyucikan pelbagai
hijab hati (sifat-sifat tercela).
Al-Quran datang untuk
mengatur keperluan roh manusia itu dengan peraturan yang senang lagi mudah iaitu menerusi berzikir mengingati Allah. Keimanan atau
kesempurnaan akidah ini begitu mudah untuk dicapai (memperbanyakkan proses
menyebut dan mengingati Allah, iaitu Akidah al-Quran) dan tidak ada sebarang
kesukaran untuk memahami dan mengamalkannya (ilmu dan amalan tarekat Tasawuf).
Dengan terbukanya hijab hati mereka
dapat memiliki dan menghayati perkara yang terbaik pada zahir (menjauhi
segala larangan Allah dan melakukan segala suruhanNya) dan sentiasa
mentauhidkan Allah dalam semua keadaan (kesempurnaan akidah).
Allah S.W.T. memerintahkan ummahNya memperbanyakkan berzikir mengingatiNya
berpandukan banyak ayat anjuran menyebut lafaz Allah (berzikir) terus
menerus dalam al-Quran. Antara dalil al-Quran yang menonjolkan anjuran berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya seperti
firmanNya:
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً
وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ
Maksudnya:
“(Orang
berakal) itu ialah mereka yang (berterusan) berzikrullah ketika berdiri,
duduk dan berbaring (sambil) memikirkan (keagungan dan kesempurnaan Allah)
dalam ciptaanNya yang di langit dan di bumi.”
(Surah Ali
Imran, ayat: 191)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً
وَأَصِيل
Maksudnya:
“Hai
orang-orang yang beriman, berzikrullah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya.
Dan bertasbihlah kepadanya di waktu pagi dan petang (sepanjang masa ).”
(Surah al-Ahzab, ayat: 41
- 42)
وَاذْكُر رَّبَّكَ
فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ
وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya:
"Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu
(berzikrullah) dengan merendah diri dan rasa takut dan dengan tidak mengeraskan
suara di waktu pagi dan petang (sepanjang masa) dan janganlah engkau termasuk
(ke dalam golongan) orang-orang yang lalai."
(Surah al - A’raf, ayat: 205)
وَاذْكُر
رَّبَّكَ كَثِيراً وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالإِبْكَارِ
Maksudnya:
“Dan sebutlah
(nama) Tuhanmu (berzikrullah) sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu
petang dan pagi (sepanjang masa).”
(Surah Ali Imran, ayat: 41)
وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيراً
وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْراً عَظِيم
Maksudnya:
“Lelaki dan
perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah (berzikrullah), Allah telah
menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al – Ahzab, ayat:
35)
فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى
جُنُوبِكُمْ
Maksudnya:
“Apabila kamu
selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu berzikrullah kepada Allah dalam
keadaan berdiri dan keadaan duduk serta keadaan berbaring di atas lambung
(sepan- jang masa)
(Surah
al - Nisa’, ayat: 103)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً
فَاثْبُتُواْ وَاذْكُرُواْ اللّهَ كَثِيراً لَّعَلَّكُمْ تُفْلَحُونَ
Maksudnya:
“Hai
orang-orang yang beriman, apabila kamu berperang dengan kaum kafir hendaklah
kamu tetap (taqwa), serta berzikrullah sebanyak-banyaknya (sepanjang masa),
mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan.”
(Surah al - Anfal, ayat: 45)
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ
حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
Maksudnya:
“Sesungguhnya
telah ada pada diri Rasulullah (S.A.W.) itu ciri tauladan yang baik bagimu
(iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari
Kiamat dan dia banyak berzikrullah (sepanjang masa).”
(Surah al -
Ahzab, ayat: 21)
فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ
وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيراً لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya:
“Apabila telah
ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan
Allah (rezeki) dan berzikrullah sebanyak-banyaknya (sepanjang masa).”
(Surah al -
Jumu’ah, ayat: 10)
وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيل
Maksudnya:
“Bertasbihlah
pada waktu malam yang panjang pada malam hari.”
(Surah al-Insan, ayat: 26)
وَاذْكُرُواْ اللّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ
Maksudnya:
“Dan
berzikrullah (di Mina pada musim Haji) beberapa hari yang berbilang-bilang.”
(Surah al - Baqarah, ayat: 203)
Ayat-ayat Allah di atas menyeru
umat Islam supaya memperbanyakkan
menyebut serta mengingati Allah dan
fakta ini sudah cukup jelas membuktikan bahawa amalan ini adalah satu perkara
wajib ke atas setiap mukalaf dengan maksudnya adalah lebih jauh daripada sekadar sebutan
lisan. Ini kerana inti pati kepada tuntutan tersebut ialah supaya terbentuk
satu sifat teras iaitu mentauhidkan Allah dalam semua keadaan serta taat dan patuh kepadaNya
dalam setiap detik kehidupan. Inilah tasawwur Akidah al-Quran yang diwahyukan
oleh Allah S.W.T. Sumber ini tidak ada sebarang sandaran kepada yang selainNya,
lantaran itulah ia berbeza daripada tasawwur akidah reka cipta manusia (hujah-hujah
dan debat yang tercela) yang bersifat falsafah atau lahir daripada hasil
pemikiran (lojik akal) berhubung sifat-sifat Allah dan pengertian Rabb.
Dari fakta-fakta ayat al-Quran
dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa
berzikir mengingati Allah sebanyak-banyaknya merupakan amalan yang
disyarakkan berdasarkan dalil khusus yang menganjurkan umat Islam supaya
sentiasa berzikir kepada Allah (Akidah al-Quran). Hakikatnya, amalan ini merupakan
bahagian asasnya yang sangat penting kerana tanpanya maka agama Islam bukan
sahaja tidak akan sempurna tetapi akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Amalan
ini penting dalam Islam kerana ianya mampu menyampaikan seseorang kepada
mengenal Allah S.W.T. dan menjadi roh atau inti pati bagi segala amal ibadat
seperti solat, haji, jihad, mencari rezeki, puasa dan sebagainya. Kepada
golongan yang ingin memiliki tasawwur terhadap akidah yang sebenar, mereka
mesti mengikut peraturan yang telah ditetapkan Allah S.W.T. di dalam al-Quran
(memperbanyakkan berzikir mengingati Allah) yang sudah tergambar dengan jelas
dan nyata. Malahan kita harus meninggalkan tarbiyah akidah menerusi pemahaman
ilmu Akidah reka cipta yang tiada hubungan dengan roh/hati.
5. Kemurkaan
Allah Terhadap Orang Yang Lalai Berzikir MengingatiNya
Golongan ahli zahir sentiasa mengabaikan amalan rohani Islam ini kerana kekeliruan dalam memahami tuntutan
berzikir mengingati Allah menurut al-Quran sebagai tuntutan wajib yang mana maksudnya
adalah lebih jauh daripada sekadar sebutan lisan. Oleh itu, zikir lisan yang dipraktikkan dalam
keadaan hati yang lalai dianggap tidak lebih menjadi zikir adat (zikir
al-‘adah), iaitu zikir menjadi adat kebiasaan yang tidak menambahkan
sebarang kebaikan kepada pengamalnya. Malah, lebih jauh dari itu, ia dianggap
sebagai zikir lalai (zikir al-ghaflah) yang balasan amalan bakal
diterima oleh pelakunya hanyalah laknat (azab siksa) serta dijauhkan
daripadanya rahmat.
Dalam hal ini, Fakr al-Din
al-Razi yang merupakan ahli Tafsir yang muktabar menerangkan bahawa:
“Maksud berzikir itu ialah seseorang faham makna lafaz
zikir yang diucapkannya di samping menghadir dalam hati makna kebesaran,
keagungan, kemuliaan serta kesempurnaan Allah S.W.T. Hal ini kerana berzikir
yang tidak disertakan ingatan kepada Allah dalam hati adalah tidak berfaedah.
Jika diperhatikan, ulama Fiqah sebulat suara berpandangan bahawa apabila
seorang pembeli berkata: “Saya beli barang ini” dan hal keadaannya tidak memahami
makna ucapan tersebut, maka proses jual beli itu tidak sah.”
Dalam waktu yang sama,
al-Quran telah menegah manusia daripada bersifat lalai mahupun
bersama-sama golongan yang lalai
terhadap berzikir kepada Allah. Di samping itu, al-Kitab turut mendedahkan
berbagai-bagai bentuk janji balasan
buruk terhadap sesiapa yang meninggalkan amalan ini seperti balasan azab
neraka, berada dalam kesesatan, melaksanakan kerja yang keji, syaitan dijadikan
teman untuknya dan sebagainya. Nas al-Quran yang dikemukakan sebagai contoh
kepada maksud tersbut ialah firman Allah:
فَوَيْلٌ
لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Maksudnya:
“Maka besarlah
kecelakaan (azab siksa) bagi mereka yang keras hatinya untuk berzikrullah.
Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
(Surah al -
Zumar, ayat: 22)
اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ
اللَّهِ أُوْلَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya:
“Syaitan telah
menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa berzikrullah (hati yang mati),
mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan
syaitan itulah golongan yang rugi.”
(Surah
al - Mujadalah, ayat:19)
وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً
فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
Maksudnya:
“Dan
barangsiapa yang membelakangi berzikrullah kepada Tuhan yang Maha Pemurah, akan
Kami jadikan baginya syaitan yang akan menjadi rakan.”
(Surah
al - Zukhruf, ayat: 36)
إِنَّمَا يُرِيدُ
الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ
وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللّهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya
syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan melalaikan kamu dari
berzikrullah (memiliki hati yang mati) dan mengerjakan solat. Maka mahukah kamu
berhenti (dari mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang keji itu).
(Surah al –
Maidah, ayat: 91)
Berpandukan catatan beberapa
nas al-Quran di atas menunjukkan bahawa individu Muslim yang tidak berzikir
mengingati Allah terus menerus akan sentiasa terbelenggu dengan para syaitan. Maka
para syaitan inilah yang akan bersama-sama mengendalikan kehidupan hariannya seperti
akidah, amal ibadat, pekerjaan, percakapan, pemikiran, idea, makan minum dan sebagainya. Hakikatnya, jika kita lalai berzikir kepada Allah, maka kita
akan terjebak dalam perangkap syaitan. Oleh itu, apabila umat Islam ingkar
untuk berzikir mengingati Allah terus
menerus (Akidah al-Quran) sedangkan Allah S.W.T. lebih hampir
kepadanya daripada urat lehernya sendiri, maka tiadalah yang lebih malang,
lebih parah dan paling rugi segala usahanya (amal ibadat) di dunia ini, iaitu mereka memiliki hati yang mati (kesesatan).
Lantaran keutamaan dan
keagungan amalan ini (Akidah Islam), al-Quran
telah menghukum dengan hukuman munafik kepada mereka yang sedikit berzikir
mengingati Allah (berzikir dengan lisan semata-mata). Tali rohaniah mereka
terputus atau tergelincir dari landasan
Akidah al-Quran akibat kegagalan berzikir mengingati Allah terus menerus sebagaimana firman Allah S.W.T:
وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ
قَلِيلاً
Maksudnya:
“Mereka itu
(orang-orang munafik) tidak berzikrullah kecuali sedikit sekali.”
(Surah an - Nisa’, ayat: 142)
Ketika mentafsirkan sepotong
ayat dalam surah al-A’raf: ayat 205, Shaikh Fakr al-Din al-Razi telah membuat
satu kesimpulan bahawa: “Ayat ini telah membuktikan wajib seseorang seseorang
itu mengingati Allah sepanjang waktu dan tidak pula melupaiNya walaupun sesaat
mengikut kadar kemampuan manusia yang dikurniakan Allah.”
Sememang tepat benarlah pandangan
para ulama Tasawuf bagaimana fenomena
kemunafikan (menyembunyikan kufur di hati) yang berleluasa berlaku dalam
kalangan ummah masa kini tanpa disedari adalah akibat mengabaikan amalan rohani
Islam (Akidah al-Quran). Golongan (ahli zahir) ini memiliki hati yang mati (lalai
berzikir kepada Allah) dan mereka hanya menumpukan kepada pelaksanaan segala amal
ibadat (Syariat Islam) se- ma tamata,
lantas Allah melupai ummah yang ingkar ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:
يُثَبِّتُ اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ
الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ
اللّهُ مَا يَشَاءُ
Maksudnya:
“Allah
meneguhkan (pegangan) orang yang beriman dengan kalimah yang teguh (zikrullah)
dalam kehidupan dunia dan akhirat. Allah menyesatkan orang-orang yang zalim
(kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki.”
(Surah Ibrahim, ayat: 27)
6. Hadis-hadis Mengenai Keutamaan
Berzikir Mengingati Allah
Berzikir
mengingati Allah merupakan asas yang kuat ke jalan menuju ke hadrat Allah S.W.T.
dan keredaanNya, juga sebagai langkah utama ke jalan menuju rasa cinta (mahabbah)
kepadaNya. Sebabnya, seseorang itu tidak dapat mencapai rasa cinta tanpa
berzikir dan mujahadah. Orang-orang yang beriman dan mencintai Allah S.W.T.
hatinya selalu dihiasi dengan berzikir kepada Allah kerana amalan zikir terus menerus (Akidah
al-Quran) itu merupakan santapan bagi rohani mereka. Hidup dalam kelalaian
tanpa amalan zikir adalah hampa dan
sia-sia (kesesatan). Misalnya, kalau kita mencintai seseorang, maka kita suka
menyebut-nyebut namanya dan selalu ingat kepadanya. Malah, sesiapa pun yang di
dalam hatinya tertanam rasa cinta terhadap Allah, maka dia akan sentiasa menyebut
serta mengi- ngatiNya. Para ulama telah bersepakat bahawa cinta kepada
Allah adalah suatu kewajipan dengan
ketaatan dan ketaqwaan. Oleh itu, langkah pertama menuju kepada lahirnya rasa
cinta kepada Allah adalah menerusi memperbanyakkan suatu proses menyebut serta mengingati Allah.
Nabi s.a.w. amat mengambil
berat terhadap amalan zikir mengingati Allah
dalam kehidupan harian dan
menyifatkan orang yang tidak berzikir itu seperti orang yang mati sebagaimana sabda baginda
yang bermaksud:
“Perbandingan
orang berzikrullah dengan orang yang
tidak berzikrullah, adalah seperti orang
hidup dengan orang yang mati. Orang tidak berzikrullah adalah seperti
orang yang mati.”
(HR Abu Musa r.a)
Nabi s.a.w. juga menjelaskan keutamaan amalan zikir sehingga malaikat Jibril a.s.
mengingatkan baginda supaya sentiasa mengambil berat terhadap berzikir
mengingati Allah sebagaimana sabda baginda
yang bermaksud:
“Malaikat Jibril
a.s. menyuruh aku supaya mengambil berat
terhadap zikrullah sehingga aku menyangka bahawa tiada sesuatu pun
yang boleh menguntungkan aku tanpa berzikrullah.”
(HR Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan dari Jabir r.a)
Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Zikrullah itu
adalah tanda keimanan, pelepasan dari nifaq, benteng godaan syaitan dan
pemeliharaan dari api neraka jahanam.”
Sabda baginda lagi yang bermaksud:
“Allah S.W.T.
berfirman: “Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh
hambaKu, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Jika ia mengingati
Aku di dalam hatinya, maka Aku mengingatinya di dalam hatiKu, dan jika dia
mengingati Aku di dalam jemaah, maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih
baik (jemaah para malaikat). Apabila hambaKu mendekati sejengkal, maka Aku
dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia
dengan berlari.”
(HR Abu Hurairah r.a)
Abu Darda r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bertanya kepada para sahabat
r.a. yang bermaksud:
“Mahukah aku
khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi
Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang
lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak (di jalan Allah) yang lebih
utama daripada menghadapi musuh di tengah-tengah medan jihad, maka kamu
tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu?” Para sahabat berkata:
Bahkan, apakah itu ya Rasulullah s.a.w.?” Sabda baginda: “Zikrullah”.”
Seorang sahabat yang bernama Razin r.a. memberitakan bahawa Nabi s.a.w.
pernah bersabda yang bermaksud:
“Aku khabarkan
kepada engkau akan sumber kekuatan agama yang akan membahagiakan engkau di
dunia dan Akhirat, iaitu majlis-majlis zikir. Maka hendaklah kamu menghadirinya
dan apabila engkau seorang diri hendaklah engkau berzikir sebanyak yang engkau dapat.”
Abu Hurairah r.a. berkata:
“Jika nama
Allah disebutkan di sesebuah rumah maka cahaya rumah yang terang benderang itu
menyilaukan pandangan para penghuni langit seperti bintang dan cahayanya
menyilaukan pandangan para penduduk di bumi ini.”
Abu Hurairah r.a. dan Abu Said r.a. memberitakan bahawa mereka menyaksikan
dan mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada
jemaah yang duduk sambil berzikrullah melainkan dikerumunilah mereka oleh para
malaikat, diliputi mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan
dan disebutkan mereka di sisi Allah S.W.T. di hadapan mereka yang berada di sisiNya.”
Abu Said al-Khudri r.a. memberitakan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah
bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau
berzikir sebanyak-banyaknya sehingga orang mengatakan kamu gila.”
Amalan berzikir mengingati
Allah yang dilakukan akan memancarkan “nur zikrullah” menerusi hati
yang dibersihkan hijabnya. Hasil “nur zikrullah” ini akan menampakkan
tanda-tanda dalam setiap perbuatan dan perkataan kita dalam amal ibadah dan
kehidupan harian kita.
Orang yang hatinya hidup
(sentiasa berzikir mengingati Allah) tidak banyak bercakap kecuali menyebut
lafaz Allah sebagai tanda kecintaan kepada Allah. Tubuh mereka
tidak bergerak kecuali untuk menjalankan perintah Allah. Kata-kata mereka
bebas dari kebohongan, kekejian, hasutan dan fitnah. Fikirannya tajam,
bersinar dan memancarkan kebenaran kerana mendapat petunjuk dari Allah S.W.T.
Malah, lidah mereka mengutarakan apa yang terkandung dalam hati, hati mereka
adalah milik rahsia rohaniah, dan rahsia rohaniah itu adalah petunjuk dan
hidayah Ilahi (ilmu ladduni).
7. Natijah
Zikir, At-Tawajud dan Al-wajd
Para ulama Tasawuf
membahagikan zikir itu kepada tiga jenis iaitu zikir hati (zikir al-Qalb),
zikir lidah (zikir al-Lisan) dan zikir seluruh anggota badan (zikir
al-Jawarih). Mengenai zi- kir seluruh anggota badan (zikir al-Jawarih)
ini merupakan kesan atau natijah dari
zikir hati atau zikir lisan atau kedua-duanya sekali sehingga terasa seluruh
anggota ikut berzikir dan bergetar sebagaimana firman Allah S.W.T.:
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَاباً مُّتَشَابِهاً مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ
جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ
إِلَى ذِكْرِ ال
Maksudnya:
“Allah telah
menurunkan perkataan yang paling baik (al-Quran) yang serupa (mutu
ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya semua kulit (semua
anggota) orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian menjadi tenang
kulit-kulit (semua anggota) dan hati-hati mereka itu ketika mereka mengingati Allah (berzikrullah).”
(Surah al-Zumar, ayat: 23)
Untuk mencapai motif zikir seperti
ayat Allah di atas iaitu orang yang
khusyuk hatinya merasa gementar dengan berzikrullah, maka zikir lisan dengan sebutan Allah.. Allah… Allah (zikir Ism al-Dhat) hendaklah
dilaksanakan secara serentak dengan minda dan bersepadu dengan seluruh anggota
badan terhadap wujud Allah. Kebiasaan zikir ini dipraktikkan oleh seseorang
yang telah mendapat keizinan (bai’ah) daripada guru mursyid untuk
mengamalkannya. Hal ini juga dikenali sebagai zikir darajat yang dilaksanakan
oleh para pengamal tarekat Tasawuf secara
konsisten berserta hemah yang kuat di samping menepati kaedah dan atur cara
pengamalannya sebagaimana telah diajar oleh guru yang membimbing mereka.
Menerusi zikir yang berterusan tersebut, khusyuk hati terhadap
Allah yang sepenuhnya akan tercapai. Kalimah Allah (‘nur zikrullah’)
terasa tertulis dan terpahat di seluruh jasmani dan rohani atau zahir dan
batin. Kalimah Allah terasa meliputi seluruh anggota zahir dari ubun-ubun
hingga ke hujung jari kaki, yang meresap ke dalam darah, kulit, daging,
urat-urat saraf, sendi-sendi, tulang hingga ke sumsum, iaitu merasakan
keagungan serta kesempurnaan Allah S.W.T. menjadikanNya sebagai tempat tujuan dan matlamat
kehidupan ini. Selain itu, ingatan fikiran, emosi dan hati tertumpu hanya
kepada Allah supaya terzahir “hakikat akidah” yang tersirat di dalamnya. Hakikat akidah dimaksudkan
ialah ingatan mereka karam dalam mengingati Allah (fana’fillah) sehingga
kewujudan segala makhluk dirasakan lenyap dalam pandangan basirah,
lantas yang terzahir hanya rasa wujud Allah yang esa.
Demikian juga aspek rohani. Tingkat
ini diistilahkan dengan sultanul-zikri
(raja zikir). Dalam sesetengah aliran tarekat, ia dikenali sebagai peringkat latifah kulli jasadi (zikir seluruh
jasad, zahirnya dan rohaninya). Bila zikir tingkat ini telah tercapai dengan rasa
dalam rohani wujud Allah yang jelas, maka baharulah hati sentiasa menghayati
Allah iaitu terbuka hijab hati, maka hati bukan hanya hidup dan terjaga, tetapi
pandangan mata hati (basirah) akan menjadi terang dan dapat musyahadah
terhadap apa-apa yang Allah kehendaki atau kurniakan kepadanya.
Ketika mata hati itu musyahadah, maka
seluruh kesedaran rohaninya hanya tertumpu kepada Allah semata-mata. Dorongan
dan tumpuan tersebut itulah yang dimaksudkan dengan jadhbah. Orang yang
mendapat jadhbah itu dikenali sebagai orang yang majdhub. Mungkin juga jadhbah itulah antara hakikat yang dimaksudkan dalam firman Allah S.W.T. dalam surah al-Zumar, ayat 23.
Gementarnya seluruh anggota orang yang
takutkan Allah ketika mendengar bacaan
ayat-ayat al-Quran seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas merupakan
kesan dari pengalaman jadhbah, kemudian diikuti oleh keadaan tenang
seluruh jasmani dan rohani ketika musyahadah terhadap Allah S.W.T. yang
diingatinya itu.
Ketika dalam keadaan majdhub itulah juga orang tersebut akan
mendapat fana’ fillah dan baqa’ billah. Oleh sebab itu, maka
orang yang dikatakan telah mempunyai pengalaman dalam mengharungi
berbagai-bagai lautan jadhbah di atas ialah orang yang telah mengalami fana’
dan baqa’ yang tersebut ketika majdhub
itu.
Pelbagai
hal kerohanian yang dialami seolah-olah sebagai satu isyarat, pedoman atau satu
penanda aras kepada tingkatan atau peringkat zikir yang dimiliki oleh seseorang
murid/salik. Mereka yang mempunyai perasaan yang sangat mendalam untuk
mengingati Allah sewaktu berzikir, maka aspek emosi dan aspek fizikalnya turut
berubah. Ini bermaksud tumpuan ingatan fikiran yang kuat kepada Allah mempunyai
pengaruh yang signifikan terhadap perubahan emosi seseorang dan sekali gus melibatkan perubahan perasaan terhadap aspek
fizikalnya. Kepala semacam bergerak dan badan gementar berserta rasa takut bersangatan kepada Allah ketika
berzikir. Secara logik yang boleh difahami, apabila seseorang mengalami
perasaan sangat takut kepada Allah, maka sudah pasti ingatan fikiran seseorang
juga sangat kuat bertumpu kepada
sebahagian daripada makna Kebesaran, Keagungan dan Kesempurnaan Allah. Tidak
mungkin pula seseorang yang diselubungi oleh perasaan takut bersangatan
kepada Allah, dalam waktu yang sama memikirkan tentang perkara yang tiada
perkaitannya dengan Allah.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Mereka
merenggangkan diri dari tempat tidur (sikit sangat tidur kerana mengerjakan
solat tahajjud), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut
(akan kemu- rahanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya).”
(Surah al-Sajdah, ayat: 16)
Allah S.W.T. juga berfirman:
“Allah telah
menurunkan perkataan yang paling baik (al-Quran) yang serupa (mutu
ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya semua kulit (semua
anggota) orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian menjadi tenang
kulit-kulit (semua anggota) dan hati-hati mereka itu ketika mereka mengingati Allah (berzikrullah).”
(Surah
al-Zumar, ayat: 23)
Apabila hubungan antara ingatan fikiran dan emosi seseorang yang
berzikir terjalin secara utuh dan teguh, ia juga turut mempengaruhi fizikal
seseorang. Hal demikian telah dibayang- kan oleh Allah dalam al-Quran sebagai
menggeletar (taqsha’irr) seluruh
anggota (julud) orang-orang yang
takut kepadaNya. Sifat menggeletar seluruh anggota tubuh dan begitu juga
sifat lembut segala anggota (talin juluduhun) adalah salah satu contoh
yang disebut secara langsung dalam al-Quran untuk menunjukkan wujudnya
hubungan antara fizikal, emosi dan ingatan fikiran dalam konteks mengingati
Allah. Hal ini tidak bererti perasaan lain terhadap perubahan fizikal ketika
berzikir tidak mempunyai hubungan yang dimaksudkan tersebut.
Disebutkan di dalam kitab
Musnad Imam Ahmad bin Hanbal daripada Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a bahawa
beliau pernah berkata: “Saya, Jaafar
dan Zaid bersama Rasulullah s.a.w, baginda berkata kepada Zaid: “Engkau adalah
mawlaku.” Maka Zaid pun berjalan dengan sebelah kaki. Baginda pun berkata
kepada Jaafar: “Engkau adalah serupa dengan rupa dan akhlakku.” Maka Jaafar pun
berjalan dengan sebelah kaki. Baginda berkata kepada diriku: “Engkau adalah
sebahagian dari diriku.” Maka aku pun berjalan dengan sebelah kaki.”
Berjalan di atas sebelah kaki
yang dilakukan oleh ketiga-tiga sahabat tersebut menunjukkan bahawa
ketiga-tiganya sedang mengalami at-tawajud. Oleh itu sesungguhnya telah
tsabit dan terang bahawa at-tawajud telah berlaku pada setengah sahabat.
Berdasarkan bukti ini maka tidaklah harus kita mempunyai su’uzan atau
buruk sangka tarhadap ahli tawajud.
Allah S.W.T. berfirman:
Maksudnya:
“Wahai
orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari buruk sangka, sesungguhnya
sebahagian dari buruk sangka itu dosa.”
(Surah al-Hujarat, ayat: 12)
Su’uzan atau buruk
sangka terhadap orang Islam adalah haram. Mentakwilkan perkataan dan perbuatan
orang Islam adalah wajib. Kadang-kadang sesetengah murid yang sedang di da- lam
keadaan dan perkara jadhbah, menangis, menjerit, tidak sedar dan
sebagainya. Terdapat juga dalam bentuk ucapan-ucapan yang lahir di luar
kehendak mereka ketika berzikir seperti menyebut Allah, Allah, Allah atau Hu,
Hu, Hu atau La, La, La, atau suara dengan tiada huruf atau ia
menggetar-getar kerana mengalami al-wajd. Pada ketika itu adab baginya
ialah murid itu hendaklah menyerahkan dirinya kepada Allah. Allah-lah yang
akan mengurus dan menentukan keadaan murid itu mengikut bagaimana yang Dia
mahu. Tidaklah boleh murid itu menahan
diri dari menangis atau menjerit, kerana perbuatan itu akan mendatangkan
bahaya pada dirinya.
Murid yang bersifat benar
boleh bertawajud untuk mencari hakikat (kebenaran). Kedudukan hukum bertawajud
itu adalah sama seperti hukum menangis yang disuruh oleh Islam. Sebuah hadis mawquf
kepada Abu Bakar, Abu Musa dan
Abdullah bin ‘Amr yang bermaksud:
“Hendaklah kamu
menangis, jika kamu tidak menangis maka hendaklah kamu berbuat-buat
menangis.”
(HR Imam Ahmad)
Sesetengah orang arif berkata bahawa bila kedua-dua mata orang yang
berterusan berzikrullah itu tidak menangis maka datanglah seorang malaikat yang
diutuskan Allah, lalu mengusap hati orang itu dengan sayapnya. Dengan itu
maka kedua-dua mata hati nuraninya pun menangis. Tangisan tersebut menyebabkan
kedua-dua matanya yang zahir pun turut menangis. Ketika itulah al-wajd itu telah terjadi. Bila al-wajd
itu berterusan maka ia akan menyebabkan orang itu tidak sedar. Kemudian ia
sedar dan menjadi di dalam keadaan kehairanan. Dari keadaan kehairanan itu maka
ia akan menjadi maslub dan kemudian majdhub.
Shaikh Abu Qasim al-Junaid al-Baghdadi berkata:
“Seseorang
murid itu tidak dibenarkan untuk menyertai majlis as-samma’ kecuali bila ianya
boleh mengawal keadaan dirinya iaitu meneruskan keadaan at-tawajud itu atau
memberhentikannya sahaja mengikut kehendaknya.”
Begitulah suara-suara pencinta Allah yang
mempunyai kekuatan dan perasaan yang sangat gembira (al-wajd) dengan indahnya pembacaan al-Quran, bacaan sya’ir-sya’ir,
melodi la- gu-lagu atau zikir-zikir yang berkesan. Ini merupakan kekuatan rohani
yang tidak ada ruang atau celah bagi nafsu atau syaitan untuk memasuki al-wajd
yang bersifat rohaniah ini. Ini adalah kerana nafsu dan syaitan hanya mampu
bertindak di dalam kegelapan dan bukannya di dalam cahaya kerohanian (‘nur
zikrullah’). Hal inilah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. di dalam
sabdanya yang mengatakan bahawa bacaan ayat-ayat al-Quran, sya’ir-sya’ir
hikmah, sya’ir-sya’ir cinta (terhadap Alllah) dan suara-suara kesedihan
merupakan kekuatan yang penuh cahaya bagi roh (hati). Sebab cahaya (‘nur
zikrullah’) harus sampai kepada cahaya (roh) juga.
Nabi s.a.w. pernah menyebutkan fakta di atas di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Satu perasaan
yang sangat gembira (al-jadzbu) dari kegembiraan-kegembiraan yang maha benar
sebanding dengan amalan manusia dan jin.”
Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. berkata:
“Orang yang
tidak merasakan al-wajd tidak memiliki agama.”
Nabi s.a.w. juga bersabda, maksudnya:
“Orang yang
tidak tersentuh (hatinya) pada saat mendengar (bacaan al-Quran) bukanlah
termasuk umatku.”
Shaikh Abu Qasim Junaid al-Baghdadi berkata:
“Al-wajd
adalah pertemuan rohani dengan
Allah S.W.T. (hidayahNya). Ianya merupakan jalan yang mewariskan perasaan
gembira atau sedih.”
Shaikh al-Qusyairi di dalam risalah ar-Risalah
al-Qusyairiyyah berkata:
“Aku mendengar
Shaikh Abu Ali ad-Daqqad berkata, ‘At-tawa-
jud (mencari al-wadju) adalah
kemampuan seorang hamba, sedangkan al-wajd mengharuskannya tenggelam, dan
al-wujud mengharuskannya binasa. Oleh itu, ia
seperti orang yang melihat laut, lalu belayar di tengahnya, kemudian
tenggelam di dasarnya. Urutannya adalah seperti berikut: Niat, berterusan berzikrullah (olahan rasa rohani), merasa rindu, lalu merasa tenang di mana
ketenangan (khusyuk hati) ini bergantung pada al-wujud (hilangnya kesedaran seseorang hamba kerana terhapusnya
sifat-sifat kemanusiaan dan wujudnya perasaan terhadap kebesaran dan
keagungan Allah S.W.T. semata-mata). Orang yang berada dalam keadaan al-wujud
memiliki kebangkitan (tidak lalai berzikrullah) dan fana’ billah (wujud
semata-mata Allah S.W.T.).”
Nabi s.a.w. telah bersabda
yang bermaksud:
“Niat yang ikhlas berada dalam hati yang bersih. Orang yang suka
membersihkan hatinya (berterusan berzikrullah) akan bersih pada amalnya.
Orang yang kotor hatinya akan mencemari ibadatnya.”
(HR Imam Ahmad)
8. Tiga Tingkat
Nur Zikrullah
Tingkat “nur
zikrullah” atau makam kerohanian telah
dije- laskan oleh Ibn ‘Ataillah (m. 709 H.) dalam kitabnya “Al-Hi- kam” seperti rajah di bawah:
Orang
Awam ---> Zikir Ghaflah ---> Lidah/Akal ---> Syariat
(Alam Mulki)
Orang
Salik ---> Zikir Yaqazah ---> Hati --->
Tarekat
(Alam Malakut)
Ahli Khawas ---> Zikir Hudur ---> Roh ---> Hakikat
(Alam Jabarut)
Ahli
Kamil ---> Zikir Ghaiybah ---> Sirr ---> Makrifah
(Khawasul-khawas) (Alam Lahut)
Di tahap pertama, hati belum
dihidupkan dan belum dilimpahkan nur. Hati yang belum dihidupkan adalah hati
yang tidak berfungsi, kerana hati masih lalai (ghaflah) atau hati yang
mati. Hati inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, “Jawahir
al-Quran” dengan katanya: “Sesungguhnya anda hidup di dunia ini (hati
anda) tidur, sekalipun tubuh anda terjaga. Hati manusia tidur. Apabila mereka
mati, maka hati mereka baru terjaga.”
Jika hati tidur tentulah sangat sukar untuk khusyuk dalam mengerjakan segala
amal ibadat. Sebaliknya, segala amal ibadat yang dilaksanakan tenggelam dalam
lautan lalai.
Hanya di tahap kedua, ketiga dan keempat sahaja hati telah dihidupkan dan
dilimpahkan nur oleh Allah S.W.T. Ibn ‘Ataillah seterusnya menyatakan, terdapat
tiga jenis nur (cahaya) yang Allah kurniakan ke dalam hati orang yang berzikir:
Pertama: Nur al-intibah atau nur al-yaqazah iaitu sejenis
cahaya yang dilimpahkan oleh Allah serentak semasa hati dihidupkan. Ibn ‘Ataillah
menyatakan: ‘Bahawasanya Allah S.W.T. limpahkan warid (cahaya yang
khusus iaitu nur al-intibah ke dalam hati anda) agar hati anda akan
sentiasa bercahaya dan mampu menerima limpahan rahmat hidayahNya’. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Adakah orang yang hatinya mati lalu Kami hidupkan dan
kami jadikan dalam hati yang hidup itu cahaya (dengan hati yang bercahaya dan
dapat memahami kebenaran Allah) dan menyampaikannya kepada manusia, (adakah
orang ini) sama dengan orang yang hatinya mati yang berada dalam
berbagai-bagai kegelapan yang tidak boleh keluar daripada kegelapan itu?”
(Surah
al-An’am, ayat:122)
Dengan nur ini, maka hati mula
berfungsi iaitu sedar dan merasa mengenai sesuatu hakikat yang berkait dengan
Allah. Contohnya bila disebutkan kalimah
‘Allah’ maka hatinya sedar tentang Allah serta merasa wujudNya. Orang mendapat kurnia nur
al-Intibah darjatnya ditinggikan oleh Allah daripada tingkat awam ke
tingkat salik. Golongan salik inilah yang mempunyai peluang yang besar untuk
mendapat khusyuk minima dalam amal ibadat, kerana khusyuk dihubungkan dengan
hati yang ingatkan Allah. Allah S.W.T. berfirman:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللّهُ
Maksudnya:
“Adakah belum
sampai lagi masanya bagi orang-orang yang beriman itu untuk mengkhusyukkan hati
mereka dengan meng- ingati Allah.”
(Surah
al-Hadid, ayat: 16)
Kedua: Nur al-iqbal atau nur al-hudur. Dengan cahaya nur ini,
hati seseorang akan tertumpu hanya kepada Allah S.W.T., menjadi hambaNya yang
sebenar, terlepas daripada diperhambakan oleh makhluk. Orang itu digelar salik
yang khawas atau salik yang khusus. Ibn ‘Ataillah berkata: ‘Allah limpahkan ke
dalam hati anda (warid/nur iqbal/hudur) agar dapat menyelamatkan
hati anda daripada pelbagai pengaruh makhluk dan memerdeka- kannya daripada
dihambakan oleh makhluk.’ Golongan inilah yang dapat khusyuk dalam amal ibadat.
Ketiga: Nur al-wisol. Ibn ‘Ataillah menyebutkan dengan kata
hikmahnya yang bermaksud: “Allah limpahkan nur al-Wisol ke dalam hati
anda, agar nur tersebut dapat mengeluarkan hati anda daripada penjara wujud
diri ke luasnya lapangan musyahadah hati anda terhadap berbagai-bagai rahsia Allah.”
Dengan nur ini, Allah kurniakan hakikat dan makrifah kepada seseorang hambaNya,
lalu dia menjadi seorang yang arif
berhati ikhlas. Dengan kata lain, dia mencapai darjat ihsan,
menjadi seorang muhsin. Dia digelar juga sebagai salik yang khawasul khawas
atau salik yang khususul khusus. Orang ini juga yang digelar sebagai al-in-
san al-kamil, berhati hidup, sentiasa diterangi cahaya dan sangat canggih. Golongan
inilah yang benar-benar dapat mencapai khusyuk dalam amal ibadat.
Dengan
melihat tingkat-tingkat zikir seperti yang disebut di atas, hati hanya akan
bersifar ikhlas apabila sampai ke tingkat zikir ghaiybah. Ketika itulah
orang tersebut Allah sampaikan ke darjat
ihsan, maka ia akan menjadi muhsin. Setelah menjadi muhsin
barulah Allah kurniakan sifat ikhlas di
dalam hati.
Biasanya,
mujahadah untuk sampai di tingkat hakikat ini le- bih mudah disebabkan keadaan
hati yang telah berada dalam keadaan hidup atau yaqazah (jaga atau sedar) menerusi
zikir dan mujahadah sebelum ini. Kesannya, hati akan menjadi mutmainnah (tenang), manakala seluruh tubuh pula menjadi lembut, sihat dan
selesa. Sememangnya begitulah kesan berzikir dan mujahadah, dapat musyahadah terhadap mana-mana
sifat Jamal (sifat kesempurnaan) Allah atau sehingga sampai kepada hakikat Allah dan hakikat kehambaan dirinya iaitu terbuka
hijab hati dan dapat makrifah (mengenal)
kepada Allah. Mereka dapat me- nguasai diri dan menentang berbagai-bagai
kehendak hawa nafsunya, dan dapat pula
mengukuhkan imannya dengan kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T. semata-mata.
Golongan salik, cinta mereka
terhadap Allah adalah untuk mendapat
kebaikan dari Allah. Golongan khawas, cinta mereka terhadap Allah adalah untuk membersihkan diri dari berbagai
kekotoran dosa. Golongan khawasul-khawas, cinta mereka adalah rasa asyik melenyapkan diri ketika berlaku
tajalli nur yang dicintainya. Apabila Allah mendapati benar cinta orang yang mencintaiNya
itu maka Allah pun menyingkapkan hijab yang ada antaraNya dengan yang mencintaiNya
itu. Ketika itu Allah menunjukkan
sebahagian rahsia-rahsia hakikat kebenaranNya dan kasyafkan tentang
berbagai ilmu yang rahsia dan alam ghaib yang tinggi.
Nabi s.a.w. pernah mengaitkan hubungan memperbaharui iman
dengan memperbanyakkan berzikir menyebut serta mengingati Allah dengan sabda
baginda yang bermaksud:
“Perbaharuilah
iman kamu! Para sahabat r.a. bertanya: Bagaimana caranya memperbaharui iman
kami? Jawab baginda (s.a.w.): Perbanyakkan ucapan: La ila ha Ilallah (proses
menyebut-nyebut dan mengingati Allah secara berterusan).”
9. Syariat dan
Akidah Al-Quran Yang Tidak Boleh Dipisahkan
Gagasan anjuran amalan zikir yang
sentiasa dilakukan yang terkandung dalam
al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. ditonjolkan secara jelas dan terang bahawa pengamalannya adalah dituntut sebagai
satu amalan yang penting bagi setiap mukalaf. Ini adalah kerana rasa iman yang
disyarakkan sebenarnya adalah hasil penghayatan seseorang mengingati Allah
berikutan daripada ulangan sebutan lafaz yang mulia (Allah) itu.
Menurut Imam al-Ghazali,
berzikir mengingati Allah dengan pengertian berkekalan ingatan hati kepada
Allah secara berterusan atau pada kebanyakan waktu adalah diutamakan daripada
berbagai-bagai ibadat lain. Malahan oleh sebab amalan zikir itu, maka segala
amal ibadat yang lain menjadi mulia. Memperbanyakkan berzikir menyebut lafaz
Allah dengan pengertian tersebut merupakan kemuncak faedah bagi pelbagai amal
ibadat. Ada pun zikir dengan lisan walhal hati lalai mengingati Allah, atau
ingatan hati kepada Allah hanya berlaku seketika padahal banyak masa berlaku
dalam keadaan lupa akanNya kerana leka dengan urusan duniawi, maka amalan zikir
dalam semua hal tersebut adalah sedikit faedahnya.
Semasa pelaksanaan segala
amal ibadat dalam kehidupan harian seperti solat fardu, mencari rezeki,
mengerjakan haji, berjihad, berpuasa, berdoa, membaca al-Quran, mempelajari
tajwid al-Quran, mengeluarkan zakat, mengikuti atau memberi kuliah agama
(sistem pengajian pondok atau sekolah-sekolah ataupun pusat-pusat pengajian
tinggi), menulis kitab-kitab atau kertas
kajian (agama), berseminar, menghadiri kelas tahfiz al-Quran, berkhutbah, mengalunkan
seruan azan, mendendangkan lagu-lagu nasyid, menderma, menghulur bantuan kepada
mangsa bencana, bergotong royong membantu golongan miskin (hisbah),
menguruskan hal-hal kehidupan harian, bergaul atau saling menasihati sesama
ahli masyarakat (mukhallatoh), beriadah atau bersukan, melancong,
berpolitik, membaca, menonton tv, mendengar radio dan sebagainya yang mana
segala amal ibadat itu mesti dilaksanakan selaras dengan sentiasa
berzikir mengingati Allah (Akidah
al-Quran) sebagai dua aspek agama yang
berbeza (syariat dan akidah) tetapi tidak boleh dipisahkan sama sekali. Hakikatnya, Allah S.W.T. hanya memerintahkan umatNya supaya berzikir
terus menerus sebagai satu instrumen
utama yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim untuk penyempurnaan tuntutan makrifah
(mengenal) Allah dalam syiar Islam.
Oleh itu, wujudnya ilmu dan amalan zikrullah (tarekat
Tasawuf) itu tidak boleh diingkarkan dan tidak boleh dibenci kerana telah
jelas ia sememangnya wujud dalam Islam. Tidak perlulah kita mencipta pelbagai
jalan tarbiyah ilmu Akidah reka cipta dan melonggokkan pengetahuan ilmu Fiqah
(fadilat-fadilat dan hukum-hakam segala amal ibadat) secara mendalam hanya sekadar ilmu yang berpaut pada akal atau hafalan
semata-mata, iaitu tarbiyah (akidah) yang tidak dapat membersihkan pelbagai hijab hati (sifat-sifat mazmumah).
Dewasa ini banyak dibangunkan maahad atau
pusat tahfiz al-Quran di segenap pelosok
negeri seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Ia dianggap dan
diagung-agungkan sebagai pusat tarbiyah akidah
yang terulung dalam kalangan ummah. Kebanyakan umat Islam amat berbangga dengan ramainya
para pelajar yang berjaya menjadi hafaz al-Quran, tetapi tanpa disedari mereka berzikir
terus menerus yang diperintahkan Allah (Akidah al-Quran) terus
diabaikan dan dinafikan keutamaan dan kepentingannya (Akidah Islam), lantas mereka
memiliki hati yang mati (kesesatan) dan tenggelam dalam lautan lalai.
Nabi s.a.w. pernah menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Akan keluar dari arah timur segolongan manusia yang membaca al-Quran namun tidak sampai melewati kerongkong mereka (memiliki hati
yang mati, iaitu mengabaikan tarbiyah akidah menerusi berzikir dan mujahadah),
mereka keluar daripada agama seperti anak panah yang keluar dari busurnya,
mereka tidak akan mampu kembali seperti anak panah yang tidak akan kembali ke
busurnya,....”
(HR Imam Bukhari no 7123, Juz 6 hal 20748, Imam Ahmad,
Ibn Majah, Abu Dawud dan Ibn Hibban)
Nabi s.a.w. juga bersabda,
maksudnya:
“Orang yang
tidak tersentuh (hatinya) pada saat mendengar (bacaan al-Quran) bukanlah termasuk
umatku.”
Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. berkata:
“Orang yang
tidak merasakan al-wajd (rasa dalam rohani) tidak memiliki agama.”
Inilah antara
fenomena yang melanda umat Islam di mana-mana mereka berada, termasuklah dalam kalangan
umat Arab yang boleh dikatakan fasih dan memahami al-Quran dan Hadis-hadis Nabi
s.a.w. yang diturunkan dalam bahasa mereka, tetapi mereka mengalami
keruntuhan akhlak ummah, melakukan maksiat dan kejahatan, kezaliman
pemerintah berleluasa, pembunuhan sesama umat Islam dan sebagainya. Begitulah keadaan ummah
yang tergelincir dari landasan akidah yang sebenar (Akidah al-Quran), lantas
menjadikan budaya hidup mereka seolah-olah seperti tiada pegangan agama yang
sempurna. Ia bukan
masalah tidak faham, akan tetapi terhijab hati (kesesatan), atau dengan kata lain mereka
tidak dapat petunjuk kebenaran (hidayahNya), akibat lalai berzikir mengingati
Allah. Ini kerana, hidayah Allah (nur zikrullah) sekali-kali tidak akan menyinari hati mereka yang
terdapat padanya karat-karat ‘kufur’ (pelbagai hijab). Allah hanya memberi
petunjuk kepada hati-hati yang bersih
dari sifat-sifat keji (penyakit-penyakit hati). Ini menepati firman Allah S.W.T:
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَاباً مُّتَشَابِهاً مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ
جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ
إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnnya;
“Allah telah
menurunkan perkataan yang paling baik (al-Qu- ran) yang serupa (mutu
ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya semua kulit (semua
anggota) orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian menjadi tenang
kulit-kulit (semua anggota) dan hati-hati mereka itu ketika mereka mengingati Allah (berzikrullah).”
(Surah
al-Zumar, ayat: 23)
FirmanNya lagi yang bermaksud:
Maksudnya:
“Sebutlah nama
Tuhanmu (berzikrullah), dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan.”
(Surah
al-Muzammil, ayat: 8)
Adalah tidak wajar bagi
golongan huffaz ini tidak dapat
menerima hakikat bahawa
berzikir mengingati Allah secara berterusan adalah tuntutan wajib di dalam al-Quran sebagai pence- tus kesedaran hati yang boleh membuahkan suatu keyakinan yang teguh
dan keimanan yang penuh terhadap keesaan dan kesempurnaan Allah S.W.T. Malah, mereka juga tidak dapat me- nerima hakikat bahawa
menghafaz al-Kitab itu merupakan amal ibadat atau Syariat Islam semata-mata yang
mesti dikerjakan selaras dengan hati yang sentiasa mengingati Allah (Akidah al-Quran),
sebagai dua aspek agama yang berbeza (syariat
dan akidah) tetapi tidak boleh dipisahkan sama sekali.
Oleh itu amat jelas sekali bahawa hati mereka mati (kesesatan) kerana ketiadaan “nur zikrullah” (lalai
berzikir kepada Allah), maka segala amal ibadat yang dikerjakan tanpa khusyuk
hati terhadap Allah (kesesatan). Hakikatnya, setiap individu Muslim diperintahkan
Allah supaya memperbanyakkan sebutan serta ingatan terhadap kalimah Allah (Akidah al-Quran) yang membolehkan
seseorang Muslim mencapai makrifah (mengenal) akan Allah S.W.T. Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam
firmanNya:
قُلْ آمِنُواْ بِهِ أَوْ لاَ تُؤْمِنُواْ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُواْ الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى
عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ سُجَّداً
وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِن كَانَ
وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً
وَيَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ
خُشُوعاً
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad
kepada orang yang ingkar itu): “Samada kamu beriman kepada al-Quran atau kamu
tiada beriman, sesungguhnya orang yang
diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka
segera merebahkan tubuh bersujud. Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya),
“Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.” Dan
mereka segera merebahkan diri bersujud sambil menangis, sedangkan al-Quran
menambahkan mereka khusyuk.”
(Surah al-Isra’, ayat: 107-109)
Pengabaian terhadap berzikir
mengingati Allah ini sudah digambarkan
di dalam al-Quran yang mulia, apabila keadaan dan suasana sesetengah sahabat pada akhir hayat Nabi s.a.w. su- dah mula mengabaikan amalan ini kerana pengaruh duniawi, lalu Allah menurunkan wahyuNya sebagai satu amaran dan peringatan supaya para sahabat r.a. jangan dihanyutkan oleh perbuatan mereka
itu seperti dinyatakan dalam firman Allah S.W.T:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ
وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ
فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ
Maksudnya:
“Belumlah
sampai masanya bagi orang-orang beriman itu (para sahabat r.a.) untuk
mengkhusyukkan hati mereka bagi berzikrullah dan kepada kebenaran (al-Quran)
yang telah diturunkan dan janganlah mereka
itu menjadi seperti
orang-orang yang diberikan al-Kitab sebelumnya, kemudiannya berlalu masa
yang lama (tanpa mereka imamkan dan amalkan) lalu hati mereka menjadi keras.
Dan kebanyakan mereka menjadi orang-orang
yang fasik.”
(Surah al-Hadid, ayat: 16)
Ayat tersebut begitu jelas
membayangkan bahawa berzikir mengingati Allah yang berasaskan kepada khusyuk
hati terhadap Allah, sentiasa mengingatiNya (Akidah al-Quran) itu menjadi ilmu
dan amalan yang mula-mula dihapuskan oleh Allah. Ini kerana pada zaman awal itu pun amalan tersebut
sudah mulai diabaikan oleh para sahabat. Fakta ini sesuai benar dengan
kata-kata ‘Ubadah bin al-Samit yang ditujukan kepada Jubayr yang menegaskan:
“Benarlah kata
Abu al-Darda’ r.a. itu (hai Jubayr). Sekiranya
engkau mahu nescaya aku boleh ceritakan kepada engkau mengenai ilmu
yang mula-mula dihapuskan dari manusia. Ilmu itu ialah (ilmu) khusyuk sehingga
(pada masa itu) jika engkau masuk ke dalam masjid (sedang orang ramai
bersolat) berjemaah nescaya engkau tidak dapati seorang pun yang khusyuk.”
Shadad bin Aus meriwayatkan
bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Perkara pertama yang akan diangkat daripada umat ini adalah khusyuk (hati).” (HR
Bukhari, Baihaqi, Thabrani, Hakim, Ibn Hibban)
Dalam hadis yang lain, Auf
bin Malik al-Asyjai juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah memandang ke
langit lalu bersabda yang bermaksud: “Sekarang masanya ilmu di angkat ke
langit.” Seorang di kalangan Ansar yang dikenali sebagai Ziyad bin Labid
berkata: “Ya Rasulullah, apakah ilmu yang akan diangkat, sedangkan ia telah
tertanam dan melekat di dalam hati.”
Nabi s.a.w. menjawab: “Mesti engkau beranggapan dirimu termasuk di kalangan orang yang paling pandai di
antara penduduk kota Madinah!”. Kemudian Nabi s.a.w. menceritakan tentang kesesatan
kaum Yahudi dan Nasrani meskipun mereka memilki al-Kitab tetapi meninggalkan
kebenaran disebabkan hati mereka telah menjadi keras (kesesatan).
Oleh itu Nabi s.a.w. sentiasa
berdoa memohon perlindungan dari Allah S.W.T. daripada hati yang tidak khusyuk
dan ilmu yang tidak bermanfaat. Sebuah riwayat daripada Zaid bin Arqam
mengatakan bahawa baginda selalu berdoa dengan menyebut:
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada ilmu yang
tidak manfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang
terhijab.”
(HR Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, jelas dan nyata bahawa apabila hati tidak khusyuk pastilah
ilmu akidah yang dimiliki oleh se- seorang
itu tidak memberi manfaat. Begitu juga dengan hawa nafsu
yang tidak pernah puas dan doa
yang tidak dimakbulkan. Semua ini menunjukkan pengaruh besar khusyuk hati
terhadap seluruh anggota badan dan amal ibadat yang dikerjakan. Malahan
khusyuk (hati) yang dihubungkait dengan
hati yang sentiasa ingatkan Allah (Akidah al-Quran) seolah-olah sudah
tidak difahami oleh kebanyakan umat Islam masa kini.
Oleh yang demikian, maka
lenyaplah amalan zikir mengingati Allah dalam kalangan masyarakat Islam
dewasa kini yang mana ianya menjadi bukti yang
jelas kepada kita semua bagaimana ilmu dan amalan zikrullah yang
diperintahkan oleh Allah itu menjadi
ilmu dan amalan yang mula-mula diangkat oleh Allah S.W.T. Demikian juga kita tidak terperanjat jika umat Islam sendiri telah mempersoalkan
hakikat kebenaran ilmu dan amalan (zikrullah)
ini kerana kuatnya diayah, fitnah dan buruk sangka para ulama dan ilmuwan ahli zahir (menguasai dakwah
akidah umat Islam sedunia) terhadap ilmu dan amalan tarekat Tasawuf (zikrullah)
hingga meruntuhkan dan melenyapkan ilmu dan amalan (zikrullah) daripada umat Islam. Ternyata tanpa mereka (golongan
ahli zahir) sedari bahawa doktrin tarekat
Tasawuf, prinsip-prinsipnya, amalan-amalannya dan berbagai hakikat amalan
rohani Islam itu telah wujud pada zaman Nabi s.a.w., zaman sahabat , tabi’in dan al-salaf
walaupun istilah tarekat Tasawuf itu belum dikenali dan belum digunakan. Generasi
umat Islam pada zaman yang awal itu faham dan mengamalkan ilmu dan amalan
Islam yang zahir dan yang batin/rohani itu keseluruhannya dalam bentuk dan
konsepnya yang paling sempurna dan ideal sekali.
Orang yang berzikir mengingati
Allah terus menerus atau memiliki kesempurnaan hati/akidah sentiasa bertaqwa,
melakukan apa sahaja yang diperintah dan menjauhkan segala yang dilarang oleh
Allah dalam erti kata sebenar-benarnya. Mereka mempunyai akhlak yang mulia dan
sentiasa menjaga hubungan sosial, baik dengan saudara mara mahupun dengan
sesiapa sahaja. Mereka itulah orang yang benar-benar berpegang teguh de- ngan
hab-lun mina’n-nas atau tali
perhubungan sesama manusia, seperti yang dicontohkan oleh akhlak Nabi s.a.w.
dan para sahabat r.a. Mereka bersifat takut kepada Allah yang sebenar-benarnya
disebabkan mereka telah mendapat suhud terhadap hakikat keagungan dan
kesempurnaan Allah. Dengan pencapaian darjat yang tertingggi itu, menjadi
motivasi para sahabat untuk melahirkan sifat kekhalifahan dalam memimpin,
mengurus dan mentadbir dunia dengan bijak, kompetensi, cekap, kreatif,
inovatif, produktif dan lain-lain daya saing. Masyarakat yang memiliki akidah
yang sebenar akan menjadi masyarakat yang maju, moden dan progresif. Mereka
akan bebas daripada sifat malas, jumud, dungu, pak turut dan lain-lain sikap
negatif yang membantutkan kemajuan. Maka lahirlah sebuah generasi insan mulia
yang berjaya menghayati hakikat sebenar kehidupan dunia dan akhirat.
Mereka sentiasa bersifat sabar
dalam menghadapi apa jua ujian dan dugaan yang Allah timpakan pada setiap masa, kerana mereka mahu
mendapat keredaan Allah. Memperbanyakkan menyebut serta mengingati Allah dan
istiqamah dalam qiyamullail sebagai amalan rohani Islam yang sudah menjadi amalan biasa dan
menyeluruh dalam kehidupan harian.
Mereka sentiasa bimbang terhadap perbicaraan di Padang Mahsyar iaitu
kalau-kalau amalan jahat mereka lebih
banyak daripada amalan baik atau amalan-amalan baik mereka tidak diterima Allah
dan sebagainya. Mereka juga takut dan
bimbang jika mendapat kesudahan hidup
yang buruk (su’l-khatimah). Dengan itu mereka merupa- kan orang-orang yang
ikhlas takutkan Allah. Mereka sentiasa bersifat sabar dalam menghadapi
apa juga ujian dan dugaan yang Allah timpakan setiap masa, kerana mereka mahu menda-
pat keredaan Allah semata-mata. Mereka
ialah orang yang dimaksudkan dalam firman Allah S.W.T:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya:
“(Orang-orang
yang bersabar itu) ialah orang yang apabila ditimpa sesuatu musibah, mereka
mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kami
kembali kepadaNya.”
(Surah al-Baqarah,
ayat: 156)
Mereka dapat mendirikan solat dengan
penuh khusyuk dan tawadduk dengan sentiasa merasakan keagungan dan kesem- purnaan
Allah menerusi memperbanyakkan proses menyebut serta
mengingatiNya. Mereka merupakan orang mukmin yang beroleh kejayaan di sisiNya
seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya
telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk di
dalam solat mereka.”
(Surah
al-Mukminun, ayat: 1-2)
Ternyata ada dua penghayatan hakikat kehidupan yang berbeza di antara
kita dengan generasi umat Islam yang awal. Kita melihat kehidupan ini lebihnya atau mengutamakan pada kehi- dupan duniawi. Konsep
begini menjadikan kehidupan ini sangat sempit dan terbatas. Oleh itu, kita
merasakan kesusahan dalam kehidupan duniawi ini sangat besar dan terlalu
membebankan. Kita meletakkan fizikal,
minda, perasaan dan hati pada nilaian duniawi semata-mata, maka ruang lingkup
kehidupan itu men- jadi sangat terbatas, maka kita akan mudah kecewa, jemu,
rasa diabaikan dan sebagainya. Malah, kalau kita berjaya mengharu- ngi segala
ujian duniawi ini, maka anggapan kita, itulah kejayaan sangat besar dan
hebat.
Berbeza
dengan generasi umat Islam yang awal
melihat kehidupan ini dalam bentuk yang sangat luas, merangkumi dunia dan
akhirat. Dunia perlu ditempuh dengan segala ujiannya. Namun begitu, dunia
bukanlah segala-galanya kerana ada lagi alam kehidupan yang lebih luas
selepas ini iaitu akhirat. Masalah duniawi
hanyalah kecil berbanding masalah akhirat. Kejayaan di dunia jauh lebih kecil
berbanding kejayaan akhirat. Namun, di dunia ini bukanlah segala-galanya tetapi
segala-galanya nanti adalah di akhirat. Meskipun mereka hidup di dunia dengan
menempuh perjuangan yang sukar bersama Nabi s.a.w., namun mereka lebih nampak
kelebihan akhirat berbanding habuan duniawi. Secara mata kasar, tubuh dan jasad
mereka berada di dunia, tetapi hati dan perasaan mereka sudah berada di
akhirat. Mereka sudah meyakini janji-janji Nabi s.a.w. tentang kenikmatan
syurga yang bakal diperolehi. Bila hati dan perasaan sudah terpaut ke akhirat,
maka apalah nilai dunia di hati mereka. Jiwa mereka lebih tabah menempuh ujian
dan kesabaran mereka bertambah kukuh. Apakah nilai ujian dan
kesusahan yang terpaksa mereka tempuh bersama-sama Nabi s.a.w? Berapakah
nilai kezaliman dan penyeksaan yang terpaksa mereka terima demi mempertahankan
Islam bersama baginda tercinta?
Hakikatnya, cinta terhadap
Allah itu tidak akan dapat dicapai
oleh seseorang hamba kecuali setelah hati itu bersih dari segala kekotoran jiwa
(mazmumah). Apabila cintakan Allah itu telah benar-benar dapat bertakhta
di lubuk hati, maka terhapuslah segala cinta terhadap yang lain dari Allah S.W.T.
Kerana, cinta itu adalah satu sifat yang membakar dan menghapuskan tiap-tiap
sesuatu yang lain yang tidak serupa dengan cintanya itu. Tanda cintakan Allah
itu ialah hapusnya runtunan dan keinginan nafsu syahwat terhadap dunia. Seorang tabi’in yang terkenal, Hasan al-Basri berkata: “Orang yang mengenal Allah akan mencintaiNya,
dan orang yang mengenali dunia akan mencintainya.” Rasa cinta (mahabbah)
yang hakiki tidak patut ditujukan selain kepada Allah. Ia tidak patut
dipersembahkan kepada dunia atau sesama makhlukNya yang fana’ dan musnah. Oleh itu, hati
mereka (para sahabat dan al-salaf) teguh menempuh segala masalah
kehidupan duniawi demi mengharapkan kehidupan akhirat yang lebih
membahagiakan. Dunia dan seluruh alam ini mempunyai akhir dan kesudahan, tetapi
rasa cinta kepada Allah adalah kekal dan
abadi.
Sungguh ajaib sekali bagaimana orang yang boleh mendakwa dirinya sebagai orang
yang cintakan Allah padahal ianya tidak
menjauhkan dari perkara-perkara yang diharamkan. Sesiapa yang mendakwa
cintakan Allah tanpa menjauhkan
perkara-perkara yang diingini oleh nafsu syahwat, maka orang itu adalah
pembohong. Sesiapa yang mendakwa bahawa dirinya itu cintakan syurga tanpa
mengerjakan amal soleh dan memiliki kesempurnaan hati/akidah maka ia adalah
pembohong. Kita melihat dunia ini luas dan akhirat itu kecil, sebaliknya para
sahabat dan al-salaf melihat dunia ini
sangat kecil berbanding akhirat yang lebih luas. Antara natijahnya, kita
melihat segala masalah dan ujian hidup di dunia ini sebagai suatu bebanan yang
berat untuk ditanggung, sedangkan generasi umat Islam yang awal melihat yang
sebaliknya. Bagi mereka, ujian duniawi kecil dan sementara sahaja, berbanding
dengan apa yang bakal diperolehi di akhirat. Malahan apalah sangat ujian yang
terpaksa ditempuh di sini asalkan di sana nanti kenikmatan yang abadi dan lebih
besar sedang menanti.
Para ulama telah pun sekata
(mengijmakkan) bahawa kasihkan Allah dan RasulNya adalah fardu ‘ain di atas
tiap-tiap sese- orang Islam. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Adapun
orang-orang yang beriman sangat mencintai
Allah.”
(Surah al-Baqarah,
ayat: 165)
Nabi s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga
Allah dan RasulNya paling dicintainya, lebih daripada (cintanya) terhadap
isterinya, hartanya dan manusia sekalian.”
(HR Bukhari )
Kesimpulannya,
memperbanyakkan berzikir mengingati Allah merupakan
amalan yang disyarakkan kerana pelaksanaan amalan ini telah termaktub di dalam
al-Quran dan Hadis. Malah, al-Quran menggambarkan suatu kewajipan setiap individu Muslim
mempelajari amalan itu sebagai dalil khusus mewajibkan amalan tersebut. Kewajipan tersebut merupakan satu instrumen
penting bagi membolehkan seseorang Muslim mencapai makrifah (mengenal)
Allah. Tanpanya, seseorang akan hanya mampu beriman kepada Allah secara taklid
(ikut-ikutan) sahaja, dan jalan (mereka) menuju kepada Allah menjadi jauh dan
langkah- nya juga menjadi lambat sehingga mungkin tidak akan sampai hingga
seseorang itu mati.
Ternyata
amalan rohani Islam ini merupakan inti pati dan tonggak utama dalam Akidah
al-Quran berdasarkan bukti-bukti kukuh yang
tidak boleh dipertikaikan lagi. Hal demikian menunjukkan pendirian
para tokoh tasawuf menjadikan konsep berzikir dan mujahadah yang diketengahkan
oleh mereka sebagai satu jalan terbaik untuk sampai kepada mengenal Allah. Apabila
amalan tersebut telah diyakini bersumberkan dalil yang khusus, maka sudah tentu
ia diyakini telah diamalkan oleh Nabi s.a.w. Di samping itu, al-Sunnah juga membuktikan
amalan tersebut telah diamalkan oleh para sahabat serta diperakui oleh baginda sendiri. Oleh
sebab itu, maka Nabi s.a.w. menunjukkan jalan berzikir kepada para sahabat (zikir darajat) sehingga tuntutan al-Quran supaya menyebut
lafaz Allah sebanyak-banyaknya menjadi amalan biasa dan menyeluruh
dalam kalangan generasi umat Islam yang awal. Malahan Nabi s.a.w. menjadi
contoh utama dalam kehidupan ahli Tasawuf dan baginda menjadi rujukan utama dalam
berbagai-bagai masalah tarekat Tasawuf sebagaimana firman Allah S.W.T:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ
حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
Maksudnya:
“Sesungguhnya telah
ada pada diri Rasulullah (s.a.w.) itu ciri tauladan yang baik bagi mu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan
(kedatangan) hari kiamat dan dia banyak berzikrullah (sepanjang masa).”
(Surah al - Ahzab, ayat: 21)
5 comments:
Salam..stiap artikel di laman tariqah Ahmadiah ni benar2 jelas dan baik sekali sebagai pedoman para salik yg baru melalui jalan tariqah ini..sekian terima kasih
Assalamualaikum. Post yg sangat bermanfaat alhamdulillah. Terima kasih banyak kerana menulis.
Cuma ini pandangan saya, kalimah "zikr" berdasarkan dalil-dalil al-Quran yang saudara tampilkan tadi semua merujuk kpd al-Quran. Maksud saya, "zikr" di sini merupakan nama lain yg diberi kepada al-Quran.
Ini berdasarkan dalil drpd surah An-Nahl (16:44) - (Mereka kami utus) dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan kami turunkan Az-Zikr (Al-Quran) kepadamu, agar engkau menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kpd mereka dan agar mereka memikirkannya.
Az-Zikr dalam ayat ini merujuk kepada Al-Quran. Jd, pada pandangan saya, dalil2 yg dilampirkan di blog ini menunjukkan kepentingan bukan sahaja membaca malah yang paling penting untuk memahami isi-isi kandungan Al-Quran. Maka wajiblah kita semua sekurang-kurangnya belajar ilmu nahu dalam bahasa arab dan tadabbur bagi memahami ayat-ayat yg diturunkan Allah.
Wallahua'lam. =)
DALAM memperkatakan ilmu, lazimnya dua perkara perlu diketahui iaitu erti atau makna yang diperolehi daripada bahasa dan istilah.
Aspek ini juga disebut dalam bahasa Arab sebagai loghatan wastilahan
Demikianlah juga dalam rangka memahami makna Islam.
Dari segi bahasa: Islam berasal dari kekata dasar salam iaitu sejahtera dan berserah/pasrah.
Dari segi istilah: Islam ialah ad-din atau cara hidup/agama; mengikuti dan mematuhi
apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad dari segi zahir dan bathin.
Bagaimana pula kaitan Islam dengan amalan yang disebut zikr (juga dieja zikir)?
Dari segi bahasa: Zikr ialah melepaskan diri daripada lalai dan lupa dengan menghadirkan hati atau sedar secara berterusan.
Sifat lupa (Arab : Nisian) merupakan kata dasar bahas insan (manusia).
Oleh itu manusia merupakan makhluk yang lupa.
Dari segi istilah: Zikr menyebut nama sesuatu dengan hati dan lisan, baik menyebut nama Allah atau sifatNya atau hukumNya atau
perbuatanNya atau menyebut nama para rasulNya, para nabiNya atau berbuat amal kebajikan seperti membaca Al-Quran, bertasbih,
memberi nasihat dan sebagainya.
Zikr juga membawa ucapan tasbih, tahmid, tahlil dan menyebut nama-nama Allah yang mulia.
Zikir dapat dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Adakalanya dengan lisan, dengan hati, dengan anggota dan juga dengan ucapan yang jelas.
Dengan kesemuanya ini, seseorang dapat melaksanakan zikir itu dengan sempurna.
Dalam pengertian tasauf zikr memaparkan pelbagai pengertian:
1. sebutan atau lafaz seperti tahmid (alhamdulillah), tahlil (lailahaillah), takbir (Allahuakbar), tamjid (kata-kata pujian kepada Allah), istighfar,
basmallah iaitu apa jua bentuk sebutan yang mengaitkan manusia dengan Pencipta-nya (Khalik).
2. menyebut dengan lisan dan hati akan sifat-sifat daripada Sifat Allah seperti Ar-Rahman (99 kesemuanya)
3. melaksanakan hukum daripada hukum Allah
4. melaksanakan perbuatan daripada perbuatan Allah
5. memberi penghormatan kepada para rasul dan aulia dalam bentuk solawat dan salam
6. membaca Quran kerana isi keseluruhannya adalah zikir
7. puisi seperti syair (juga disebut syir) yang ada hubungan dengan Allah seperti syair Jalalluddin Rumi, Mutannabi dll.
8. syarahan atau ceramah yang ada kaitan dengan memuja Allah
9. ibadah yang mengesakan Allah seperti zakat, puasa, haji.
Ilmu nahu tu ilmu syariat yang mana orang arab sendiri lebih memahami maksud al Quran dan hadis2 tetapi hari ini bangsa arab mengalami keruntuhan dan kehancuran kerana mereka mengalami kehancuran akidah kerana mengabaikan amalan zikrullah seperti yang saudari Faten fahami ttg maksud amalan rohani Islam itu. Inilah yg diperingatkan oleh Nabi SAW ttg kesesatan kaum yahudi dan nasrani, walaupun mereka memiliki alKitab tetapi mereka meninggalkan kebenaran disebabkan hati mereka keras (fasik).
Golongan ahli zahir yg sentiasa mengabaikan amalan zikrullah (memiliki hati yg mati) kerana mereka ingkar perintah Rasul yang menyuruh umatNya supaya sentiasa memperbaharui iman menerusi menyebut dan mengingati kalimah 'la ila ha illaallah'
Banyak ayat-ayat Allah dlm al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya jangan lalai berzikir kpd Allah agar mereka tidak terperangkap dengan perangkap syaitan..
Assalamualaikum w.b.t.
Komen saudari Faten Naseha tu saya jawab dalam tajuk Penggunaan dan Hakikat Amalan Zikir Meningati Allah Menurut Perspektif al-Quran.
Inilah polemik yang sentiasa berlaku di sepanjang zaman di antara golongan mazhab akidah ahli zahir dengan golongan tasawuf sejak seribu tahun lalu tentang tarbiyah akidah menerusi amalan zikrullah. Seolah-olah segala masalah tasawuf yang ditimbulkan oleh para ulama dan ilmuwan ahli zahir hari ini baru ditimbulkan dan perlu dijawab oleh tokoh-tokoh tasawuf. Tetapi sebenarnya apa yang telah ditimbulkan oleh golongan ini, telah dpersoalkan oleh tokoh-tokoh golongan ini sejak zaman itu,dan ianya telah dijawab oleh tokoh-tokoh tasawuf di dalam kitab-kitab karangan mereka (sejak zaman itu).
Mudah2an kita diberi hidayah dan petunjukNya untuk mencapai kesempurnaan akidah seperti yang dperintahkan dalam al-Quran dan al-Sunnah, dan bukannya menerusi ilmu Akidah reka cipta yang merupakan hujah-hujah dan debat tercela yang tidak dapat membersihkan hijab-hijab hati (sifat-sifat tercela)
Sekian, wassalam
http://suraulebaideris.blogspot.com/2015/07/penggunaan-dan-hakikat-amalan-zikr.html
Post a Comment